Arumugam hubungi Anwar mahu kempen di Bukit Selambau

Diterbitkan: Isnin, 9 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah, V. Arumugam yang menghilangkan diri sebelum meletakkan jawatan awal bulan lalu, telah menghubunginya tiga hari lalu.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang di Parlimen itu tidak menyatakan dari mana Arumugam, yang sebelum ini dikatakan telah ke luar negara, dipercayai berada di India, menghubungi beliau.

Menurut Anwar, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Bukit Selambau itu menghubungi beliau untuk mendapatkan kebenaran pulang bagi membantu Pakatan Rakyat berkempen dalam pilihan raya kecil kerusi Bukit Selambau.

"Dua hari lalu Arumugam telefon saya, dia tanya saya sama ada boleh atau tidak beliau pulang sebab hendak tolong dalam pilihan raya (kecil).

"Tetapi saya kata kepadanya nanti dulu Arumugam kerana saya tidak jamin tentang keselamatan," kata beliau ketika menyampaikan Pidato Kebangsaan Ketuanan Rakyat 2009 untuk pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Auditorium MBSA di sini petang semalam sempena setahun selepas pilihan raya umum ke-12.

Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, beliau tidak yakin dengan keselamatan Arumugam jika beliau kembali buat masa sekarang.

"Saya tidak berani jamin (keselamatan) kerana dia mungkin akan diculik oleh si anu," kata Anwar.

Sebelum ini, Anwar mendakwa perkara yang sama terjadi ke atas wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak apabila "diculik" untuk beberapa hari sebelum muncul di khalayak.

"Ini (kehilangan) betul... mulanya mereka hilang tapi akhirnya mereka muncul bersama (Timbalan Perdana Menteri, Datuk) Najib (Tun Razak)," kata beliau merujuk kepada sidang media tiga ADUN iaitu Changkat Jering, Behrang dan Jelapang yang mengumumkan keluar PKR dan DAP lalu menyokong Barisan Nasional.

Ia membawa kepada kejatuhan kerajan negeri Pakatan Rakyat.

Arumugam meletakkan kedua-dua jawatan ADUN dan Exco, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil. Penamaan calon adalah pada 29 Mac ini manakala pengundian pula 7 April.

Ketika mengumumkan peletakan jawatan Arumugam pada 8 Februari lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Arumugam bertindak demikian disebabkan beliau mendakwa tidak tahan dengan ugutan pelbagai pihak supaya meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Ugutan itu termasuklah kononnya terdapat individu tertentu yang mewakili pemimpin Barisan Nasional menawarkan habuan RM5 juta supaya beliau melompat parti.

"Saya hormati pendiriannya dan menolak habuan RM5 juta itu dan menurut surat itu, beliau (Arumugam) telah menerima pelbagai ugutan sejak Mac 2008 lagi dan disebabkan tidak lagi tahan dengan ugutan dan demi keselamatan keluarganya, beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan," katanya.

Arumugam bertanding sebagai calon Bebas tetapi menyertai PKR selepas kemenangan 8 Mac.

Dalam ucapannya selama 30 minit itu, Anwar berkata, konsep ketuanan rakyat yang diamalkan Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang dikuasai mereka sejak setahun lalu menjadi teras penyatuan rakyat.

Katanya, selepas pilihan raya umum 2008, mereka berjaya mencetuskan muafakat di kalangan rakyat.

"Perjuangan yang diperjuangkan rakyat hari ini berpaksikan ketuanan rakyat.

"Ketuanan Melayu yang dilaungkan Umno tidak perlu dibangkitkan kerana orang Melayu itu juga rakyat Malaysia," katanya.

Jelas Anwar, melalui konsep ketuanan rakyat juga raja-raja Melayu tidak diabaikan kerana mereka mahu raja-raja menjadi raja kepada semua kaum.

Katanya lagi, dalam sesebuah kepimpinan, rakyat yang berkuasa, bukannya kepimpinan rakyat yang berkuasa.

"Begitu juga dengan apa yang berlaku di Perak... kita mahukan rakyat Perak yang tentukan siapa yang layak berkuasa di negeri itu," katanya lagi.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan