Effendi Norwawi, Malasingam angkat sumpah anggota Senat

Diterbitkan: Selasa, 10 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TERIMA WATIKAH... Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi bersama isteri Datin Seri Tiara Jacquelina (kanan) melihat watikah pelantikannya sebagai Senator penggal kedua selepas majlis mengangkat sumpah jawatan tersebut di Dewan Negara.--Foto Bernama
TERIMA WATIKAH... Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi bersama isteri Datin Seri Tiara Jacquelina (kanan) melihat watikah pelantikannya sebagai Senator penggal kedua selepas majlis mengangkat sumpah jawatan tersebut di Dewan Negara.--Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi dan Pengerusi MIC bahagian Tapah, Perak, Dr. M. Malasingam hari ini mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Effendi, 61, mengangkat sumpah memegang jawatan itu untuk penggal kedua manakala Malasingam dilantik bagi kali pertama.

Kedua-dua lantikan berkuatkuasa hari ini untuk tempoh satu penggal.

Effendi, ketika bercakap kepada pemberita selepas upacara itu melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana diberi peluang sekali lagi menyumbangkan khidmat bakti kepada negara.

Beliau berjanji akan memberikan sumbangan terbaik dengan memfokuskan kepada isu ekonomi yang bersesuaian dengan pengalamannya sebagai ahli perniagaan dan pemimpin korporat.

"Saya akan sumbangankan ilmu dan pengetahuan ketika persidangan Dewan khususnya isu-isu berkaitan bidang ekonomi yang sebati dalam jiwa saya serta pengalaman kerja dalam sektor swasta dan menjadi menteri kabinet sebelum ini," katanya di bangunan Parlimen di sini.

Effendi dilantik sebagai senator bagi kali pertama pada Febuari 2006 dan pernah menjadi Anggota Parlimen Barisan Nasional bagi kawasan Dalat di Sarawak dari tahun 1999 hingga 2004.

Beliau yang berkelulusan Doktor Falsafah dalam Undang-undang dari University of Tasmania, Australia, menyertai Kabinet pada Disember 1999 dan bersara daripada politik pada 2008 untuk memberi perhatian kepada keluarga dan perniagaan.

Sementara itu, Dr. Malasingam, 59, yang juga pengamal perubatan merupakan lulusan perubatan dari Bangalore Medical University, India.

Beliau menjadi anggota MIC Tapah sejak 1981 dan pernah memegang jawatan timbalan pengerusi MIC bahagian Tapah pada tahun 2000 hingga 2002. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan