AMK adakan 'Himpunan Semangat 46 Lembu' di SPRM petang ini

Diterbitkan: Rabu, 25 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat akan mengadakan perhimpunan dan perarakan secara aman dengan membawa seekor lembu ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai simbolik bagi mempersoalkan status aduan kes-kes rasuah yang dikemukakan sebelum ini.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata perhimpunan yang dinamakan 'Himpunan Semangat 46 Lembu' itu merupakan sindiran sinis pihaknya kepada SPRM khususnya Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang dikatakan lebih berminat menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Selangor.

"Tujuan utama kita adakan perhimpunan esok ialah bagi mempersoalkan kredibiliti dan profesionalisme SPRM dalam mengendalikan siasatan kes-kes rasuah yang kita laporkan beberapa tahun kebelakangan ini.

"Namun kita ragu dan hairan mengapa SPRM begitu bersungguh-sungguh menyiasat kes lembu yang melibatkan Menteri Besar Selangor," katanya kepada mStar Online.

Pada 20 Februari lalu, Ahmad Said mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya ada bukti dan keterangan kukuh berhubung dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalah guna wang kerajaan negeri bagi menyelenggara kereta peribadi dan pembelian 46 lembu untuk korban sempena Aidiladha Disember lalu.

AMK turut mendakwa tindakan Ahmad Said itu menunjukkan penyalahgunaan kuasa beliau, yang secara terang melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan kuasa mendakwa hanya kepada Jabatan Peguam Negara.

Perhimpunan tersebut akan diadakan di lobi belakang Plaza Massalam, Seksyen 9, Shah Alam itu dijadual bermula pada pukul 2 petang ini.

Kemudian kumpulan yang diketuai oleh Shamsul itu akan berarak menuju ke Pejabat SPRM yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat berkumpul.

"Kita berjalan tidak jauh dan tak akan mengganggu orang awam.

"Malah kita juga akan menggantung kesemua salinan laporan yang pernah kita buat kepada SPRM sebelum ini di leher lembu yang akan kita bawa esok dan laporan itu akan diserahkan kepada pegawai SPRM," katanya.

Bagaimanapun Shamsul berkata perhimpunan esok tidak mendapat permit daripada pihak polis.

"AMK ada maklumkan kepada polis tapi kita diberikan amaran supaya tidak meneruskannya.

"Namun ia akan tetap diadakan kerana kita yakin polis tidak faham dengan perancangan kita, kerana saya yakin perhimpunan ini tidak akan mengganggu ketenteraman awam," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan