BN jawab setiap isu dimainkan pembangkang

Diterbitkan: Selasa, 10 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAIPING: Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan secara individu atau dalam kumpulan kecil pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang bagi menangkis segala isu yang dimainkan pembangkang.

Untuk itu, jentera BN perlu mengetahui setiap isu yang dibangkitkan pembangkang bagi membolehkan mereka mengupas dan menjelaskannya dengan berkesan kepada rakyat, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Kita tidak perlu cerita mahu buat projek besar, buat itu buat ini macam cara lama tetapi kita jelaskan dengan berkesan isu demi isu yang ditimbulkan pembangkang.

"Saya nampak sukar bagi pembangkang untuk pengaruhi orang ramai jika kita dapat jelaskan semua isu secara berkesan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang di Dewan Orang Ramai Simpang Halt di sini semalam.

Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Datuk Rosli Husin berkata BN mempunyai harapan untuk menang di Bukit Gantang apabila lebih 1,000 pengundi Melayu di Changkat Ibol yang dahulunya menyokong PAS, beralih arah.

"Dulu kita kalah sebab pengundi di Changkat Ibol sokong pembangkang tetapi sekarang ada harapan sebab mereka sokong kita," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Penamaan calon bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang akan diadakan pada 29 Mac, dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 7 April.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum, 50, daripada PAS pada 9 Feb lepas akibat serangan jantung. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan