Bukit Gantang: PAS bincang calon, Umno dua minggu lagi

Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Badan Perhubungan PAS Perak telah bermesyuarat malam tadi untuk menyenarai pendek calon yang sesuai bagi mewakili parti itu pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang 7 April depan.

Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan PAS negeri, Ahmad Awang kepada mStar Online semalam.

Menurut Ahmad, senarai nama calon-calon kawasan Parlimen Bukit Gantang akan diteliti oleh jawatankuasa kecil senarai calon yang dipengerusikan oleh beliau sendiri serta beberapa ahli jawatankuasa daripada Badan Perhubungan negeri.

"Terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Bukit Gantang dan setiap DUN akan menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga atau empat orang calon yang sesuai.

"Kami akan meneliti calon-calon yang sesuai untuk disenarai pendek dan dikemukakan kepada PAs Pusat yang akan bermesyuarat pada 8 Mac ini," katanya.

Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada tiga DUN, iaitu Titi Serong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang.

Jelasnya, PAS Pusat berhak untuk memutuskan siapa calon yang sesuai untuk mewakili parti itu di kerusi Parlimen Bukit Gantang.

"Siapa jua calon yang akan diluluskan oleh PAS Pusat harus mendapat kelulusan daripada Majlis Syura parti terlebih dahulu.

"Kriteria calon masih sama, kita mahu calon anak tempatan. Namun apa yang lebih penting dia (calon) harus punya peluang untuk menang dan mempertahankan kerusi tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah calon yang akan disenarai pendek untuk diserah kepada Pas Pusat.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian Roslan Shaharum daripada PAS awal bulan ini akibat sakit jantung.

Penamaan calon akan diadakan 29 Mac manakala hari pengundian, jika ada pertandingan, akan berlangsung pada 7 April depan.

Sementara itu, Umno Perak masih menunggu senarai nama calon daripada bahagian Bukit Gantang.

“Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri akan diadakan dalam masa dua minggu lagi. Senarai nama calon itu mungkin akan dihantar terus kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)

“Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Najib sudah terima senarai nama calon atau tidak sehingga kini,” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Ramly Zahari.

Ramly yang juga Ketua Umno bahagian Kuala Kangsar berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bertindak sebagai Timbalannya.

Najib menerajui Umno Perak selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri pada 28 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum lepas, BN meletakkan Bendahari UMNO, Datuk Seri Azim Zabidi sebagai calon.

Pada pilihan raya umum 2004, kerusi berkenaan dimenangi oleh Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan