Shafie: "Saya mahu jadi Naib Presiden Umno Malaysia, bukan Sabah"

Diterbitkan: Sabtu, 14 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAKIN MENANG Shafie Apdal wakil tunggal menyaingi kerusi Naib Presiden pada pemilihan kali ini.
YAKIN MENANG Shafie Apdal wakil tunggal menyaingi kerusi Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

KAJIAN terbaru Merdeka Center baru-baru ini menunjukkan Datuk Seri Shafie Apdal berada di kedudukan ketiga dari segi sokongan populariti khususnya di kalangan responden pengundi berdaftar masyarakat Melayu. Buat julung kali Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ini bersaing untuk jawatan Naib Presiden yang turut ditanding tujuh calon lain.

Beliau merupakan wakil tunggal dari Sabah. Sejak awal 1990-an Sabah dilihat sebagai negeri yang mempunyai 'kata putus' dalam menentukan kemenangan seseorang calon.

Bagaimana pula kali ini di mana Sabah menurunkan Shafie sebagai calon bagi jawatan Naib Presiden. Temu bual bersama Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna ini merungkai sedikit sebanyak persiapan serta pendapatnya sebagai calon tunggal Naib Presiden Umno dari Sabah.

Sejauh mana faktor itu akan memihak kepadanya, Shafie berkata: Saya bertanding bukan kerana hakikat dan menjadi wakil peringkat negeri Sabah semata-mata."

"Saya telah berkhidmat lebih daripada lima penggal di peringkat Majlis Tertinggi, dimana pelbagai isu yang telah kita bincangkan termasuklah hasrat rakyat akar umbi.

"Kalau ditakdirkan Allah s.w.t., saya menang kerusi Naib Presiden sekalipun saya tidak akan menjadi Naib Presiden Umno Sabah tapi saya jadi Naib Presiden Umno Malaysia... cuma secara kebetulannya saya di peringkat negeri Sabah," kata beliau.

Berikut adalah temu bual penuh bersama beliau.

MSTAR: Sejauh mana persiapan dan kempen Datuk untuk menghadapi pemilihan kali ini?

SHAFIE: Alhamdulillah, pada pertandingan kali ini ia merupakan satu pertandingan yang memenuhi prasyarat parti dan mengikut kehendak sistem demokrasi. Saya melihat pemilihan kali ini merupakan satu proses peremajaan parti dalam memilih pemimpin-pemimpin yang diyakini oleh perwakilan untuk memperkuatkan perjuangan parti di masa hadapan.

MSTAR: Adakah ini kali pertama Datuk bertanding sebagai Naib Presiden?

SHAFIE: Untuk jawatan Naib Presiden, ini kali pertama tapi untuk jawatan Majlis Tertinggi sudah lima kali. Untuk jawatan Exco Pemuda dulu pun sudah dua kali dah saya bertanding.

MSTAR: Bagaimana Datuk melihat cabaran bertanding jawatan penting dalam parti?

SHAFIE: Saya melihat dari sudut cabaran yang dilalui oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno pada hari ini. Kita harus menerima hakikat bahawa cabaran kepada BN dan Umno semakin ketara. Saya melihat dalam keadaan cabaran ini kita perlu membuat pendekatan dan pembaharuan dalam konteks struktur dalaman parti. Umno perlu dilihat sebagai sebuah parti yang bukan hanya memperjuangkan bangsa dan agama tetapi ia perlu menjadi parti yang membolehkan penglibatan generasi muda.

Ini kerana mereka ini yang menjadi penentu besar dalam pilihan raya akan datang. Golongan muda ini pula perlu mengetahui dan mengenali perjuangan Umno bukanlah perjuangan untuk kumpulan-kumpulan tertentu tapi ia merupakan perjuangan untuk semua. Atas hakikat dan cabaran yang disebutkan tadi, saya lihat saya yakin saya boleh menyumbang setelah berada di peringkat Majlis Tertinggi lima penggal dan dalam kerajaan juga sudah lebih dua puluh tahun. Saya lihat parti perlu diperkuatkan dan diberi sedikit penambahbaikan dari segi struktur supaya ianya satu parti menjadi parti yang memperjuangkan hasrat rakyat.

Pengalaman saya dalam Kelab Umno satu ketika dahulu yang melibatkan pelajar-pelajar yang mana rata-rata mereka pada hari ini bertugas di peringkat kerajaan dan swasta dan kita tahu citarasa dan kehendak mereka. Jadi Umno perlu membuat pendekatan perubahan untuk memenuhi kehendak masyarakat di peringkat akar umbi.

MSTAR: Lewat kebelakangan ini Umno sering dilihat sebagai sebuah parti yang lemah dan tidak lagi berjasa kepada orang Melayu. Apa komen Datuk?

SHAFIE: Umno sebenarnya bukanlah sebuah parti yang tidak ada jasa dan bakti. Umno parti yang baik, parti yang berjasa dan terbukti telah memberi banyak manfaat kepada rakyat kemungkinan dari segi kepimpinan perlu ada proses peremajaan supaya kita dapat paparkan wadah yang baru dalam perjuangan ini walaupun hakikatnya Umno kekal memperjuangkan bangsa Melayu dan orang Islam.

Kita hendak lihat dalam proses pemilihan kali ini Umno harus diterima bukan hanya oleh orang Melayu di dalam parti, sebaliknya Umno harus diterima oleh orang Melayu di luar Umno. Umno juga harus diterima oleh orang Cina dan India termasuklah parti komponen BN yang lain, MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti yang lain.

Ini bermaksud Umno harus diterima oleh rakyat secara keseluruhannya dan ini yang kita cuba dipaparkan supaya sambutan daripada masyarakat.

MSTAR: Datuk satu-satunya wakil dari Sabah, adakah ini akan memberi kelebihan kepada Datuk untuk memenangi satu daripada tiga kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan?

SHAFIE: Saya bertanding bukan kerana hakikat dan menjadi wakil peringkat negeri Sabah semata-mata. Saya telah berkhidmat lebih daripada lima penggal di peringkat Majlis Tertinggi, dimana pelbagai isu yang telah kita bincangkan termasuklah hasrat rakyat akar umbi. Kalau ditakdirkan Allah s.w.t., saya menang kerusi Naib Presiden sekalipun saya tidak akan menjadi Naib Presiden Umno Sabah tapi saya jadi Naib Presiden Umno Malaysia... cuma secara kebetulannya saya di peringkat negeri Sabah.

MSTAR: Adakah ia disebabkan desakan daripada Umno di Sabah yang mahukan calon mereka bertanding kerusi Naib Presiden kerana lewat kebelakangan ini banyak yang diutarakan oleh mereka?

SHAFIE: Suara-suara itu memang diutarakan di Parlimen dan memang ada kebenarannya. Mereka menyuarakan mengenai pembangunan infrastruktur di negeri Sabah dan Sarawak perlu dipertingkatkan itu memang ketara disuarakan oleh ahli-ahli Parlimen. Itu yang kita lihat dengan adanya suara di peringkat penggubal dasar jawatankuasa pengurusan dimana Naib Presiden mempunyai tempat kita boleh memberinya untuk memastikan ia juga ada adunan dari segi dasar-dasar yang boleh diwarnai dengan citarasa rakyat Malaysia yang datang dari Sabah.

MSTAR: Apakah perubahan yang ingin dibawa jika Datuk memenangi jawatan Naib Presiden?

SHAFIE: Pertama sekali, selain perjuangan untuk menarik golongan muda, kita perlu ada semangat kekitaan dalam perjuangan. Ia perlu direalisasikan supaya Umno itu menjadi ikutan kepada mereka. Kita tahu dalam beberapa pilihan raya yang lalu, sebahagian daripada anak-anak muda menolak dan ini tidak boleh dinafikan itu kebenarannya.

Jadi kita perlu mencari jalan untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan parti dan langkah ini perlu dilihat secara serius bagi memastikan perjuagan ini merupakan perjuangan mereka.

Saya yakin Umno memang dari awal merupakan perjuagan akar umbi itu yang membolehkan Umno melepaskan negara ini daripada belenggu penjajah. Oleh kerana itu perjuangan Umno bukan hanya di peringkat nasional tetapi untuk semua.

Keduanya, perubahan dari aspek struktur parti kita. Saya melihat dari sudut hala tuju ini perlu diperjelaskan dan disampaikan kepada ahli-ahlinya. Kadang-kadang saya melihat ada ketetapan dan dasar-dasar yang tidak dijelaskan kerana ia tidak difahami oleh ahli parti, ini akan membantutkan usaha kita untuk menjayakan hasrat dan perjuangan Umno sedangkan pengikut tidak mengenali dan memahami apa sebenarnya yang diputuskan di peringkat atas tentang hala tuju parti kita.

Mereka umpama kepala bawa lain ekor tak faham, ia tidak akan selari dan itu yang perlu kita perbetulkan untuk memperkuatkan parti kita.

Ketiga mengenai budaya yang ada dalam Umno yang perlu kita martabatkan supaya budaya pimpinan dalam parti. Kita perlu memperbaiki keadaan itu supaya rakyat di peringkat akar umbi selesa untuk berdamping dan mudah untuk mengenali pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

Seterusnya saya melihat cabaran yang lebih besar, kerana penyatuan ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi. Selain itu, hubungan Umno dengan parti-parti komponen yang lain dalam BN perlu ada penstrukturan yang formal. Kita tidak ingin melihat masalah pergeseran di antara parti komponen berlarutan dan dihebahkan melalui media secara terbuka kerana ia akan melemahkan parti.

Kita mahu gagasan yang diperjuangkan oleh Umno ini menjadi tempat untuk rakyat berteduh. Ia mencetuskan perjuangan, wawasan dan kebaikan dan bukannya menimbulkan kontroversi serta menimbulkan memudaratkan parti. Saya juga ingin melihat parti ini dapat diperkuatkan dalam konteks hubungannya dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak kerana banyak isu yang ditimbulkan lewat kebelakangan ini.

Saya melihat perkara-perkara ini penting untuk membawa perubahan dan memperkukuhkan parti.

MSTAR: Umno berhadapan dengan cabaran luar dan dalam termasuklah ada yang mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Umno. Adakah ini menunjukkan Umno berhadapan dengan krisis dalaman dan luaran?

SHAFIE: Ini bukan krisis yang boleh melemahkan parti. Ia merupakan satu cita rasa yang dibangkitkan kumpulan yang kecil dalam parti kita yang menggunakan cara yang tidak selari dengan perlembagaan parti. Pada tahun 1987 kita telah gubal perlembagaan Umno ahli-ahli tidak boleh bawa parti ke mahkamah kerana ia sepatutnya diselesaikan oleh ahli-ahli dalam Majlis Tertinggi.

Kalau ada kepincangan dalam parti kita perlu suarakan diperingkat jawatankuasa dasar, jawatankuasa disiplin yang perlu kita bawa ke situ supaya ketetapan boleh dibuat. Saya yakin perkara ini tidak membimbangkan cuma untuk memperkuatkan dan memartabatkan parti kita perlu mengikut saluran yang betul.

Hakikatnya dalam pilihan raya yang lalu, jika dilandaskan dengan ahli Umno di sesebuah kawasan kita sepatutnya tidak kalah kerana ahli Umno cukup ramai. Contohnya di kawasan Permatang Pauh, kita punya ahli seramai 20,000 orang tetapi undi yang kita perolehi hanya 12,000 jadi di mana perginya 8,000 orang lagi? Adakah mereka tidak mengundi atau mengundi parti lawan. Jadi apa sebab-sebab mereka mengambil tindakan seumpama itu dan ini yang perlu kita lihat dengan teliti untuk mengkaji sama ada keputusan yang dibuat selama ini tidak mengikut selera mereka.

Ancaman dalam parti bukan tidak dibolehkan cuma caranya perlu betul. Saya yakin dalam proses pemilihan parti akan berjaya membawa perubahan dan kesetiaan ahli-ahli parti dapat kita martabatkan seiring dengan perjuangan parti.

MSTAR: Ada yang sifatkan Umno hilang ingatan terhadap sejarah penubuhannya hingga kalah dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini?

SHAFIE: Umno tidak hilang ingatan terhadap sejarah cuma ahli-ahlinya sahaja yang lupakan akan sejarah itu. Jadi itu yang perlu diingatkan Umno sebuah parti yang baik.

Umno merupakan parti yang bersejarah yang berjasa kepada bangsa dan negara. Cuma masalahnya adalah kelunturan pemikiran dan peringatan ahli-ahlinya terhadap perjuangan mungkin kerana mereka punya keutamaan-keutamaan lain dalam perjuangan. Kalau dahulu perjuangan parti adalah untuk melepaksan diri daripada belenggu penjajah, selepas itu soal pembangunan dan pendidikan anak-anak supaya semuanya menjadi lebih berilmu.

Tapi hari ini sudah berbeza kita ada ramai anak-anak muda sudah pandai hingga ada yang menjadi pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Golongan bijak pandai ini tahu menggunakan teknologi dan mereka terdedah dengan bahan-bahan berunsur fitnah seperti blog dan sebagainya.

Tetapi bagaimana orang yang ada pendidikan ini tidak terdedah dan terpengaruh dengan bahan-bahan seperti ini. Ini yang perlu kita fokuskan kembali terutamanya dari aspek hala tuju parti.

Di sini semangat kekitaan penting walaupun kita berhadapan dengan godaan dan fitnah dari pengaruh dari luar kita akan jadi kental dan kuat serta tidak mudah terpedaya dengan dakyah-dakyah yang menghancurkan kesetiaan kepada parti.

Kita perlu berpegang kepada niat dan nawaitu dalam memperjuangkan hasrat parti. Kita lihat contoh seperti di barat seperti Amerika juga akhirnya membuat perubahan apabila Presiden Barrack Obama yang dari segi warna kulitnya berbeza, namun perubahan itu dapat diterima oleh rakyatnya. Tapi di negara kita tidak, kerana dalam perlembagaan jelas termaktub pemimpin tertinggi perlu orang Melayu beragama Islam. Kita tidak boleh lari dalam pilihan raya ke-13 nanti hampir 60 peratus golongan muda akan menjadi pengundi.

Jika kita tidak mendengar cita rasa dan hasrat mereka dan tidak selaraskan dengan keadaan semasa, kita mungkin akan berhadapan dengan suatu perubahan.

MSTAR: Apakah yang Datuk maksudkan dengan proses peremajaan dalam parti adakah ia hanya tertumpu kepada golongan muda sahaja?

SHAFIE: Bila saya sebut proses peremajaan dalam Umno tidak bermaksud umur sahaja. Sebenarnya ia merangkumi banyak aspek seperti idea dan bagaimana perubahan itu perlu dibawa. Umur juga tidak boleh diketepikan cuma ia bukan faktor utama. Kita tidak boleh menolak semua pemimpin yang lama hanya kerana kita mahu meremajakan Umno.

Untuk dapat kombinasi kempimpinan yang mantap kita perlu ada pemimpin baru dan lama. Kita tidak tolak golongan muda, tapi kita mahukan pemimpin yang matang walaupun kita muda tapi kalau dah dimatangkan ia akan membuahkan hasil.

MSTAR: Pemimpin-pemimpin tertinggi Umno mahu Umno jadi parti yang memperjuangkan untuk semua kaum. Tapi ahli-ahli Umno masih terikat dengan sentimen hanya orang Melayu sahaja perlu diperjaungkan. Ada sedikit kontra di sini... bagaimana Datuk melihat isu ini?

SHAFIE: Terasnya, Umno akan kekal memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam tetapi dalam perjuangan tersebut Umno tidak akan menidakkan perjuangan agama dan bangsa lain. Perjuangan itu akan kelihatan kerana ia akan memberi manfaat kepada bangsa yang lain. Bila Umno kuat komponen BN yang lain akan dapat kekuatan itu... cuma kita perlu mencari jalan bagaimana untuk memperkuatkan Umno tanpa kita melihatkan rasa bimbang bangsa lain.

Kita perlu ada penjelasan tentang hala tuju ini supaya ia tidak kelihatan seperti perjuagan yang bersifat perkauman. Tafsiran peringkat akar umbi yang berbeza ini perlu diperjelaskan secara konsisten kepada mereka.

Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi juga saya sering mengingatkan pemimpin-pemimpin lain kita perlu konsisten dengan apa yang kita cakap dan lakukan. Kita tidak boleh mengubah pendirian kita kerana orang tidak akan percaya dengan apa yang kita perkatakan selepas itu. Kita perlu mendapatkan kenyakinan dan kepercayaan daripada rakyat.

Bagaimana kita hendak meyakinkan rakyat bahawa Umno adalah sebuah parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan orang Islam tapi dalam masa yang sama ia tidak akan mengenepikan hak-hak bangsa dan agama lain. Ia telah dilakukan berpuluh-puluh tahun oleh Umno cuma disebabkan berlakunya beberapa perubahan dalam proses modenisasi kita tidak boleh lari, mungkin dari segi hasutan yang diterima menyebabkan mereka terpesong.

Dua perkara ini, kepercayaan dan keyakinan daripada ahli-ahli parti dan rakyat sangat perlu untuk memperkuatkan BN dan Umno.

MSTAR: Bagaimana cara untuk Umno mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat?

SHAFIE: Saya tidak begitu risau mengenai perkara ini kerana dalam pilihan raya yang lalu, Umno masih berjaya mempertahankan hampir 80 peratus kerusi BN dengan pembahagian kerusi yang telah dipersetujui oleh semua parti komponen BN.

Masalah timbul kerana Umno perlu berkompromi dalam soal pembahagian kerusi dengan parti-parti komponen yang lain sedangkan majoriti pengundi di kawasan itu adalah orang Melayu, perkara-perkara sebegini membuatkan kita kalah kerusi itu kepada pembangkang.

Ini struktur yang perlu dipertimbangkan semula dan kita perlu duduk bersama dan bincang secara panjang lebar dengan parti-parti komponen yang lain dalam usaha menguatkan kembali strategi BN dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Jika kita mampu berbuat begitu, saya yakin dalam pilihan raya akan datang Insya-Allah kita boleh menang lebih banyak kerusi dan tebus kembali kerusi yang kita tewas sebelum ini.

MSTAR: Tapi ada parti komponen BN yang menuduh Umno menjadi punca mereka tewas dalam pilihan raya umum yang lalu?

SHAFIE:Jika itu benar, kenapa Umno lebih banyak menang kerusi dalam pilihan raya lalu. Di Sabah kita banyak menang. Di Semenanjung sebahagian besar kerusi yang kita menang juga. Berapa kerusi yang kita dapat daripada 191 kerusi dalam PRU ke-12.

Ini hanya tanggapan dan persepsi semata-mata, kita sepatutnya melihat kepada fakta apa yang sebenarnya terjadi. Kita harus melihat Umno tidak ditolak secara keseluruhan, tapi saya tidak nafikan ada golongan yang tidak suka kepada parti kerana apa yang terjadi lewat kebelakangan ini.

Memang kita berada dalam zon yang bahaya jadi kita perlu membendung ia daripada menjadi lebih buruk. Saya selalu tegaskan kita tidak boleh fikir kita sudah berada di zon yang selesa dan ahli-ahli Umno perlu berubah untuk memperkuatkan parti semula.

Kita harus mempertahankan dua perkara kepercayaan dabn keyakinan para pengundi kepada Umno itu sendiri.

Kita perlu melihat calon di peringkat akar umbi, bukan hanya parti semata-mata. Di sesetengah kawasan bila sudah diluahkan bahawa calon itu tidak sesuai tapi kita masih mempertahankan kehendak parti maka akhirnya pengundi menyuarakan citarasa mereka dengan mengundi parti lawan. Jadi kita harus melihat dari prinsip pertimbangan ini. Tidak semestinya calon Cina perlu diletakkan kawasan yang majoritinya orang Cina, tapi ia bergantung kepada personaliti seseorang calon itu juga penting dalam mempengaruhi citarasa rakyat di kawasan tersebut.

Kita tidak boleh meletakkan kekalahan Umno dalam dua pilihan raya kecil yang lalu hanya disebabkan oleh calon dan parti semata-mata sedangkan ia turut dipengaruhi oleh gabungan faktor-faktor luaran yang lain turut memberi kesan kepada kekalahan tersebut. Jalan terbaik untuk mengatasi masalah tersebut kita perlu mengimbanginya dengan memperkuatkan dan tolak ansur dalam parti.

MSTAR: Adakah keputusan yang diputuskan di peringkat pucuk pimpinan Umno melambangkan kehendak ahli-ahli Umno akar umbi?

SHAFIE: Ada sesetengahnya mengikut pandangan masyarakat di peringkat akar umbi dan ada juga yang tidak. Namun apabila ada parti-parti yang menyuarakan kehendak mereka dalam BN kita perlu mendengar apa yang disuarakan itu. Bila kita suarakan sesuatu perkara bukan bermaksud kita membantah.

Sebagai contoh pemimpin di Sabah yang mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur di negeri itu kerana rakyat di sana mahukan pembangunan. Jika mereka (ahli-ahli Parlimen Sabah) tidak suarakan perkara ini rakyat akan menolak mereka dalam pilihan raya akan datang. Jadi kita perlu berhati-hati dengan situasi ini. Kita harus mendengar, melihat serta cuba melaksanakan apa yang disuarakan oleh rakyat diperingkat akar umbi.

Kita perlu berubah kerana jika tidak kita akan diubah.

MSTAR: Bagaimana Datuk pemilihan kali ini penting untuk ’survival’ Umno untuk terus menunjangi BN?

SHAFIE: Penting, survival Umno banyak bergantung kepada cabaran. Pemilihan kali ini tidak sama dengan yang sebelumnya. Kita harus ingat landskap politik negara telah berubah semenjak PRU ke-12. Kita harus ingat ramai daripada anak-anak muda yang telah mengurangkan sokongan kepada perjuangan Umno.

Ini perlu diberi perhatian. Apa yang saya hendak saya lakukan adalah cuba menyatukan kembali golongan muda supaya kembali kepada Umno. Tun Dr Mahathir punya kekuatan sebegitu dan ramai pengikut, sama juga seperti Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga Tengku Razaleigh. Saya berharap dalam pemilihan kali ini para perwakilan akan membuat pilihan yang terbaik dalam memilih pemimpin mereka.

MSTAR: Bagaimana dengan sokongan dan maklum balas yang diterima untuk bertanding jawatan Naib Presiden?

SHAFIE:Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah mencalonkan saya. Kita sebagai pemimpin perlu menerangkan mengenai dasar-dasar parti kepada para perwakilan. Bila saya bertemu dengan mereka di negeri-negeri, mereka ada kemukakan soalan apa perubahan yang akan saya lakukan jika menang.

Saya berjanji Insya-Allah jika diberi peluang untuk memegang jawatan tersebut saya akan cuba membawa perubahan tersebut. Saya seorang pemimpin yang jika saya rasa saya perlu suarakan mengenai sesuatu perkara saya akan suarakan demi kepentingan masyarakat di peringkat akar umbi dan demi kepentingan parti di masa hadapan.

MSTAR: Umno sering dikaitkan dengan dominasi kumpulan-kumpulan tertentu hingga ada yang melabelkan Datuk sebagai 'orang' Datuk Seri Najib Tun Razak apa komen Datuk?

SHAFIE: Saya pernah menjadi Timbalan kepada Tan Sri Mohamed Rahmat, saya pernah jadi Timbalan kepada ramai menteri. Itu bukanlah sebab utama saya menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

Saya kenal Najib sudah lama. Saya yakin beliau ada personaliti sebagai seorang pemimpin yang mampu membawa perubahan dan menguatkan serta menyatukan kembali Umno. Saya percaya kepadanya, bukan kerana beliau sahabat saya tetapi pada masa yang sama turut mempertaruhkan masa depan saya dan parti malah masa depan anak-anak saya juga.

Adakah pemimpin yang kita mahukan itu mampu membawa perubahan demi masa depan rakyat di negara ini sendiri. Saya perlu memberi sokongan kepadanya untuk menguatkan kembali sokongan ahli-ahli parti. Pernah di suatu ketika saya bercakap dengan beliau (Najib), saya bersedia menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti. Tapi saya beritahu beliau kesetian dan sokongan saya kepadanya bukan secara membuta tuli. Saya akan tetap menyuarakan pandangan tentang isu-isu yang perlu diberi perhatian demi 'survival' parti Umno itu sendiri.

MSTAR: Adakah Datuk Seri bersedia unuk menghadapi kekalahan dalam pemilihan kali ini?

SHAFIE: Dalam mana-mana pertandingan kita mesti realistik, menang atau kalah adat pertandingan.Kita harus bersedia menerima kekalahan tapi dalam pemilihan kali ini saya punya kenyakinan para perwakilan akan membuat keputusan yang bijak dalam memilih pucuk pimpinan parti. Kita harus terima hakikat dalam dunia politik ada yang menang dan kalah tapi keputusan terakhir terletak ditangan para perwakilan.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan