Kerajaan Selangor diminta tidak politikkan isu air

Diterbitkan: Selasa, 3 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor diminta tidak mempolitikkan rancangan kerajaan pusat untuk mengstruktur semula aset dan ekuiti empat pemegang konsesi air di negeri itu.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kerajaan pimpinan pakatan pembangkang di negeri itu tidak harus menggunakan isu air untuk kepentingan politiknya tetapi sebaliknya mengutamakan kepentingan pengguna.

"Apa yang penting sekarang ialah membekalkan air dengan harga yang murah kepada pengguna dan saya fikir lebih baik meletakkan kepentingan pengguna terlebih dahulu," katanya pada sesi taklimat media mengenai penstrukturan semula industri pembekalan air di Selangor di sini hari ini.

"Masalah ini hanya dengan kerajaan Selangor. Kerajaan pembangkang lain seperti Kelantan dan Kedah mahu kami mempercepatkan pengambilalihan supaya rakyat mendapatkan bekalan air dengan harga berpatutan," katanya.

Pada awal tahun ini, kerajaan negeri Selangor telah membentuk sebuah panel kajian semula air bagi menyemak penstrukturan industri perkhidmatan air di negeri itu dan bagi kerajaan pusat mengambil alih aset air di negeri itu.

Panel tersebut, yang mewakili kepentingan negeri, sudah empat kali menangguhkan mesyuarat dengan wakil kementerian, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) (SPAN), dengan penangguhan terakhir pada 14 Februari lalu.

Mesyuarat itu bagi menguraikan butiran penstrukturan termasuk rundingan mengambilalih aset air negeri iaitu soal sistem paip dan 27 loji rawatan air bernilai kira-kira RM9 bilion.

Pemegang konsesi air di Selangor khususnya Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), masing-masing memiliki sebuah loji rawatan di negeri itu.

Ketika ini, PAAB masuk dan mengadakan rundingan secara terus dengan empat pemegang konsesi air di negeri itu iaitu Puncak Niaga, SPLASH, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd dalam usaha penstrukturan semula industri itu.

Mengikut pelan penstrukturan awal, kerajaan Selangor menerusi anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), akan mengambil alih konsesi dan menyerahkan aset kepada PAAB, sebuah syarikat milik penuh di bawah Kementerian Kewangan Inc.

Aset itu kemudian akan dipajak kepada KDEB sebagai pengusaha berlesen tunggal dan selepas penstrukturan itu, tidak ada pemegang konsesi tetapi lesen dikeluarkan kepada pengusaha, tertakluk kepada semakan semula oleh kerajaan pusat dalam tempoh masa beberapa tahun.

Pada 20 Februari lalu, empat pemegang konsesi itu juga telah menolak tawaran kerajaan negeri mengambilalih aset dan konsesi mereka untuk bayaran RM5.7 bilion iaitu RM1 bilion untuk konsesi dan RM4.6 bilion untuk aset.

Antara alasan penolakan tawaran itu adalah kerana tawaran yang rendah di luar jangkaan mereka.

Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi telah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh akhir urusan itu dimuktamadkan.

Shaziman mempersoalkan keperluan KDEB mengambilalih konsesi dan aset dan kemudian menyerahkan semula kepada PAAB.

Katanya tawaran PAAB tidak bersaing dengan tawaran kerajaan negeri kepada pemegang konsesi kerana ia hanya membabitkan bahagian aset sahaja, di mana kerajaan negeri telah bersetuju menjual kepada PAAB pada harga pengambilalihan.

"Tawaran PAAB akan berdasarkan prinsip keadilan, ketelusan dan kemampuan bagi melindungi kepentingan pengguna.

"Nilai yang akan ditentukan berdasarkan prinsip perakaunan dan kewangan dan akan dilaksanakan oleh seorang juruaudit bebas yang dilantik oleh PAAb," katanya.

Shaziman berkata beliau tidak akan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 untuk menekan pemegang konsesi menerima tawaran kerajaan negeri itu.

Kerajaan bukan sahaja mempertimbangkan kepentingan pengguna tetapi juga pemegang bon dan pembiaya yang membuat pelaburan dalam industri air dan pemegang saham pengusaha air dan harus bertindak adil kepada semua pihak, katanya. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan