Istilah apartheid: Pemuda Umno, NGO bantah Pengerusi DAP Johor - Berita Semasa | mStar

Istilah apartheid: Pemuda Umno, NGO bantah Pengerusi DAP Johor

Diterbitkan: Isnin, 2 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Tindakan Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau yang menyamakan konsep bumiputera yang diamalkan di Malaysia dengan dasar apartheid di Afrika Selatan menerima bantahan keras daripada beberapa pergerakan Pemuda Umno bahagian dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di sini.

Mereka mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan mendesak Adun Skudai itu memohon maaf.

"Tidak wujud apa yang dimaksudkannya sebagai dasar apartheid kerana rakyat di Johor yang berbilang kaum bebas mengamalkan budaya, agama dan amalan mereka," kata Ketua Pemuda Bahagian Gelang Patah, Norisham Ismail di sini hari ini.

Beliau seterusnya memberi amaran kepada ketua pembangkang itu agar tidak cuba untuk bermain api dan memperlekehkan kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui selama ini.

Menurutnya, Dr. Boo yang membuat kenyataan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Khamis lalu dilihat sengaja mengundang kontroversi dan terlalu terikut-ikut dengan sentimen perkauman yang dimainkan rakan-rakan beliau di peringkat pusat.

Norhisham berkata, Dr. Boo yang berpendidikan tinggi sepatutnya menjadi pembangkang yang matang dan bijak apabila membuat kenyataan dan mengelak kontroversi.

Dr. Boo dalam kenyataannya menyamakan konsep bumiputera dengan dasar aparthied, dan memberi contoh pelabur bukan bumiputera dalam Dana Johor yang dikenakan kadar faedah lebih tinggi untuk membuat pinjaman berbanding pelabur bumiputera.

Ketua Pemuda Umno Johor Baharu, Khalid Mohamed berkata, satu memorandum akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman untuk dibawa ke persidangan DUN tidak lama lagi.

"Memorandum itu adalah bagi meminta Dr. Boo menarik balik kenyataannya dan juga sebagai peringatan kepada ADUN agar tidak menimbulkan suasana tegang yang boleh menghancurkan hubungan dan kerjasama antara kaum yang dibina oleh kerajaan selama ini," katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Johor (Pekida), Azman Jaafar pula menyatakan rasa hairannya bagaimana Dr. Boo boleh mengeluarkan kenyataan itu sedangkan ekonomi negara sebahagian besarnya dikuasai oleh kaum Cina.

Dengan itu itu menurutnya, kenyataan Dr. Boo jelas tidak benar sama sekali.

Pengerusi Belia 4B Gelang Patah, Sofian Jap pula senada dengan Pemuda Umno serta Pekida, dan menuntut Dr. Boo memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan negeri serta rakyat Johor khasnya orang Melayu berikutan kenyataan tersebut.

Abdul Ghani yang ditemui pemberita sejurus selepas persidangan DUN itu berkata. tindakan ekstrem pembangkang itu mungkin bertujuan mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia terhadap kerajaan.

"Saya tidak tahu apa yang ADUN Skudai mahukan. Perbuatan ini melampau dan saya harap masyarakat sendiri dapat membuat penilaian," katanya. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan