Tarikh pilihan raya Batang Ai: Pakatan tikai, BN sambut baik

Diterbitkan: Jumaat, 6 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Rakyat hari ini mendakwa tiga pilihan raya yang ditetapkan serentak pada 7 April depan hanya akan memberi kelebihan kepada Umno semata-mata.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, mendakwa penetapan tarikh tersebut jelas menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dipengaruhi oleh Umno kerana ia ditetapkan selepas parti itu selesai mengadakan pemilihan.

"Nampak jelas SPR bukan lagi sebuah badan yang bebas kerana dipengaruhi oleh Umno hingga terpaksa tunduk kepada kemahuan parti itu.

"Umno sudah kelam-kabut ketika ini kerana mereka perlu menghadapi pemilihan parti kemudian menumpukan perhatian kepada tiga pilihan raya kecil serentak, jadi mereka menggunakan SPR untuk menyelamatkan keadaan," katanya kepada mStar Online semalam.

Kelmarin, SPR menetapkan pilihan raya kecil DUN Batang Ai di Sarawak akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah 7 April ini.

Jelas Nasharudin, sepatutnya SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang lebih awal daripada 7 April depan.

"Jauh sangat tarikh pengumuman yang dibuat SPR dengan tarikh pilihan raya, saya nampak SPR ada sedikit bias di sini,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat,(PKR), Saifuddin Nasution pula menyifatkan tiga pilihan raya yang akan diadakan serentak itu akan meningkatkan lagi 'politiking' dalam Umno.

"Saya melihat dari perspektif berbeza dalam soal ini. Umno akan menghadapi masalah dengan tarikh yang ditetapkan oleh SPR. Calon-calon yang kalah dalam pemilihan Umno pasti akan memboikot kempen yang akan berlangsung nanti.

"Mereka yang kalah akan melihat kempen pilihan raya kecil yang akan berlangsung itu sebagai satu perkara yang tidak memberi sebarang kepentingan kepadanya lagi manakala calon yang menang pula akan berasa selesa dengan kemenangan mereka. Perkara ini akan meningkatkan politiking dalam Umno sendiri,"katanya.

Sementara itu ahli Parlimen dari Sabah menyambut baik keputusan SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Batang Ai diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.

Ahli Parlimen Selangau dari Barisan Nasional (BN), Joseph Entulu Belaun berkata pilihan raya kecil serentak itu akan memberi kelebihan kepada BN yang diwakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk memenangi kerusi DUN itu.

"Saya penuh yakin, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dengan bantuan komponen BN lain akan memenangi kerusi ini tanpa masalah...dari segi persiapan parti tak ada masalah untuk tumpu pilihan raya kecil Batang Ai," katanya di lobi Parlimen semalam.

Entulu yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata bantuan dan kerjasama rapat antara parti komponen BN lain yang telah lama bersiap sedia akan mampu meraih undi selain kekuatan calon yang tersenarai dan mengenali kawasan DUN itu.

Ahli Parlimen Julau dari BN, Datuk Joseph Salang Gandum berkata pilihan raya kecil serentak itu tidak akan menimbulkan masalah kerana penduduk dan pengundi setempat di kawasan berkenaan bijak dalam memutuskan calon yang boleh menjadi pilihan mereka.

"Pilihan raya kecil itu, mereka sendiri tahu calon mana nak pilih, tak payah pengaruh dari luar untuk memujuk dan menukar fikiran mereka, saya percaya pengundi setempat sudah matang dan tahu parti mana nak pilih," katanya.

Gandum yang juga Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi berkata DUN Batang Ai adalah kawasan DUN negeri Sarawak yang sudah lama diwakili orang tempatan di kawasan itu sejak tahun 1970an dan dikuasai PRS.

"PRS sudah lama wakili kerusi itu, PRS akan namakan calon DUN yang layak, saya mengharapkan penduduk Batang Ai tidak akan pengaruh oleh sesiapa dari luar untuk tukar fikiran mereka dan mencemar fikiran suci terhadap tempat itu," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Batang Ai diadakan berikutan kematian Menteri Muda Sukan Sarawak Datuk Dublin Unting akibat serangan angin ahmar pada 24 Feb lalu.

Unting koma akibat serangan angin ahmar sejak 22 Mei tahun lepas.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, mendiang menang di kawasan yang majoritinya kaum Iban setelah menewaskan Nicholas Bawin Anggat daripada Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan