Isu moral, politik: Timbulkan kecelaruan nilai?

Diterbitkan: Ahad, 1 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kontroversi penyebaran gambar separuh bogel seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor di internet barubaru ini telah mencetuskan polemik mengenai perubahan yang sedang berlaku kepada nilai ketimuran dan prinsip moral pegangan masyarakat di negara ini.

Ditambah dengan kemunculan semula DVD seks yang membabitkan seorang bekas menteri, topik yang berkisar pada persoalan moral dalam masyarakat Malaysia hangat dibincangkan di warung-warung kopi dan di pejabat malah perbincangan juga meluas di ruang siber.

Kenyataan seperti "ini bukan soal moral tapi peribadi" atau "konspirasi politik" serta "pencerobohan privasi" dan desakan "tiada moral, letak jawatan" telah timbul dan menyebabkan jualan akhbar serta rating TV meningkat.

Apakah norma kesusilaan timur yang menjadi amalan masyarakat selama ini sudah terhakis sehingga ada pihak berkeras mempertahan perbuatan tidak bermoral atas nama hak peribadi.

Sungguhpun kenyataan seperti ini bertujuan menyokong atau tidak individu terbabit atas dasar politik mahupun simpati sebagai seorang insan, namun perkara pokok bahawa moral dan integriti penting kepada seorang pemimpin, tidak boleh diketepikan.

"Moral dan integriti penting sebagai pemimpin, seperti kata orang tua busuk dan segar ikan bermula di kepala," kata penganalisis politik, Prof Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada Bernama di sini.

Secara mudah moral atau "moralitas" dalam bahasa latin bermaksud, "kod tatalaku yang berkaitan dengan perkara yang betul dan salah.

Ia dibentuk dan mencerminkan masyarakat, falsafah, agama atau kesedaran individu. Dalam konteks ini, Mohammad Agus mengakui kes Exco wanita itu boleh ditafsirkan sebagai isu moral walaupun motif sebenar gambar itu disebarkan masih disiasat.

"Eli (Elizabeth Wong) isu moral, sebab benar orang masuk dan sekedudukan. Masalah lompat parti juga isu moral kerana salah dari etika.

"Tapi dalam demokrasi selagi mana disokong, legitimasi individu itu sebagai wakil rakyat adalah sah," katanya.

Elizabeth yang mendapat perhatian ramai sejak isu gambarnya disiarkan oleh media pada 15 Februari lepas telah diberikan cuti oleh kerajaan negeri pakatan DAP, PKR dan PAS.

Berikutan kontroversi itu, Elizabeth telah menawarkan diri untuk melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri dan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Lanjan.

Sehingga kini, kerajaan negeri pakatan DAP, PKR dan PAS bertegas bahawa kes Elizabeth merupakan pencerobohan kepada hak peribadi wakil rakyat itu dan bukannya soal moral selain mendakwa musibah itu kononnya dirancang oleh Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, seorang bekas menteri terbabit dalam skandal seks selepas DVD aksi seks beliau bersama seorang wanita yang bukan isterinya tersebar telah menyebabkan beliau meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan.

Ironinya, sepertimana Elizabeth yang mendapat sokongan daripada pakatan DAP, PKR dan PAS, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kembali dalam arena politik dan dipilih oleh para anggota MCA sebagai timbalan presiden parti.

Persoalannya, apakah rasional dan pengajaran di sebalik sokongan berterusan ini?

Apakah ini bermakna sentimen politik itu melangkaui pegangan moral yang menjadi perbezaan antara masyarakat timur seperti Malaysia dengan barat, yang sering memanipulasikan hak asasi manusia mengikut konteks dan kepentingan mereka?

"Semua orang buat kesalahan. Apa yang penting adakah mereka mahu berubah," kata ahli sosiologi Dr. Lee Yok Fee, dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mengaitkan keputusan yang dibuat perwakilan parti adalah dalam konteks parti dan bukannya kepentingan umum.

"Saya percaya dalam parti (MCA) orang masih pentingkan moral tapi kita tak tahu situasi sebenar dalam parti," katanya sambil menegaskan bahawa intepretasi moral juga berbeza jika dilihat dari segi individualisme.

"Contohnya, kalau bogel untuk mandi itu biasa. Tetapi kalau bogel seorang diri tengok televisyen (tapi jiran dapat tahu) itu soal lain, itu masalah psikologi," kata Lee.

Beliau berkata jika dilihat dari segi hak asasi manusia, seseorang itu mempunyai hak peribadinya dan boleh melakukan apa saja selagi tidak mengganggu orang lain.

Seorang pengundi yang enggan dikenali pula berkata keputusan pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu jelas menunjukkan bahawa rakyat menuntut kepimpinan yang lebih berintegriti.

"Jika kita mahu pemimpin yang berintegriti, tidak rasuah, tidak salahgunakuasa, tidak abaikan rakyat, sudah tentunya kita mahu pemimpin yang bermoral," katanya yang mengundi di Bandar Tun Razak.

Namun, bagi ahli politik veteran Tan Sri Abu Zahar Ujang, persoalan moral tidak boleh dilihat dari sudut sempit, sebaliknya berlandaskan kepada ajaran agama tentang perkara baik dan buruk.

"Semua orang perlu bersikap waras dan bertanggungjawab kepada Malaysia bukannya kepada satu kelompok tertentu. Moral bukan ikut kaum, kalau tidak baik, undur diri.

"Kalau kita lihat dari sudut satu kaum maka itu berat sebelah," kata Abu Zahar yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Jika dilihat dari sudut demokrasi, soal moral dan integriti pemimpin tidak boleh dianggap sebagai perkara peribadi walaupun ia seringkali dijadikan senjata ampuh dan modal politik bagi pihak lawan.

Ini kerana seperti selebriti, kehidupan seorang pemimpin juga adalah milik awam dan jika didedahkan ia sudah pasti menjadi tumpuan ramai seperti mana dalam Islam yang menyebut "pemimpin itu adalah khadam (orang suruhan)".

Jika selama ini, melihat bahan pornografi itu satu perbuatan rendah moral, maka perbuatan sama tertakluk kepada seseorang individu atau seorang pemimpin malah seorang pemimpin perlu lebih baik moralnya.

Persoalan di sini bukanlah untuk menjatuhkan hukuman terhadap individu terbabit tetapi bagaimana semua pihak dapat mempelajari apa yang baik dan buruk daripada seseorang pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh ikutan.

"Politik itu bergantung kepada isu, jika tiada isu tiada politik. Apa yang lebih penting, atas dasar apa pandangan rakyat itu digerakkan.

"Berlandaskan emosi atau fakta?," kata pakar pembangunan dasar Prof Dr Azahari Ismail, dari UPM.

Beliau berkata, perkembangan semasa menunjukkan seolah-olah nilai politik yang mengutamakan kuasa atau penguasaan sesuatu puak melangkaui nilai agama, sosial dan budaya sekaligus menimbukan "kecelaruan nilai" dalam masyarakat. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan