Tidak sah, BN Perak persoal Speaker panggil sidang DUN

Diterbitkan: Sabtu, 28 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Perak hari ini mempersoalkan sama ada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak , V. Sivakumar telah memperoleh perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk mengadakan sidang tergempar Selasa ini.

Petang semalam, Sivakumar berkata, beliau akan memanggil satu sidang tergempar DUN pada 3 Mac bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Semua ADUN akan menghadiri sidang tersebut kecuali Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang baru dilantik serta tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

Enam exco berkenaan ialah Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Sementara itu, tiga ADUN Bebas adalah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).

Dalam reaksi segera daripada para Exco, Ramly yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri berkata, ramai ADUN BN yang tidak digantung juga masih belum memperoleh notis tersebut.

"Setakat ini, saya masih belum terima apa-apa notis tentang sidang DUN itu. Jika terima notis itu sekali pun saya tidak boleh buat keputusan untuk hadir atau tidak.

"Kita akan buat keputusan bersama, setelah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Dr Zambry," katanya kepada mStar Online.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Jelas Ramly, tindakan Speaker hari ini adalah bertentangan dengan undang-undang kerana Speaker sepatutnya perlu memberi notis selama 14 hari kepada ADUN sebelum memanggil sidang DUN.

Sementara itu, Dr Mah menyifatkan tindakan Sivakumar itu telah melanggar titah Sultan Perak.

"Dia (Sivakumar) ini macam tidak tahu undang-undang dan membuat keputusan tanpa rujuk kepada Sultan. Mana boleh adakan sidang DUN tanpa dapat perkenan Sultan?

"Oleh itu, keputusan yang Speaker buat pada hari ini adalah tidak sah. Kita kena bertindak ikut undang-undang dan mengenepikan sentimen politik dalam hal perlembagaan," ujarnya.

Beliau turut mengesahkan belum menerima sebarang notis berhubung sidang DUN terbabit.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan