MB Perak peroleh perintah mahkamah halang Speaker panggil sidang DUN

Diterbitkan: Selasa, 3 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MESYUARAT DI BAWAH POKOK... Kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat mengadakan sidang tergempar DUN Perak di bawah pokok di kawasan Medan Istana berhampiran bangunan SUK di Ipoh kira-kira pukul 10.30 tadi.
MESYUARAT DI BAWAH POKOK... Kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat mengadakan sidang tergempar DUN Perak di bawah pokok di kawasan Medan Istana berhampiran bangunan SUK di Ipoh kira-kira pukul 10.30 tadi.

[DIKEMAS KINI, 6 PETANG] IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir memperoleh perintah Mahkamah Tinggi bagi menghalang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada memanggil sebarang persidangan dewan itu lagi.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim setengah jam lalu selepas mendengar permohonan baru yang dikemukakan oleh pasukan peguam Zambry dan enam Exco yang lain pagi tadi.

Mahkamah mendengar permohonan baru itu, yang dikemukakan pagi tadi, kira-kira sejam setengah bermula pukul 3 petang tadi.

Kemudian pasukan peguam memasuki semula kamar Ridwan dan keputusan diumumkan kira-kira 4.45 petang.

Ketua pasukan peguam Zambry, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, ia merupakan satu bentuk perintah, bukannya injunksi, bagi membolehkan Menteri Besar menghalang Speaker daripada mengadakan lagi sidang DUN yang tidak sah.

PERKEMBANGAN KRISIS POLITIK PERAK HARI INI

- Mahkamah Tinggi memberi perintah bagi menghalang Speaker daripada memanggil sidang DUN yang tidak sah.

- ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim, dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming membuat laporan polis berasingan terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias kerana didakwa menghalang mereka dan 26 ADUN yang lain daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi tadi.

- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mengadakan sidang tergempar di kawasan tanah lapang kira-kira 200 meter dari bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri.

- Sidang tergempar meluluskan tiga usul iaitu meminta supaya DUN dibubarkan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kekal sebagai Menteri Besar dan mengiktiraf keputusan Speaker menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco lain.

- Mahkamah Tinggi Ipoh menolak pasukan peguam swasta mewakili Speaker.

- Dalam kes saman yang difailkan Dr Zambry dan enam Exco, Speaker diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri.

- Pasukan peguam Dr Zambry dan enam Exco mengemukakan permohonan tambahan pagi ini - dipanggil relief sampingan - bagi mendapatkan perintah injuksi melarang sebarang mesyuarat DUN yang tidak sah diadakan.

- Mahkamah akan mendengar perintah tambahan ini pada pukul 2.30 petang.

- Nizar akan memohon menghadap Sultan Perak untuk meminta perkenan baginda bagi membubarkan DUN.

GALERI GAMBAR KRISIS POLITIK DI PERAK

BERITA TERDAHULU

2 pokok saksi sidang DUN, mahkamah sambung sesi petang

[DIKEMAS KINI, 4.15 PETANG] IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh sedang mendengar hujah plaintif - Menteri Besar Perak dan enam Exconya - yang mengemukakan permohonan baru pagi ini untuk memperoleh perintah injuksi melarang mana-mana pihak mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secara tidak sah.

Permohonan relief sampingan itu merupakan tuntutan tambahan daripada saman yang difailkan petang semalam.

Sesi itu bermula pukul 2.30 petang tadi.

Mahkamah mendengar hujah tersebut selepas pukul 10.30 pagi tadi menolak pasukan peguam swasta dilantik Speaker, V. Sivakumar untuk mewakilinya.

Malah pada waktu serentak sebelah pagi tadi, Dewan Undangan Negeri (DUN) mengadakan sidang tergempat dengan meluluskan tiga usul termasuk meminta pembubaran DUN.

Sidang tergempar itu diadakan di tepi jalan sebatang pokok di kawasan Medan Istana, yang terletak kira-kira 50 meter dari bangunan SUK.

Selain syor pembubaran DUN, dua usul yang lain menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan mengesahkan keputusan Speaker V. Sivakumar melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Persidangan itu, yang berlangsung selama 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Usul pertama dibentangkan oleh wakil rakyat Titi Serong, Khalil Idham Lim, usul kedua oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang, dan satu lagi oleh ADUN Pantai Remis, Datuk Ngeh Koo Ham. Mesyuarat itu ditangguhkan pada 10.33 pagi.

Persidangan yang dipanggil oleh Sivakumar itu diadakan di situ selepas polis menghalang beliau dan 27 ADUN pembangkang daripada memasuki Dewan.

Persidangan yang berlangsung sambil wakil-wakil rakyat terbabit berdiri dan ia dijalankan dengan bantuan Setiausaha Dewan yang baru dilantik semalam, Mohd. Misbahul Munir Masduki, dengan penggunaan alat pembesar suara.

Kawasan persidangan yang berlangsung di sebuah lorong itu dipagari oleh sekumpulan penyokong pembangkang manakala lebih 200 orang berada di sekitar kawasan berkenaan.

Ia disusuli sidang akhbar di pejabat DAP Perak yang terletak berhampiran.

Pada sidang akhbar itu Mohammad Nizar berkata beliau akan memohon perkenan untuk menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah secepat mungkin bagi mempersembahkan keputusan Dewan hari ini untuk membubarkan DUN Perak.

Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri berkata, persidangan itu tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak.

Ketika ditanya apakah tindakan seterusnya jika Sultan Azlan enggan memperkenankan pembubaran DUN, Nizar berkata, jika pembubaran dewan tidak dilaksanakan, ia akan hanya menyebabkan krisis perlembagaan kini berpanjangan sekaligus menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Perak.

"Jadi, kami menyampaikan hasrat rakyat Perak agar Tuanku mendengar suara rakyat dan membubarkan dewan," katanya.

Apabila diberitahu bahawa beberapa ADUN dari Barisan Nasional mendakwa tidak menerima sebarang notis daripada Setiausaha Dewan mengenai persidangan hari ini, Nizar berkata, Speaker telah memaklumkannya kepada semua ADUN.

Ngeh pula meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Zambry supaya bersetuju dengan pembubaran dewan kerana, menurutnya, itu adalah satu-satunya penyelesaian segera terhadap masalah dan krisis yang berlaku kini.

Beliau berkata, laporan polis akan dibuat terhadap polis, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Rahman Hashim serta kakitangan awam yang terlibat menghalang sidang tergempar hari ini, kerana menghina.

Dalam pada itu, Keputusan penolakan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim selepas menemui kedua-dua pasukan pembela dan plaintif kira-kira 30 minit di kamarnya.

Alasan yang diberikan Ridwan adalah pasukan peguam yang dilantik Sivakumar tidak layak untuk mewakili Speaker tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh ketua pasukan peguam Sivakumar, Tommy Thomas.

Kata beliau, mahkamah memutuskan bahawa di bawah peruntukan Akta Tatacara Kerajaan, Speaker hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri atau Jabatan Peguam Negara.

Dalam hal ini katanya, Speaker akan diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Dalam pada itu, sidang tergempar yang diadakan di kawasan lapang berdekatan bangunan SUK telah meluluskan tiga usul.

Usul-usul tersebut adalah berkaitan Datuk Seri Mohamad Nizar Jalamaluddin kekal sebagai Menteri Besar dan memohon Sultan untuk membubarkan DUN.

Kedua-dua perkembangan ini berlaku serentak kira-kira pukul 10 hingga 10.30 pagi.

PERKEMBANGAN KRISIS POLITIK PERAK HARI INI

- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mengadakan sidang tergempar di kawasan tanah lapang kira-kira 200 meter dari bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri.

- Sidang tergempar meluluskan tiga usul iaitu meminta supaya DUN dibubarkan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kekal sebagai Menteri Besar dan mengiktiraf keputusan Speaker menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco lain.

- Mahkamah Tinggi Ipoh menolak pasukan peguam swasta mewakili Speaker.

- Dalam kes saman yang difailkan Dr Zambry dan enam Exco, Speaker diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri.

- Pasukan peguam Dr Zambry dan enam Exco mengemukakan permohonan tambahan pagi ini - dipanggil relief sampingan - bagi mendapatkan perintah injuksi melarang sebarang mesyuarat DUN yang tidak sah diadakan.

- Mahkamah akan mendengar perintah tambahan ini pada pukul 2.30 petang.

- Nizar akan memohon menghadap Sultan Perak untuk meminta perkenan baginda bagi membubarkan DUN.

URUTAN DETIK KRISIS POLITIK DI PERAK

BERITA TERDAHULU

ADUN dihalang masuk DUN, Speaker dibenar

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pagi ini untuk menghadiri sidang tergempar DUN.

Polis yang mengawal pintu masuk bangunan SUK berkata: "YB tidak boleh masuk."

Penyokong Pakatan membuat kepungan rantai manusia bagi mengelakkan wakil rakyat mereka dihalau dari kawasan bangunan SUK.

Sivakumar yang dibenarkan masuk bagaimanapun tidak memasuki kawasan bangunan SUK dan DUN.

Kira-kira pukul 10.15 pagi, Sivakumar yang lengkap sebagai Speaker memaklumkan kepada wakil rakyat yang hadir bahawa sidang tergempar akan diadakan di kawasan lapang kira-kira 200 meter dari bangunan SUK.

Dalam pada itu, di Mahkamah Tinggi Empat di sini, peguam kedua-dua pasukan yang mewakili Zambry dan Sivakumar baru sahaja selesai mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Kehakiman, Riduan Ibrahim selama kira-kira 20 minit.

BERITA TERDAHULU

Speaker DUN, MB Perak bergelut hari ini

IPOH: Krisis politik Perak menanti episod baru pagi ini dengan persoalan sama ada sidang tergempar yang dipanggil Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar akan diadakan.

Sidang tergempar dijadual pukul 10 pagi.

Dalam pada itu, kes saman yang difail petang semalam akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, pukul 9 pagi.

Di sebalik menanti perkembangan ini Bangunan Perak Darul Ridzuan terus dikawal polis dan pasukan FRU pagi ini.

Kakitangan kelihatan masuk tetapi urusan temu janji tidak diadakan.

Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi 4 mula dibanjiri peguam dan penyokong kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat bagi mengikuti kes saman yang difail oleh Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri terhadap Sivakumar dan DUN.

Petang semalam, Zambry dan enam Exco memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Dalam saman pemula yang difailkan, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Sementara itu, beberapa ADUN Pakatan Rakyat termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tiba di pekarangan DUN negeri kira-kira pukul 9.30 pagi.

Beratus-ratus penyokong Pakatan turut mengiringi ADUN berkenaan.

Wakil-wakil rakyat berkenaan bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki kawasan DUN tersebut.

BERITA TERDAHULU

[DIKEMAS KINI, 11.30 MALAM] IPOH: Sah atau tidak ataupun siapa yang lebih berhak! Urutan usaha mempertahankan pendirian dan hujah masing-masing jelas mewarnai drama krisis politik Perak sejak pagi ini - menjelang sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipanggil Speakernya, V. Sivakumar pagi esok.

Drama pagi ini bermula dengan tindakan Exco kerajaan negeri Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid - yang baru - menyerahkan notis untuk merujuk Sivakumar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan itu atas dakwaan salah laku.

Notis yang mengandungi laporan salah guna kuasa oleh Speaker, menghina DUN serta tidak taat setia kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah itu diserahkan kepada setiausaha politik Sivakumar, A. Basu di pejabat Speaker di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 11 pagi.

Ia disusuli dengan tindakan Setiausaha DUN yang memutuskan agar pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini ditutup esok.

Notis Penutupan berkenaan telah ditampal di kompleks yang menempatkan pejabat Menteri Besar Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Notis berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Notis dua perenggan itu meminta warga bangunan Perak Darul Ridzuan supaya membatalkan semua temu janji esok di premis tersebut.

V.Sivakumar telah memanggil sidang DUN tergempar esok untuk membincangkan dua usul.

Drama menjadi makin panas dengan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Dr, Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Sivakumar yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Dalam saman pemula yang difailkan petang tadi, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya, Zambry berkata beliau difahamkan Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan itu pada 9 pagi esok.

Sehingga pukul 11.30 malam tadi, maklumat yang diterima menunjukkan Sivakumar telah bertindak menggantung tugas Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri dengan serta merta sambil menegaskan bahawa persidangan tergempar DUN yang dijadualkan esok akan tetap diteruskan.

Bercakap pada sidang media di pejabat peguamnya di sini malam ini, Sivakumar berkata, penggantungan itu diambil disebabkan kegagalan Abdullah menjalankan tugas sebagai pegawai Dewan.

Beliau telah melantik Misbahul Munir Masduki mengisi jawatan Abdullah.

Misbahul ialah setiausaha politik bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Semalam, Abdullah berkata, keputusan Speaker DUN Perak memanggil sidang tergempar Dewan esok adalah tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Jumaat lepas, Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan memanggil satu sidang tergempar itu bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan di negeri ini.

Dalam sidang media hari ini, Sivakumar turut meminta polis memberi kerjasama kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghadiri persidangan itu.

Beliau berkata Setiausaha Dewan atau Ketua Polis Negeri tidak patut menghalang atau mensabotaj usaha mengadakan persidangan berkenaan yang telah dipanggil secara sah.

Katanya, walaupun pakar perundangan telah menyatakan persidangan yang akan diadakan esok sebagai sah, namun pelbagai usaha dan taktik sedang dilakukan oleh pihak lawan untuk menghalang ia daripada berlangsung.

Sivakumar berkata, beliau akan menggunakan kuasa Dewan untuk membawa mana-mana pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah petang tadi memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan ke atas orang ramai yang mengadakan perhimpunan di kawasan bangunan Perak Darul Ridzuan esok.

Polis termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah berkawal di sekitar bangunan itu sejak petang tadi.

Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat akan pergi ke bangunan berkenaan pada 10 pagi esok untuk menghadiri persidangan tergempar itu.

"Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Perak bahawa pihaknya akan mengambil tindakan berhubung keputusan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menunjukkan ia tidak menghormati DUN sama sekali," katanya.

Ngeh berkata, polis sepatutnya memastikan sidang DUN itu berjalan lancar dan membenarkan semua anggota dewan menghadirinya.

URUTAN DETIK KRISIS POLITIK DI PERAK

Krisis Perak: Polis beri amaran jangan sertai perhimpunan

BERITA TERDAHULU

2 kes difail terhadap Speaker, DUN dikunci esok

[DIKEMAS KINI, 10 MALAM] IPOH: Dua kes difailkan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar - kira-kira 15 jam sebelum ia dijadual mengadakan sidang tergempar yang dipanggil minggu lalu.

Kedua-duanya difailkan beberapa jam selepas Sivakumar dikemukakan notis oleh Exco kerajaan negeri Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan telah menghina Sultan Perak dan salah laku.

Dalam kes pertama, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir mahu mahkamah mengeluarkan perintah bahawa keputusan Sivakumar menggantung beliau dan enam Exco yang lain bercanggah dengan perlembagaan negeri.

Zambry dan enam Exco kerajaan negeri memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Speaker DUN yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Dalam saman pemula yang difailkan petang tadi, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya, Zambry berkata, beliau difahamkan Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan itu pada 9 pagi esok.

Zambry dan enam Exco berkenaan yang merupakan plaintif turut memohon supaya mahkamah mengisytiharkan mereka berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang DUN dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan.

Sivakumar telah memanggil persidangan tergempar DUN Perak esok dan dilaporkan telah menghantar notis kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kecuali Zambry, enam Exco berkenaan dan tiga lagi ADUN Bebas.

Dalam tuntutannya itu, Zambry berkata, beliau mempunyai hak untuk menghadiri sidang DUN.

Saman pemula itu difailkan melalui para peguam Datuk Hafarizam Harun, Badrul Hisham Abdul Wahab dan Ong Teng Boon di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 3.55 petang dan lebih 50 penyokong Barisan Nasional (BN) berada di luar mahkamah.

Zambry berkata, pihaknya turut memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri Perak tidak terikat dengan apa-apa perintah, arahan atau petunjuk daripada Sivakumar.

"Saya ingin mengatakan bahawa apa jua isu sama ada kononnya penggantungan saya dan enam plaintif yang lain, hak menghadiri sidang Dewan dan sebagainya sekarang adalah di hadapan Mahkamah, justeru itu apa jua tindakan YB Sivakumar bolehlah dianggap sebagai subjudis dan berunsur menghina Mahkamah," katanya.

Beliau menggesa Sivakumar supaya bertindak mengikut lunas undang-undang dengan kawarasan dan kewajaran selaras dengan sumpah beliau untuk mempertahankan UndangUndang Tubuh Negeri Perak dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Sultan Perak.

Menteri Besar berkata persidangan tergempar yang diuar-uarkan esok adalah sidang yang tidak sah dan boleh dianggap sebagai suatu sidang yang menyalahi undangundang kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak.

"Saya selaku Menteri Besar bersama barisan Exco ingin menegaskan bahawa sepanjang pengetahuan saya, tiada perkenan Paduka Seri Sultan Perak terhadap yang dikatakan sidang Dewan Khas/Tergempar yang kononnya akan bermula sidangnya pada 3 Mac 2009 (esok) seperti yang diuaruarkan oleh YB Sivakumar," kata Zambry.

Sidang tergempar dijadualkan 10 pagi.

Dalam pada itu, satu lagi kes difailkan oleh tiga ADUN Bebas, yang keluar daripada PKR dan DAP - kini menyokong kerajaan negeri baru pimpinan Barisan Nasional (BN).

Sivakumar yang merupakan Speaker yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini - Pakatan Rakyat, dilaporkan akan meneruskan sidang tergempar itu.

Ia dimaklumkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

BERITA TERDAHULU

Setiausaha arah pintu DUN Perak ditutup, "drama" krisis politik berterusan

[DIKEMAS KINI, 7.10 PETANG] IPOH: Tinggal kira-kira 12 jam sebelum menjelang sidang tergempar yang dipanggil Speaker pagi esok, Perak terus berhadapan 'drama krisis politik" dengan perkembangan-perkembangan baru.

mStar Online difahamkan Barisan Nasional (BN) akan memperoleh perintah mahkamah bagi melarang sidang tergempar itu diadakan.

Beberapa peguam BN kelihatan di mahkamah di sini tetapi belum ada maklumat lanjut mengenai perkembangan tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengarahkan kesemua kakitangan DUN membatalkan temu janji masing-masing esok memandangkan pintu ke DUN akan ditutup.

Pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini akan ditutup esok.

Notis Penutupan berkenaan telah ditampal di kompleks yang menempatkan pejabat Menteri Besar Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Notis berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Notis dua perenggan itu meminta warga bangunan Perak Darul Ridzuan supaya membatalkan semua temujanji pada 3 Mac (esok) di premis tersebut.

Speaker DUN, V. Sivakumar memanggil sidang tergempar pagi esok bagi membincangkan dua notis yang dikemukakan dua orang ADUN.

Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dijangka mengadakan sidang media dalam waktu terdekat.

BERITA TERDAHULU

Sidang tergempar esok diadakan seperti dirancang?

[DIKEMAS KINI] IPOH: Krisis politik di Perak, yang berlarutan lebih sebulan, masih berada dalam keadaan tidak menentu hari ini sementara banyak pihak terus memerhatikan perkembangan menjelang esok - sidang tergempar yang dipanggil oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar.

Pagi tadi, Exco Kerajaan Negeri Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid mengemukakan notis mahu merujuk Sivakumar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan salah laku dan tidak menghormati Sultan Perak.

Sebentar tadi, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pihaknya masih boleh mengadakan persidangan di kedai kopi ataupun kantin Dewan Undangan Negeri (DUN) jika pintu masuk ke dewan ditutup.

Setiausaha DUN pula memberitahu, beliau akan memutuskan petang ini tentang tindakan yang akan diambil berhubung sidang tergempar yang dipanggil oleh Speaker.

BERITA TERDAHULU

BN mahu Speaker DUN Perak dirujuk Jawatankuasa Hak

[DIKEMAS KINI] IPOH: Exco Kerajaan Negeri Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid mengemukakan notis mahu merujuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar (gambar) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan tidak menghormati Sultan Perak.

Notis yang mengandungi laporan salah guna kuasa oleh Speaker, menghina DUN serta tidak taat setia kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Sivakumar, A. Basu di pejabat Speaker di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 11 pagi.

Tindakan itu diambil sehari sebelum sidang tergempar DUN dijadualkan berlangsung esok.

Zahir berkata, notis itu juga berkaitan dengan tindakan Speaker termasuk keputusan menggantung dan melarang Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri menghadiri persidangan DUN.

"Kita anggap ini tidak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan ini melanggar dan ingkar titah Sultan Perak.

"Kita sebagai ADUN termasuk Speaker sedia maklum mesti menyatakan taat setia tidak berbelah bagi kepada Sultan Perak," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan notis itu di sini.

Zahir berkata, mengikut Artikel 47 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang merupakan perlembagaan serta undang-undang tertinggi di Perak, semua anggota DUN mengangkat sumpah antara lain untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Perak dan bersumpah dengan sesungguhnya akan taat setia kepada Sultan Perak.

Pada 18 Februari lalu, Zambry digantung oleh Speaker serta-merta dan dilarang daripada menghadiri sesi DUN Perak selama 18 bulan manakala enam Exco kerajaan negeri digantung selama 12 bulan.

Minggu lalu pula Sivakumar memanggil untuk diadakan sidang tergempar DUN, yang dijadualkan esok.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan