Abdullah tak sedih hadiri sidang ASEAN terakhir - Berita Semasa | mStar

Abdullah tak sedih hadiri sidang ASEAN terakhir

Diterbitkan: Sabtu, 28 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi (kiri) bersama Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (tengah) dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva ketika sesi bergambar semasa menghadiri Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT) Keempat di Cha Am dekat  Hua Hin, Thailand pagi tadi. - foto AP
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi (kiri) bersama Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (tengah) dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva ketika sesi bergambar semasa menghadiri Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT) Keempat di Cha Am dekat Hua Hin, Thailand pagi tadi. - foto AP

HUA HIN, Thailand: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak berasa sedih atau sayu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN terakhirnya - yang bermula hari ini - sebelum bersara selepas perhimpunan Umno hujung bulan depan.

"Saya tak ada apa-apa... biasa saja, tak rasa sayu, tak sedih. Ini kerja biasa," kata Perdana Menteri kepada pemberita di sini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 yang bermula hari ini.

Beliau diminta mengulas perasaannya menghadiri sidang kemuncak terakhir baginya selepas mewakili negara ke pelbagai mesyuarat ASEAN sejak menjadi Menteri Luar dari tahun 1991 hingga 1999, dan seterusya sebegai Perdana Menteri sejak 2003.

Abdullah berkata, ASEAN yang kini berusia 42 tahun telah mencapai kejayaan dan perkembangan pesat sehingga diiktiraf dan dihormati dunia.

"Ini adalah hasil kerjasama dan persefahaman baik serta kesanggupan negara anggota untuk menyelesaikan masalah bersama," katanya.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan membangkitkan isu pelarian Rohingya pada sidang kemuncak itu, Abdullah berkata, beliau akan menyentuh mengenai perkara itu kerana terdapat lebih 14,000 Rohingya di Malaysia.

"Ini satu bilangan besar, kalau tiada permit, macammacam masalah timbul," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak akan mengambil tindakan keras terhadap mereka sebaliknya lebih suka mencari jalan baik memandangkan mereka datang ke Malaysia kerana menghadapi masalah di negara asal mereka.

Mengenai pertemuan pertamanya dengan Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva, Abdullah berkata, mereka membincangkan pelbagai isu hubungan dua hala termasuk perkembangan di selatan Thailand.

Katanya, Abhisit menghargai kerjasama dan bantuan yang diberikan Malaysia dalam mencari penyelesaian masalah pemberontakan di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

SIDANG BERMULA

Para pemimpin dari 10 negara anggota Asean memulakan rundingan mereka hari ini dengan fokus utama mengenai krisis ekonomi global yang mengurangkan peluang pekerjaan dan pembangunan di rantau ini selain isu kaum Rohingya.

Sidang kemuncak Asean ke14 adalah mesyuarat pertama peringkat pemimpin selepas Piagam ASEAN berkuat kuasa menjadikan kumpulan berumur 42 tahun itu sebagai pertubuhan yang berlandaskan undang-undang.

Abdullah yang tiba di sini Jumaat selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Pattaya mengetuai deleasi Malaysia di Sidang Kemuncak para pemimpin itu untuk berusaha mengukuhkan kerjasama di rantau itu dan bekerja ke arah mengintegrasikan Komuniti Ekonomi Asean menjelang 2015.

Abhisit yang memegang jawatan itu tiga bulan yang lalu, mempengerusikan sidang kemuncak itu di mana para pemimpin akan berbincang mengenai keadaan buruk ekonomi sejak krisis kewangan pada 1997 dan berusaha bersamasama bagi mengekang kesan krisis itu yang akan memberi impak terhadap 570 juta penduduk di rantau ini.

Satu daripada kekhuatiran di kalangan para pemimpin adalah berhubung kaedah meningkatkan perlindungan kepada perusahaan dalam negeri yang diaplikasikan oleh sesetengah negara untuk melindungi ekonomi mereka berikutan krisis global sekarang.

Isu pelarian Rohingya yang tidak bernegara akan mendominasi agenda dan begitu juga dengan nasib mereka yang bergantung kepada kerjasama persefahaman banyak negara terutama Thailand, Malaysia, Bangladesh, Indonesia dan yang lebih penting Myanmar yang masih belum lagi menerima mereka sebagai warganegara.

Di luar sidang kemuncak itu, Abdullah, Abhisit dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono akan berbincang berhubung usaha mengukuhkan kerjasama serantau pada Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT) Keempat.

Abdullah, yang diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim, kemudian akan menghadiri Sidang Kemuncak Pmimpin bagi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMPEAGA) esok.

Pada petang ini, Abdullah, yang diiringi Datin Seri Jeanne Abdullah, akan menyertai pemimpin lain untuk menghadap Raja Thai Bhumibol Adulyadej. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan