Ragunath Kesavan dipilih Presiden Majlis Peguam yang baru - Berita Semasa | mStar

Ragunath Kesavan dipilih Presiden Majlis Peguam yang baru

Diterbitkan: Sabtu, 14 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ragunath Kesavan dipilih sebagai presiden Majlis Peguam yang baru bagi penggal 2009/2010.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Ambiga Sreenavesan yang penggalnya selama dua tahun berakhir tahun ini.

Ragunath ialah naib pengerusi Majlis Peguam. Pemegang jawatan baru Majlis Peguam turut dipilih. Lim Chee Wee kini ialah naib pengerusi (mengambil alih daripada Ragunath), George Varughese ialah setiausaha (mengambil alih daripada Lim) dan Tony Woon Yeow Thong ialah bendahari (mengambil alih daripada Varughese).

"Majlis Peguam mempunyai dua matlamat iaitu memastikan pembangunan dan mengekalkan standard profesion ini dan satu lagi ialah memperjuangkan perkara berkaitan hak asasi manusia," kata Ragunath pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan ke-63 Majlis Peguam di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri oleh 625 anggota yang mengundi pemegang jawatan berkenaan. Antara usul dicadangkan oleh Majlis Peguam ialah undangundang penahanan tanpa perbicaraan dan usul mengenai kematian semasa dalam tahanan.

"Penahanan seseorang tanpa perbicaraan mengikut undangundang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960), Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkahlangkah Pencegahan Khas) 1985 jelas melanggar prisip sejagat hak asasi manusia," kata Ragunath.

Katanya undangundang berkenaan jelas melanggar undangundang dan peraturan serta prinsip kerajaan demokrasi.

Beliau juga menggesa kerajaan mengambil tindakan untuk menyiasat semua kematian semasa dalam tahanan polis dan menggesa ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menjalankan siasatan. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan