Guan Eng mahu Hadi jelaskan isu kerajaan campuran

Diterbitkan: Sabtu, 14 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mahu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi penjelasan kepada majlis kepimpinan tertinggi pakatan DAP-PAS-PKR berhubung cadangan pembentukan kerajaan campuran di negara ini.

Lim berkata perkara itu memerlukan penjelasan yang lebih terperinci bagi memastikan maksud sebenar berhubung kenyataan yang dibuat Abdul Hadi itu.

"Kita tidak tahu apa yang beliau (Abdul Hadi) maksudkan, jadi lebih baik kita dapat secara langsung daripada beliau kerana kalau hanya bergantung dengan apa yang dilaporkan (media) mungkin tidak begitu tepat," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi barubaru ini, yang mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang membentuk sebuah kerajaan campuran.

Lim berkata buat masa ini, DAP sentiasa bersedia bekerjasama dengan manamana pihak termasuk kerajaan pusat berhubung aspek ekonomi. "Dalam aspek kerajaan campuran, saya rasa bagi DAP tiada (kerjasama) tetapi untuk bekerjasama dengan BN bagi memulihkan dan menyelamatkan ekonomi, kita sedia bekerjasama," katanya.

Sementara itu, Lim berkata beliau akan membentangkan cadangan berhubung pengisytiharan aset Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang seperti yang dilakukan Exco Selangor pada mesyuarat Exco minggu depan.

"Saya akan bentangkan cadangan itu pada mesyuarat itu dan sebarang keputusan berhubung perkara itu akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Akhbar melaporkan aset Anggota Exco Selangor diumumkan secara terbuka menerusi laman web kerajaan negeri itu mulai hari ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipetik sebagai berkata aset yang akan diisytiharkan meliputi hartanah, saham dan wang yang dikumpul sejak dari tarikh mereka mengangkat sumpah sebagai Exco pada 24 Mac 2008 sehingga sekarang. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan