Wanita BN fokus persiapan jentera bersama

Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tanpa mahu memikirkan tentang apa yang berlaku pada pemilihan Wanita Umno bulan ini, Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz mahu menumpukan kepada persiapan jentera Wanita Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang akan diadakan serentak 7 April ini.

"Selepas keputusan pemilihan, tanyalah saya, saya akan gembira menjawab soalan sama ada saya menang atau saya kalah... Saya pasti (anggota) Wanita sudah menetapkan fikiran mereka. Saya mempunyai dua perkara untuk diselesaikan.

"Ia berkaitan tentang parti bukannya peribadi. Pertandingan ini bukan mengenai saya dan jawatan tetapi di sini (mengenai pilhan raya kecil), ia mengenai parti kami BN dan kerajaan," katanya yang juga Ketua Wanita BN kepada pemberita selepas mempengerusikan perjumpaan khas Wanita BN di sini semalam.

Perjumpaan hari ini katanya diadakan bagi membincangkan gerak kerja pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Kita menyedari bahawa ini adalah calon BN tidak kira daripada parti mana. Sebagai satu parti yang terdiri daripada komponenkomponen, kita bersedia bekerjasama untuk memenangkan calon yang di pilih pucuk pimpinan," katanya.

Rafidah berkata satu ibu pejabat Wanita BN akan diadakan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sebagai pusat rujukan dan menyelaras semua aktiviti Wanita BN.

Beliau berkata seramai mungkin anggota Wanita BN akan diturunkan di dua kawasan pilihan raya itu untuk membantu menggerakkan jentera pilihan raya.

"Lepas penamaan calon nanti baru kita ada jumlah sebenar. Kita akan keluarkan seramai yang mungkin anggota yang boleh bekerja. Kita masih menengoknengok kawasan yang harus difokuskan, menjelang minggu depan baru kita akan turun sebagai sebuah pasukan," katanya.

Katanya Wanita BN akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa pun calon yang dipilih pucuk pimpinan selagi calon itu diterima oleh semua dan penduduk tempatan.

Mengenai pilihan raya kecil yang akan turut diadakan di Batang Ai, Rafidah berkata kawasan itu adalah kawasan kecil dan jentera tempatan adalah memadai buat masa ini.

"Batang Ai adalah kawasan khusus dan mereka rasa jentera tempatan adalah memadai. Bagaimanapun kita bersedia kalau mereka perlukan sokongan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan