RM60 bilion disuntik elak Malaysia "jerumus kancah kemelesetan"

Diterbitkan: Selasa, 10 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DANA SUNTIKAN...  Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menunjukkan begnya yang mengandungi dokumen pakej rangsangan kedua ketika tiba di Bangunan Parlimen tadi. Pembentangan pakej sebanyak RM60 bilion itu bagi merangsang aktiviti ekonomi dan membantu memastikan ekonomi daripada terjerumus ke dalam kemelesetan. -fotoBERNAMA
DANA SUNTIKAN... Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menunjukkan begnya yang mengandungi dokumen pakej rangsangan kedua ketika tiba di Bangunan Parlimen tadi. Pembentangan pakej sebanyak RM60 bilion itu bagi merangsang aktiviti ekonomi dan membantu memastikan ekonomi daripada terjerumus ke dalam kemelesetan. -fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI, 7 PETANG] KUALA LUMPUR Kerajaan hari ini mengumumkan suntikan tambahan RM60 bilion menerusi satu lagi pakej bagi merangsang sektor penting dalam ekonomi negara demi memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat - dalam mengharungi kebimbangan prospek ekonomi sejagat yang suram.

Ketika membentangkan pakej rangsangan itu, yang kedua seumpamanya dalam tempoh lima bulan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakej tersebut meliputi tempoh selama dua tahun.

Jumlah itu merupakan enam kali ganda berbanding dana RM10 bilion yang diumumkan Khamis lalu.

"Maka dengan ini, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan berjumlah RM60 bilion.

"Pakej ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu 2009 dan 2010," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan pakej itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, kerajaan beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan meringankan keperitan yang dirasai terutamanya kepada mereka yang mudah terjejas.

"Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing maka pakej rangsangan kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran.

"Ini termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur," katanya.

UCAPAN PENUH PAKEJ RANGSANGAN KEDUA

Sambil mengakui tentang kegusaran prospek ekonomi global, Najib bagaimanapun berkata, beliau yakin Malaysia mampu untuk berdepan dengan persekitaran yang sukar seperti beberapa krisis yang terdahulu dengan adanya semangat bersatu dalam kalangan rakyat.

Beliau mula membentangkan pakej itu sejak pukul 4 petang tadi dan berakhir 70 minit kemudian.

Daripada jumlah itu, kerajaan membahagikan dana tersebut mengiktu empat teras berikut:

- Teras Pertama: RM2 bilion

- Teras Kedua: RM10 bilion

- Teras Ketiga: RM29 bilion

- Teras Keempat:RM19 bilion

Huraian teras-teras yang diumumkan ialah:

TERAS PERTAMA: KURANGKAN PENGANGGURAN DAN MENAMBAH PELUANG PEKERJAAN

- Menyediakan latihan dan mewujudkan peluang pekerjaan

- Kebajikan pekerja yang telah diberhentikan kerja

- Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor awam

- Peluang siswazah untuk melanjutkan pelajaran

- Skim PROSPER Siswazah

- Usaha mengurangkan pekerja asing

TERAS KEDUA: RINGANKAN BEBAN RAKYAT, TERUTAMA GOLONGAN MUDAH TERJEJAS

- Meningkatkan pemilikan rumah - Menambah baik infrastruktur awam

- Bom simpanan kerajaan

- Pembangunan pendidikan

- Kemudahan asas di luar bandar

- Program di Sabah dan Sarawak

- Program mikro kredit

- Membantu golongan kurang bernasib baik

- Menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan

- Galakan kepada bank untuk menangguh bayaran balik pinjaman perumahan

TERAS KETIGA: MEMBANTU SEKTOR SWASTA MENGHADAPI KRISIS

- Skim jaminan modal kerja

- Dana jaminan penstrukturan semula industri

- Memudahkan akses ke pasaran modal

- Menarik individu high-net-worth dan berkemahiran

- Mengurangkan kos kendalian perniagaan

- Menggalakkan sektor automatif

- Industri penerbangan

- Elaun modal dipercepatkan

- Carry back losses - Levi keuntungan atas kelapa sawit

- Mempergiatkan aktiviti pelancongan

TERAS KEEMPAT: MEMBINA KEUPAYAAN MASA DEPAN - Pelaburan oleh Khazanah Nasional Berhad

- Projek Off-Budget

- Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI)

- Liberalisasi sektor perkhidmatan

- Peranan Jawatankuasa Pelaburan Asing

- Pembangunan industri seni kreatif

- Pengurusan berkesan sumber kewangan kerajaan

Najib berkata, daripada suntikan fiskal sebanyak RM15 bilion, sejumlah RM10 bilion adalah bagi tahun 2009 dan RM5 bilion bagi tahun depan.

Jumlah RM10 bilion dalam tahun ini dibahagikan kepada RM5 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Jelas beliau, saiz perbelanjaan ini sudah tentunya akan meningkatkan defisit Bajet Kerajaan Persekutuan, yang dianggarkan daripada 4.8 peratus kepada 7.6 peratus pada tahun ini.

"Kerajaan yakin dasar fiskal negara mempunyai fleksibiliti dan keupayaan untuk menampung defisit yang lebih tinggi.

"Keupayaan kerajaan untuk memastikan kedudukan fiskal mapan jelas terlihat daripada kejayaan kita mengurangkan defisit daripada 5.3 peratus pada tahun 2002 kepada 3.2 peratus pada tahun 2007.

"Malahan, semasa negara , mengalami penguncupan pertumbuhan ekonomi dalam tahun 1982, kita telah mengalami defisit 16.6 peratus, berikutan dasar fiskal mengembang, terutamanya untuk membina infrastruktur negara," kata beliau ketika membentangkan di Parlimen.

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan kedua atau bajet mini yang dijangka bernilai melebihi RM10 bilion, akan dibentangkan petang ini di Dewan Rakyat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setakat ini jangkaan saiz yang dianggarkan "melebihi RM10 bilion" berdasarkan bacaan pertama Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 di Dewan Rakyat Khamis lepas oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha.

Beliau berkata, sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kedua atau bajet mini yang akan diumumkan itu, melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM10 bilion.

Katanya, jangkaan RM10 bilion itu meliputi RM5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan selebihnya bagi perbelanjaan mengurus.

Bacaan kali kedua Rang Undang-undang ini akan dibentangkan pada pukul 4 petang ini.

Pelbagai spekulasi dibuat mengenai saiz pakej rangsangan itu. Ada yang menyasarkan sehingga melebihi RM50 billion dan yang terkini dikatakan berjumlah RM35 bilion.

"Kita mengambil terlalu banyak masa bercakap mengenai jumlah rangsangan kedua. Kita terlepas untuk menentukan perkara utama untuk menyediakan rangsangan yang lebih besar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bumiputra-Commerce Holdings Bhd Datuk Seri Nazir Razak Februari lepas.

Beliau menyifatkan penetapan saiz pakej rangsangan itu sebagai isu mudah berbanding melaksanakan kerangka strategik untuk memastikan negara maju ke hadapan.

"Adalah baik jika diambil kira persekitaran semasa bahawa kerajaan mengumumkan satu pelan strategik yang agak komprehensif serta pakej rangsangan " katanya.

Pakej rangsangan kedua yang disifatkan oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan, sebagai "komprehensif" itu bertujuan menangani permasalahan ekonomi semasa khususnya menangani isu pemberhentian pekerja dan membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terjejas teruk.

"Ia juga bagi menyediakan ekonomi negara kekal teguh menghadapi kejatuhan ekonomi dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz, Sabtu lepas.

Ketika ini projek-projek dalam pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion yang diumumkan November lepas, dilaksanakan dengan rancak di seluruh negara.

Kerajaan telah mengagihkan RM5.29 bilion atau 76 peratus daripada pakej itu, termasuk di kawasan yang dikuasai pembangkang.

"Wang berkenaan diagihkan untuk kira-kira 38,000 projek di seluruh negara, yang memberi manfaat terutama kepada kontraktor Kelas F," kata Ketua Pegawai Operasi Unit Pengurusan Projek (PMU) di Kementerian Kewangan, Datuk Ir Mohd Datuk Ir Mohd Othman Zainal Azim baru baru ini.

PMU ialah unit di Kementerian Kewangan, yang ditubuhkan untuk menyelia dan mengurus pengagihan dana dan kerja-kerja yang dijalankan menerusi pakej rangsangan tersebut. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan