Krisis Perak: Lagi saman difail, pilihan raya baru perlu?

Diterbitkan: Rabu, 4 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEJARAH Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan di bawah pokok, di kawasan kira-kira 100 meter dari bangunan SUK Perak, Ipoh antara 10 hingga 10.30 pagi tadi. - foto The Star oleh ZABIDI TUSIN
SEJARAH Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan di bawah pokok, di kawasan kira-kira 100 meter dari bangunan SUK Perak, Ipoh antara 10 hingga 10.30 pagi tadi. - foto The Star oleh ZABIDI TUSIN

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Pilihan raya tergempar cara terbaik! Majlis Peguam mengesyorkan agar diadakan pilihan raya baru untuk keluar daripada krisis politik Perak yang berlarutan lebih sebulan termasuk beberapa insiden membabitkan soal perundangan dan kehakiman semalam.

"Tidak ragu-ragu bahawa akan ada lagi kes (baru) yang difailkan di mahkamah. Dan, publik terpaksa melalui kesan ketidaktentuan (politik semasa).

"Situasi ini sukar dipertahankan dan memerlukan satu perkara yang akan menyelesaikan secara konklusif - pilihan raya baru.

"Kini ada pintu peluang bagi keadaan ini berlaku. Biarkan orang ramai memutuskannya," kata Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang ini ekoran "episod drama politik" terbaru yang disaksikan di Perak sejak pagi semalam.

Kenyataan beliau itu menyentuh pelbagai aspek yang berlaku sejak pagi tadi di Ipoh, antaranya penganjuran sidang tergempar di luar DUN, keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak mengiktiraf peguam swasta mewakili Speaker, tindakan polis menghalang ADUN daripada memasuki pekarangan bangunan SUK - yang menempatkan DUN.

Kata beliau, perkara yang berlaku di Perak di luar dugaan dan membabitkan isu perundangan yang kompleks.

Sungguhpun ia tidak munasabah untuk satu pandangan konklusif mereka, sesetengah perkara itu hendaklah ditangani sebagai satu perkara prinsip, katanya dalam kenyataan.

Beliau menanyakan sama ada dibenarkan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan di luar Bangunan Sekretariat Negeri.

"Tentulah, Bangunan Sekretariat Negeri di mana Dewan Undangan Negeri patut diadakan.

"Bagaimanapun, Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang daripada mengadakannya di satu tempat yang sesuai oleh polis dan ini membangkitkan isu serius mengenai kesahihan tindakan polis.

"Dengan itu Speaker tersebut tidak ada pilihan tetapi untuk bertindak dalam apa yang dilihat sebagai kuasa yang luas untuk mengadakan persidangan ini di tempat lain," kata beliau.

Beliau berkata ada pandangan berbeza, tetapi keadaan itu di luar dugaan dan Aturan Mesyuarat mungkin tidak meliputi sepenuhnya seperti keadaan yang tidak diingini, menyerahkan kepada Speaker dengan kuasa untuk bertindak mengikut keadaan kes itu.

Sreenevasan berkata keadaan itu tidak boleh dipertahankan daripada kritikan dan hanya mendesak untuk satu perkara iaitu pilihan raya negeri.

"Kini ada harapan untuk ini berlaku. Biarlah rakyat menentukan," tambah beliau.

Krisis politik Perak yang bermula 25 Januari lalu hari ini menyaksikan beberapa detik menarik dan mencemaskan serta menimbulkan pelbagai tanda - ke mana menujunya amalan demokrasi di negeri itu.

PERKEMBANGAN TERKINI KRISIS POLITIK PERAK URUTAN DETIK KRISIS POLITIK DI PERAK GALERI GAMBAR KRISIS POLITIK DI PERAK Anwar pertahan sidang DUN Perak bahawa pokok Sidang tergempar DUN Perak bawah pokok tidak bertamadun - pemimpin Umno

URUTAN DETIK KRISIS POLITIK DI PERAK

GALERI GAMBAR KRISIS POLITIK DI PERAK

Anwar pertahan sidang DUN Perak bahawa pokok

PERINTAH MAHKAMAH

Kira-kira pukul 4.45 petang tadi, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah melarang Speaker Dewan Undang Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar daripada mengadakan sebarang sidang DUN yang tidak mengikut undang-undang.

Perintah dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim setelah mendengar penghujahan dalam kamarnya oleh pihak Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri yang diwakili sepasukan tujuh peguam diketuai oleh Firoz Husain Ahmad Jamaluddin.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Firoz Husain berkata, perintah larangan itu tidak mempunyai had tempoh.

Beliau berkata, antara hujah utama yang beliau kemukakan kepada Ridwan adalah Seksyen 44 Akta Relief Spesifik yang memperuntukkan satu perintah boleh diberi terhadap seorang penjawat awam.

"Dalam kes ini, Speaker adalah penjawat awam. Selain itu kami turut meneliti undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memberi imuniti kepada Speaker dan prosiding Dewan.

"Kami telah berhujah di mana imuniti itu tidak terpakai dalam keadaan semasa kerana prosiding itu bukan satu prosiding di dalam DUN dan imuniti di bawah Perlembagaan Persekutuan itu tidak terpakai," katanya.

Firoz Husain berkata, Artikel 36(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak turut menyatakan dengan jelas bahawa hanya Sultan Perak boleh memanggil sidang DUN pada waktu yang difikirkan sesuai dan tidak ada peruntukan yang membolehkan Speaker memanggil sidang DUN.

"Speaker tidak mempunyai kuasa memanggil sidang DUN melainkan mendapat perkenan daripada Sultan Perak," katanya.

Zambry dan enam Exco kerajaan negeri hari ini menfailkan satu permohonan baru - perintah injunksi di Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang sebarang persidangan DUN.

Permohonan injuksi itu difailkan pada 8.30 pagi tadi oleh panel tujuh peguam Barisan Nasional (BN) yang diketuai Firoz.

Salah seorang peguam dari panel tersebut Datuk Hafarizam Harun ketika ditemui di luar mahkamah berkata permohonan perintah injunksi itu adalah sampingan daripada pemohonan deklarasi yang turut difailkan oleh plaintif semalam.

"Kami juga membantah panel lima peguam swasta mewakili Speaker DUN Perak V. Sivakumar kerana beliau tidak mendapat kebenaran daripada penasihat undangundang kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berhujah berhubung permohonan perintah injunksi untuk menghalang sebarang mesyuarat yang akan dijalankan oleh Speaker dan anggota Dewan pihak pembangkang.

Permohonan perintah injunksi itu didengar mulai 3 petang di dalam kamar Ridwan.

PEGUAM SPEAKER TIDAK DIIKTIRAF

Sementara itu, peguam Tommy Thomas, yang mewakili defendan iaitu Sivakumar dan anggota DUN pembangkang pula berkata, bantahan dibuat pihak yang mewakili plaintif terhadap beliau dan pasukannya.

"Mereka membantah dengan menyatakan kami tidak mempunyai locus standi mewakili Sivakumar kerana Speaker adalah sebahagian daripada kerajaan dan hanya Peguam Negara atau peguam yang dilantik Peguam Negara boleh mewakili Speaker," katanya.

Mengenai permohonan deklarasi mahkamah yang difailkan oleh plaintif semalam, Hafarizam berkata pendengaran bagi permohonan itu setakat petang tadi belum dibuat dan ia terpulang kepada mahkamah.

Semalam, Zambry dan enam Exco kerajaan negeri memfailkan satu permohonan deklarasi supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Mereka turut memohon supaya mahkamah mengisytiharkan mereka berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang DUN dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan.

SIDANG TERGEMPAR

Hampir waktu serentak Ridwan mendengar hujah peguam itu kira-kira 10 hingga 10.30 pagi tadi, Sivakumar dan 27 anggota dewan daripada pembangkang mengadakan "persidangan tergempar DUN" di bawah pokok, 100 meter di luar bangunan DUN.

Persidangan pada 10.20 pagi itu diadakan setelah kumpulan ADUN berkenaan dihalang oleh polis daripada memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan DUN Perak pagi ini, kerana persidangan itu disifatkan sebagai tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Persidangan itu ditangguhkan 25 minit kemudian selepas meluluskan tiga usul.

Sebelum itu, kekecohan berlaku di luar perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan apabila ADUN pembangkang cuba memasuki ke kawasan bangunan itu untuk menghadiri persidangan di dalam dewan.

Polis bagaimanapun hanya membenarkan Sivakumar memasuki bangunan itu pada kira-kira 9.45 pagi dan orang ramai termasuk media yang berada di situ telah diminta bersurai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias memberi amaran akan menahan sesiapa sahaja termasuk wakil rakyat yang enggan bersurai.

Polis sejak petang semalam telah mengadakan kawalan ketat termasuk menutup beberapa jalan menghala ke bangunan berkenaan Perak Darul Ridzuan.

Tiga usul yang diluluskan ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Sivakumar melarang Zambry dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Persidangan itu, yang berlangsung selama 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

3 USUL

Usul pertama dibentangkan oleh wakil rakyat Titi Serong, Khalil Idham Lim, usul kedua oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang, dan satu lagi oleh ADUN Pantai Remis, Datuk Ngeh Koo Ham.

Mesyuarat itu ditangguhkan pada 10.33 pagi.

Persidangan yang berlangsung sambil wakilwakil rakyat terbabit berdiri dan ia dijalankan dengan bantuan Setiausaha Dewan yang baru dilantik semalam, Mohd Misbahul Munir Masduki, dengan penggunaan alat pembesar suara.

Kawasan persidangan yang berlangsung di sebuah lorong itu dipagari oleh sekumpulan penyokong pembangkang manakala lebih 200 orang berada di sekitar kawasan berkenaan.

Ia disusuli sidang akhbar di pejabat DAP Perak yang terletak berhampiran.

MOHON PERKENAN SULTAN

Pada sidang akhbar itu Nizar berkata, beliau akan memohon perkenan untuk menghadap Sultan Perak secepat mungkin bagi mempersembahkan keputusan Dewan hari ini untuk membubarkan DUN Perak.

Zambry dan Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri berkata, persidangan itu tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak.

Ketika ditanya apakah tindakan seterusnya jika Sultan Azlan enggan memperkenankan pembubaran DUN, Nizar berkata, jika pembubaran dewan tidak dilaksanakan, ia akan hanya menyebabkan krisis perlembagaan kini berpanjangan sekaligus menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Perak.

"Jadi, kami menyampaikan hasrat rakyat Perak agar Tuanku mendengar suara rakyat dan membubarkan dewan," katanya.

Apabila diberitahu bahawa beberapa ADUN dari Barisan Nasional mendakwa tidak menerima sebarang notis daripada Setiausaha Dewan mengenai persidangan hari ini, Nizar berkata, Speaker telah memaklumkannya kepada semua ADUN.

Ngeh pula meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Zambry supaya bersetuju dengan pembubaran dewan kerana, menurutnya, itu adalah satu-satunya penyelesaian segera terhadap masalah dan krisis yang berlaku kini.

Beliau berkata, laporan polis akan dibuat terhadap polis, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Rahman Hashim serta kakitangan awam yang terlibat menghalang sidang tergempar hari ini, kerana menghina.

Dalam pada itu, ADUN kerusi Titi Serong, Khalil Idham Lim, dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming, hari ini membuat laporan polis berasingan terhadap Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Ipoh kerana didakwa menghalang mereka dan 26 ADUN yang lain daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi tadi.

"Kami telah dihalang secara jelas oleh Azisman melalui pengumuman yang mengarahkan kami tidak masuk atas arahan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Rahman Hashim", kata Khalil kepada pemberita di perkarangan IPD Ipoh hari ini.

Nga pula berkata, Abdul Rahman dipertanggungjawabkan kerana menghalang ADUN daripada memasuki bangunan dengan mengunci dewan menyebabkan persidangan DUN tidak dapat diadakan dalam bangunan.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan