SPRM tetapkan tempoh setahun selesai setiap aduan

Diterbitkan: Ahad, 1 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TUMPUAN... Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang beliau ketuai sekarang menjadi tumpuan pelbagai pihak sejak 1 Januari lalu.
TUMPUAN... Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang beliau ketuai sekarang menjadi tumpuan pelbagai pihak sejak 1 Januari lalu.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mula beroperasi sejak 1 Januari lalu, meletakkan sasaran untuk menyelesaikan setiap aduan dikemukakan dalam tempoh setahun, kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Peruntukan undang-undang perjalanan SPRM menjelaskan dengan adanya Jawatankuasa Semakan Operasi, suruhanjaya ini tidak harus mengambil masa lebih daripada setahun untuk menyelesaikan siasatan terhadap setiap aduan yang dikemukakan.

"Jika kami melangkaui tempoh setahun, kami perlu menjelaskan kepada Jawatankuasa Semakan Operasi... ini adalah peraturan baru," kata beliau dalam temu bual dengan Sunday Star, yang disiarkan hari ini.

Sebelum ini SPRM dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Ia dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Selasa lalu.

Tujuan utama SPRM adalah untuk membasmi semua bentuk rasuah, salah guna kuasa dan dan penyelewengan.

SPRM merupakan salah satu daripada lima inisiatif Abdullah sebelum bersara daripada jawatan Perdana Menteri akhir bulan ini.

Kata Abdullah, SPRM diwujudkan bukan disebabkan desakan mana-mana pihak atau dibuat berdasar pertimbangan politik atau pertimbangan ekonomi semata-mata, tetapi lahir daripada keinginan kerajaan mewujudkan masyarakat Malaysia yang dihormati tinggi dan yang mengamalkan budaya integriti dan menolak rasuah dalam semua aspek kehidupan.

Kata beliau, pelbagai langkah telah diambil untuk menjadikan SPRM antara agensi terbaik di dunia seperti badan yang serupa di Hong Kong dan New South Wales, Australia.

SPRM telah diberi kuasa undang-undang tambahan yang memboelhkannya menyiasat bentuk rasuah yang sebelum ini di luar bidang kuasanya manakala bilangan petugasnya akan ditambah termasuk mempunyai 5,000 pegawai penyiasat.

Dalam temu bual itu, Ahmad Said menjelaskan, peruntukan baru ini diguna pakai ke atas aduan-aduan yang diterima selepas 1 Januari.

Oleh itu kata beliau, kes-kes yang dibangkitkan sebelum 1 Januari lalu masih disiasat di bawah Akta Pencegahan Rasuah, di mana Peguam Negara akan memutuskan sama ada mahu mendakwa atau sebaliknya dan ia akan diuruskan mengikut mekanisme yang lama.

"Jika mereka mengatakan bahawa sesuatu kes itu sudah ditutup, ia dikira ditutup.

"Bagaimanapun bermula 1 Januari lalu, ia akan ditentukan oleh bahagian perundangan kami," katanya.

"Pasukan undang-undang kami perlu menghadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Semakan Operasi dan jika tiada kes, pegawai undang-undang kami perlu menjelaskan mengapa tiada kes," kata beliau.

Jawatankuasa Semakan Operasi juga akan memperoleh laporan mengenai semua kes daripada Pendakwa Raya apabila tiada keputusan selepas enam bulan dan akan menawarkan pandangan pakar ke atas kes-kes yang diputuskan untuk tidak didakwa.

"Kami perlu memberikan penjelasan ke atas setiap kes, tidak kira kecil atau besar, meskipun ia melibatkan RM10.

"Jawatankuasa Semakan Operasi boleh bertanya tentang butiran dan suruhanjaya perlu mengemukakan penjelasan.

"Ini bukan jenaka... adakah anda fikirkan yang kami mahukan ini semua? Kami tidak mahu," kata Ahmad Said sambil menambah, "kini kami perlu membuat banyak kerja."

Jawatankuasa Semakan Operasi itu terdiri daripada tujuh anggota iaitu bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil; peguam Datuk Cecil Abraham; profesor perakaunan, Dr. Syed Noh Syed Ahmad dan Presiden Institut Akauntan Malaysia, Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff.

Anggota lain terdiri daripada Presiden Institut Juruadit Dalaman Malaysia, Walter Sandosam; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Amanah Raya Berhad, Datin Aminah Pit Abd. Raman dan Ketua Pegawai Eksekutif IA Group, Datuk Md. Hamzah Md. Kassim.

Ikuti sedutan temu bual bersama Datuk Seri Ahmad Said Hamdan di pejabatnya, baru-baru ini.

SOALAN Ada yang pihak yang mendakwa SPRM mengamalkan double standard kerana kes yang lama belum selesai tetapi kes yang baru seperti kes salah guna kuasa Tan Sri Khalid Ibrahim (Menetri Besar selangor) sudah selesai?

AHMAD SAID: Itu adalah masalah persepsi. Ia mengambil masa. Kita akan mengekalkan tahap konsisten kita. Apa yang orang ramai mahu, kita konsisten.

Sebelum ini pun kita konsisten tetapi ini adalah masalah persepsi orang ramai. Sekarang ini, mereka yang membuat laporan menghebahkan dulu dalam akhbar, kemudian barulah membuat laporan kepada SPRM.

Penyiasatan dalam SPRM ini adalah elemen kejutan. Kita mesti membuat orang ramai terkejut dengan bukti yang ada tetapi sekarang, kita pula yang terkejut dengan laporan dalam akhbar.

Kita mempunyai Jawatankuasa Penilaian Operasi dan dalam Suruhanjaya ini, kita tidak perlu menyelesaikan sesuatu kes dalam masa setahun. Kalau lebih daripada setahun, kita perlu memberi penjelasan kepada jawatankuasa. Ini adalah peraturan baru.

SOALAN Adakah Datuk Seri menyesal mendedahkan hasil siasatan itu selepas melihat reaksi negatif yang diterima?

AHMAD SAID: Tidak. Kita hanya serahkan kepada Peguam Negara.

SOALAN Mungkin selepas ini Datuk Seri akan ragu-ragu untuk mendedahkan hasil siasatan itu?

AHMAD SAID: Ia terpulang kepada kes tetapi kalau begini keadaannya, lebih baik kita tidak beritahu. Saya senyap sahaja. Tetapi kalau kita terus tangkap, mereka akan lebih marah pula.

SOALAN Bagaimana pandangan Datuk Seri mengenai tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menghadiahkan lembu kepada SPRM sebagai tanda protes mereka kerana SPRM didakwa mengamalkan double standard?

AHMAD SAID: Ia adalah penghinaan kepada kerajaan. Kita telah buat laporan polis mengenai hal itu dan kini terserah kepada polis. Menghina kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas mereka adalah satu kesalahan.

Mereka menggunakan lembu untuk memperolokkan orang lain. Itu bukan sesuatu yang baik. Pada saya, itu memperolokkan kami... mereka memperkatakan tentang profesionalisme tetapi mereka sendiri tidak profesional. Mereka emosional. Kita baru membuat sedikit penguatkuasaan dan mereka sudah mula berkata macam-macam tentang kita. Sebelum ini, apabila kita menangkap orang-orang daripada kerajaan dan sektor swasta, mereka tidak pula berkata apa-apa.

SOALAN Bagaimana SPRM mampu menjadi sebuah suruhanjaya yang bebas?

AHMAD SAID: Jika kita melihat undang-undang yang diperuntukkan, tidak ada satu perkataan pun yang menyatakan kita perlu mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri untuk melakukan pendakwaan. Tiada apa yang kita perlu rujuk kepada Perdana Menteri.

Apa yang ternyata dalam undang-undang adalah kita perlu malaporkan aktiviti kepada Lembaga Penasihat dan Jawatankuasa Penilaian Operasi. Jika orang ramai ingin membuat aduan, terdapat Jawatankuasa Aduan yang dianggotai bekas hakim untuk melihat aduan itu. Jawatankuasa akan meneliti aduan-aduan ini dan semua itu dilakukan oleh individu-individu yang bebas.

Kebebasan adalah elemen yang penting untuk menyiasat dan membuat keputusan. Di bawah undang-undang, SPRM menyiasat sesiapa sahaja tanpa perlu merujuk kepada Perdana Menteri. Itulah yang dinamakan bebas.

SOALAN Adakah semua kes yang kepada jawatankuasa adalah kes berstatus tinggi?

AHMAD SAID: Tidak. Semua kes sama ada melibatkan RM10, RM20, RM100, semua kita beri dengan maklumat yang lengkap. Ini bukan satu perkara yang main-main. Banyak kerja yang perlu dilakukan Kita mahu orang ramai tahu tang kita benar-benar menjalankan tugas dan kita tidak main-main. Kita serius.

SOALAN Bagaimana siasatan kes yang dilaporkan pada tahun lalu?

AHMAD SAID: Semua kes sebelum 1 Januari 2009 akan disiasat menggunakan mekanisme lama. Ia perlu dihantar kepada Peguam Negara dan jika Peguam Negara kata tutup, maka akan ditutup.

Bermula 1 Januari lalu, kita akan cadangkan kepada bahagian pendakwaan dan perundangan dan bahagian tersebut akan memutuskan. Jika dikatakan tidak ada kes, kita perlu membentangkannya kepada Jawatankuasa Penilaian Operasi. Pegawai perundangan kita akan menghadiri mesyuarat bagi menerangkan mengapa keputusan itu dibuat... ini merupakan langkah perlindungan dan orang ramai akan yakin.

SOALAN Memandangkan SPRM kini di bawah undang-undang baru, adakah SPRM menasihatkan mereka yang sebelum ini membuat laporan di bawah undang-undang lama membuat laporan baru?

AHMAD SAID: Tidak perlu kerana kalau kita sudah selesai melakukan siasatan dan kita sudah buat keputusan tidak ada bukti kecuali jika ada bukti baru. Kalau bukti yang sama, tidak ada guna kita buka semual kes tersebut.

SOALAN Adakah kuasa pendakwaan hanya terletak kepada Pendakwa Raya?

AHMAD SAID: Kuasa pendakawaan terletak kepada Pendakwa Raya dan kita mempunyai 31 Timbalan Pendakwa Raya di pejabat ini yang diketuai oleh Peguam Kanan Persekutuan yang merupakan Pengarah Perundangan dan Pendakwaan. Beliau yang akan menentukan dan membuat keputusan termasuk pendakwaan.

SOALAN Ada banyak laporan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo tetapi sehingga hari ini tiada dakwaan dilakukan sehinggakan baru-baru ini 20 laporan yang sama dilaporkan semula.

AHMAD SAID: Tidak ada bukti terhadap kes beliau. Kes-kes yang dilaporkan adalah kes yang sama. Semua kes itu telah ditutup. Jika bukti yang sama diberikan seperti kes sebelum ini, tidal ada sebab untuk kita membuka semula kes itu. Kita hanya akan membuka kes itu jika ada bukti baru.

SOALAN Bagaimana dengan kes klip video Lingam? Orang ramai berpendapat, SPRM dengan segera menyiasat Tan Sri Khalid sedangkan kes Lingam masih belum selesai?

AHMAD SAID: Kami sudah lama menyelesaikan siasatan (kes klip video Lingan) tersebut. Sebenarnya, lebih senang untuk kita mendakwa seseorang daripada tidak mendakwanya terutamanya apabila Suruhanjaya Diraja mengatakan wujud kes.

Bagaimanapun kini, apa yang mengganggu kes itu adalah apabila saksi utama bagi kes itu enggan memberi kerjasama. Disebabkan kini kita mempunyai Jawatankuasa Penilaian Operasi, kita menerangkan kepada mereka mengapa kita tidak boleh membuat dakwaan. Ini bukan sebab kita tidak mahu mendakwa tetapi disebabkan saksi tidak mahu bekerjasama. Sesiapa sahaja tidak boleh memaksa beliau untuk meminta beliau memberi kerjasama kerana apabila di mahkamah nanti, saksi akan berkata beliau dipaksa dan kenyataannya tidak akan boleh diterima. Kita perlu mematuhi sistem undang-undang.

Dalam kes itu, adakah Suruhanjaya Diraja telah memastikan yang Lingam menerima atau memberi rasuah? Tidak. Memang klip video itu ada tetapi kepada isu kesalahan undang-undang di bawah bidang kami iaitu rasuah. Adakah Lingam menyalahguna kuasa? Kuasa apa yang beliau ada? Seseorang itu mesti mempunyai kuasa untuk menyalahguna kuasa. Beliau tidak mempunyai sebarang status rasmi atau jawatan rasmi, jadi beliau tidak menyalahguna kuasa.

Kami telah menyerahkan kes itu kepada Peguam Negara. Dalam dua siasatan, kes tidak wujud dan bagi dua kes lagi, kami telah menghantar cadangan kita.

Jika dibenarkan, kami boleh memberi penerangan terperinci mengenai penyiasatan dan penemuannya. Adakah anda fikir yang orang ramai ingin mengetahuinya? Ya., disebabkan itu Seksyen 29(4) memberi kita kuasa untuk kita memberitahu penemuannya. Bagaimanapun, apabila kami mendedahkan penemuan itu, begitu banyak sekali orang bercakap.

Selain itu, ada sesetengah kes yang akan mengambil masa lama kerana ada kes yang mudah dan ada juga kes yang rumit.

SOALAN Di Perak, adakah SPRM serius dalam menyiasat lompat parti yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat yang didakwa disebabkan rasiah dan pujukan?

AHMAD SAID: Kami serius menyiasatnya daripada mula lagi. Sebab itu kami menahan mereka (ADUN Behrang dan Changkat Jering). Kita hanya menjalankan tugas. Apa bezanya jika mereka lompat parti sekarang? Bila kami mendawka mereka, kami telah menyelesaikan tugas kami. Sekarang ini, adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk mendakwa.

SOALAN Bagaimana dengan aduan oleh Pakatan Rakyat di Perak berhubung tawaran RM50 juta yang dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak? Adakah SPRM bertindak terhadap aduan itu?

AHMAD SAID: Ya dan kita akan bertindak dengan segera. Kita tidak ada belas kasihan terhadap sesiapa pun. Semua perlu memahami peranan jawatankuasa dalam Suruhanjaya ini yang mewakili orang ramai bagi memastikan Suruhanjaya menjalankan tugas mengikut undang-undang. Jika ada kes yang mahu ditutup, kita perlu merujuk kepada jawatankuasa dan jawatankuasa ini adalah orang-orang yang tiada kaitan dengan kerajaan seperti akauntan dan peguam.

Adakah SPRM berani mendakwa Datuk Seri Najib (jika ada kes) kerana beliau adalah bakal Perdana Menteri?

Adakah anda fikir kami berani katakan kepada jawatankuasa bahawa kami tidak mahu mendakwa Perdana Menteri. Kalau dikatakan tidak ada bukti, adakah semua pegawai saya akan berpakat mengatakan yang kami tidak ada bukti. Kita perlu memberi penjelasan mengapa kita tidak mahu dakwa dan jawatankuasa boleh minta kita semak dan melihat semula kes itu. Itulah yang berlaku di Hong Kong dan ia menjadi.

Laporan mengatakan yang duit yang diterima itu ditawarkan kira-kira setahun lalu ketika mereka ini menang kerusi (ADUN dalam pilihan raya umum) dan panggilan itu dikatakan datang daripada parti dan istana. Tetapi bagaimana kita dapat memastikannya? Sesiapa sahaja boleh mendakwa yang mereka adalah ejen daripada parti dan istana. Kadangkala, ia mungkin daripada parti yang sama yang mungkin mahu ahli-ahli mereka untuk melihat, jika mereka ditawarkan RM50 juta, adakah ahli-ahli ini akan lompat parti.

Mereka ini sebenarnya bukan bertujuan untuk membuat laporan. Mereka lakukannnya untuk memalukan orang. Mereka lebih suka jika SPRM gagal kerana mereka boleh katakan, kerajaan berat sebelah. Jika mereka serius dalam membuat laporan, mereka akan melaporkan dan diam. Bagaimanapun, jika kita tidak menjalankan tugas, barulah mereka boleh 'hentam' kita. Tetapi mereka telah memalukan orang melalui media terlebih dahulu. Adakah itu adil?

SOALAN Bagaimana kesukaran menyiasat ahli-ahli politik?

AHMAD SAID: Ia sukar kerana apabila melibatkan ahli politik, semua orang bertindak mengikut emosi dan sentimen kumpulan dan mereka seterusnya mula menyalahkan kita.

SOALAN Jika dahulu, BPR tidak menyiasat politik wang dalam pemilihan parti tetapi mengapa kini, mengapa SPRM menyiasat Umno?

Orang-orang Umno yang membuat aduan kepada SPRM... sebab itu kami menyiasatnya. Tahun ini, ramai orang Umno yang datang membuat laporan. Saya melihat perkara ini sebagai petanda yang baik orang Umno juga tidak membenarkan rasuah berlaku.

SOALAN Adakah Presiden Umno meminta SPRM untuk menyiasat?

AHMAD SAID: Tidak. Apabila ada yang datang membuat laporan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyiasat. Jika gagal, kita kena.

SOALAN Adakah SPRM menyiasat mana-mana calon bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden, Ketua Pemuda atau Ketua wanita?

AHMAD SAID: Tidak. Kita tidak ada menerima laporan tentang itu.

SOALAN Apakah visi Datuk Seri untuk SPRM?

AHMAD SAID: Kami perlu memperbaiki indeks rasuah dan membasmi gejala ini dengan serius. Semua orang harus memainkan peranan mereka. Media memainkan peranan penting kepada kami dan media mesti memberi sokongan penuh kepada kita. Orang ramai juga perlu member sokongan kepad kita.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan