Suntik RM60 bilion, Najib ajak Pakatan bantu pulihkan ekonomi

Diterbitkan: Rabu, 11 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

UMUM BAJET MINI... Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membentangkan Pakej Rangsangan ekonomi kedua di Dewan Rakyat petang tadi melibatkan peruntukan RM60 bilion bagi tempoh dua tahun. - foto The Star oleh GLENN GUAN
UMUM BAJET MINI... Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membentangkan Pakej Rangsangan ekonomi kedua di Dewan Rakyat petang tadi melibatkan peruntukan RM60 bilion bagi tempoh dua tahun. - foto The Star oleh GLENN GUAN

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membentangkan Pakej Rangsangan ekonomi kedua bernilai RM60 bilion bagi mengharungi kesan krisis ekonomi sejagat dengan mengajak "kerajaan dan pembangkang memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat."

Malah Timbalan Perdana Menteri meminta barisan pembangkang yang kini menguasai lebih 80 kerusi di Dewan Rakyat mengetepikan kemelut politik.

"Kita sudah mula kedengaran suara rakyat yang mahu kerajaan dan pembangkang untuk mengutamakan usaha memulihkan semula ekonomi negara dalam keadaan kegawatan ekonomi global dan mengetepikan kemelut politik.

"Saya sendiri menerima saranan ini dengan hati yang terbuka," kata beliau ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) di Dewan Rakyat petang tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata "kita perlu peka kepada saranan rakyat yang semakin lantang dan kerap diutarakan supaya kerajaan dan pembangkang memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat."

"Saya menyeru semua pihak termasuk rakan-rakan sama ada di sebelah sini dan di sebelah sana serta setiap lapisan masyarakat agar berganding bahu dan berusaha gigih untuk mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan yang lebih kukuh serta mapan," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Ketika membentangkan pakej rangsangan itu, yang kedua seumpamanya dalam tempoh lima bulan, Najib berkata, pakej untuk tempoh dua tahun itu mengandungi empat teras iaitu:

- mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan

- meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas

- membantu sektor swasta menghadapi krisis dan

- membina keupayaan masa depan

Sehubungan itu, beliau menambah, kerajaan beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan meringankan keperitan yang dirasai terutamanya kepada mereka yang mudah terjejas.

Najib menambah, pada sidang khas mengenai Gaza di Parlimen Januari lalu, kedua-dua kerajaan dan pembangkang telah bersatu suara dan berpadu hasrat untuk bersama berusaha mencadangkan formula damai dan membantu atas nama kemanusiaan.

"Ya benar, kita di negara ini, kini sedang berbeza pendapat tentang politik di sana sini.

"Namun, besar harapan semua, bila berdepan dengan ribut ekonomi yang melanda, kita akan sentiasa sepakat sekata, sederap usaha, memikir melaksana apa yang terbaik untuk rakyat jelata," katanya.

UCAPAN PENUH PAKEJ RANGSANGAN KEDUA

RM60 bilion disuntik elak Malaysia "jerumus kancah kemelesetan"

INTIPATI PAKEJ RANGSANGAN KEDUA

PAS NAFI BOIKOT SESI PEMBENTANGAN

Dalam pada itu, PAS menyangkal dakwaan yang mengatakan wakil rakyat mereka memboikot sesi pembentangan pakej rangsangan kedua oleh Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Dakwaan memboikot itu muncul apabila pemimpin tertinggi PAS tidak kelihatan semasa perbentangan bajet mini berkenaan yang bermula pukul 4 petang tadi.

Semasa perbentangan itu, hanya Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Khalid Samad (Shah Alam), Mohd. Firdaus Jaafar (Jerai) dan Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) berada di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar ketika dihubungi mStar Online menafikan dakwaan tersebut.

"Tidak kita tak boikot apa-apa, cukuplah kita ada wakil dalam dewan," katanya yang hadir pada sesi soal jawab sidang Parlimen pada sebelah pagi tadi.

Ditanya pandangannya apabila ketiadaan pemimpin-pemimpin tertinggi daripada PAS seolah-olah mengiakan dakwaan tersebut beliau berkata, tidak ada sebab untuk PAS memboikot pakej rangsangan yang dibentangkan itu.

"Masing-masing kebetulan ada hal, biasalah dengan keadaan ekonomi yang tak berapa elok ini... sibuk sedikit.

"Kita dengar maklum balas daripada ahli yang hadir cukuplah, lagipun (Datuk Seri Mohd) Najib (Tun Razak) seorang sahaja yang bercakap, kita tak ada pun tak apa," katanya.

Sementara itu, Salahuddin juga menolak dakwaan tersebut kerana kehadirannya bersama tiga lagi wakil rakyat PAS menunjukkan pihaknya tidak memboikot.

"Tidak ada boikot, tak betul tu. Kalau boikot saya pun tak adalah di sini," katanya.

KHALID: PAKEJ OK, TAPI...

Pengerusi Parti Keadilan Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga wakil rakyat Bandar Tun Razak berkata, dana RM60 bilion memang mencukupi, namun pelaksanaan program yang dirancang dan pengagihan peruntukan itu perlu diberi perhatian yang serius.

"Konsepnya baik tetapi persoalannya adalah bagaimana program itu dilaksana dan diuruskan.

"Saya telah buat kenyataan sebelum ini bahawa apa sahaja jumlah (bajet) di bawah RM50 bilion bukan satu permulaan yang baik dan nampaknya mereka melebihkan jumlah itu.

"Bagaimanapun, kita bimbang sekiranya berlaku kebocoran dan pengagihan kontrak tidak dilakukan dengan cara yang betul," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, kerajaan negerinya mempunyai pakej rangsangan ekonominyanya sendiri dan pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam beberapa aspek berhubung pakej tersebut.

"Antaranya termasuklah membersihkan Sungai Klang, meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan di Lembah Klang, memperbaiki dan memperbaharui sistem paip serta pembangunan semula pusat bandar termasuk Petaling, Klang dan Kajang," katanya.

HEBAT KATA IBRAHIM ALI

Sementara itu, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) menyifatkan bajet yang dibentangkan sebagai hebat dan beliau terkejut dengan peruntukan yang diumumkan oleh Najib.

"Ini satu bajet rangsangan yang memenuhi kemahuan rakyat dalam suasana krisis ekonomi yang melanda negara.

"Saya tidak menjangka belanjawan ini begitu hebat dan ia meliputi semua aspek termasuk peruntukan yang besar kepada penganggur yang hilang pekerjaan dan peruntukan tambahan untuk orang kurang upaya," katanya.

Ketika sesi bahas nanti, jelas Ibrahim, beliau akan memberi tumpuan kepada faedah yang akan diterima oleh rakyat negeri Kelantan.

DAP KECEWA

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui selepas selesai perbentangan bajet berkenaan enggan memberikan sebarang komen.

"Saya akan buat kenyataan esok, esok... panjang punya (komen) esok... kalau anda berani anda buat laporan esok," katanya.

Ditanya reaksi ringkasnya berhubung jumlah peruntukan yang diumumkan, beliau sekadar tersenyum tanpa memberikan jawapan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, beliau kecewa dengan perbentangan bajet ini kerana pakej rangsangan tidak diberikan secara langsung kepada rakyat.

"Saya rasa dalam aspek ini kita agak kecewa sedikit kerana tidak ada bantuan secara langsung kepada rakyat," katanya.

Setiausaha Agung DAP itu memberitahu, jika kerajaan benar-benar berhasrat untuk membantu rakyat peruntukan secara langsung harus diberikan.

"Saya rasa kalau betul-betul nak rangsangkan ekonomi, mesti berikan wang secara langsung kepada rakyat.

"Ia (pakej rangsangan ekonomi) mesti membantu keluarga-keluarga yang susah supaya mereka ada wang untuk menanggung perbelanjaan harian," katanya.

Tambah beliau, peruntukan RM60 billion yang diumumkan Najib hari tidak mencukupi bagi membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dengan lebih baik.

"Sebab itu dalam aspek ini saya kira beliau harus lebih berani sedikit iaitu bukan dengan ransangan RM60 billion tapi RM100 bilion dengan RM50 bilion setiap tahun seperti yang kita cadangkan sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bagan itu berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah bagi memastikan rangsangan ekonomi yang diumumkan hari ini akan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.

"Yang penting ialah apakah manfaat (kepada) orang biasa seperti anda dan saya.

"Kalau kita lihat tentang jumlah wang yang besar untuk projek-projek tertentu, saya rasa kita tidak mahu lihat keadaan indah khabr dari rupa iaitu sekadar melepaskan batuk ditangga," katanya.

Menurut beliau pelaksanaan tender terbuka untuk projek-projek kerajaan harus diaplikasikan.

"Kalaupun nak buat projek-projek besar saya harap buatlah secara tender terbuka.

"Bukan hanya untuk syarikat-syarikat yang didaftarkan di Kementerian Kewangan sahaja, kerana ia hanya melibatkan syarikat-syarikat tertentu," katanya.

Sementara itu Lim Kit Siang (DAP-Ipot Timur) berkata, Najib perlu meyakinkan rakyat dengan pakej ransangan ekonomi yang dibentangkan.

"Beliau perlu kembalikan keyakinan rakyat, walau apa jua perubahan yang beliau ingin lakukan, rakyat perlu diyakinkan.

"Ini kerana apa yang berlaku di Perak telah menghilangkan keyakinan rakyat terhadap beliau," katanya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan peruntukan yang diberikan, beliau berkata jumlah itu tidak penting kerana rakyat menantikan perubahan yang benar-benar telus.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan