Joseph Kurup kekal ahli Parlimen, tiada pilihan raya kecil - Berita Semasa | mStar

Joseph Kurup kekal ahli Parlimen, tiada pilihan raya kecil

Diterbitkan: Jumaat, 13 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup kekal ahli Parlimen Pensiangan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mendapati sebagai tidak sah kemenangan beliau tanpa ditandingi pada pilihan raya umum pada Mac tahun lepas.

Kurup memenangi kerusi itu pada hari penamaan calon selepas pengurus pilihan raya menolak kertas pencalonan Danny Anthony Andipai daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang lagi calon.

Andipai kemudian mengemukakan petisyen bagi membatalkan keputusan itu dengan menamakan Kurup dan pengurus pilihan raya berkenaan, Bubudan OT Majalu, sebagai responden.

Dalam satu kes lain, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan seorang pengundi bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengetepikan petisyennya mencabar kemenangan calon Barisan Nasional Datuk Dr Yee Moh Chai sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Api Api juga pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

Dr Yee, yang merupakan Menteri Pembangunan Sumber Sabah dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, Christina Liew, dengan kelebihan 174 undi.

Petisyen itu difailkan oleh Audrey Karen Barry yang mendakwa wujud unsur rasuah atau ugutan am oleh Dr Yee atau ejen-ejen beliau, termasuk mencetak dan menyebarkan risalah mengandungi kenyataan palsu dan hasutan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman mengumumkan keduadua keputusan itu.

Pada 12 Feb lepas, panel Mahkamah Persekutuan terdiri Nik Hashim, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Datuk Arifin Zakaria, mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak dan menangguhkan sehingga hari ini untuk mengumumkan keputusan. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan