Pembantu rumah didakwa cuba bunuh majikan - Berita Semasa | mStar

Pembantu rumah didakwa cuba bunuh majikan

Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Seorang pembantu rumah warga Indonesia, Hanni Seo, 23, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh majikannya di sebuah flat di Rifle Range bulan lepas.

Hanni dari Kabupaten Kupang, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Hanni didakwa cuba membunuh majikannya Pang Kian Huang, 42, seorang pekerja kilang, di rumah itu di Rifle Range pada 26 Februari.

Dia dituduh menggunakan bangku kayu, lesung dan pisau untuk menyerang majikannya, mengakibatkan Pang mengalami retak tengkorak serta memerlukan kira-kira 100 jahitan di seluruh badan.

Jika didapati bersalah, wanita Indonesia bertubuh kecil itu berdepan hukuman penjara 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Roslan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memberikan tempoh sebulan untuk kes itu dirujuk ke Konsul Indonesia di sini sebelum disebut semula pada 2 April. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan