Dewan Tertinggi BN putuskan calon tanding DUN Bukit Selambau

Diterbitkan: Isnin, 23 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau tidak boleh mengulas sama ada calon tersebut adalah daripada mana-mana parti komponen buat masa ini.

"Itu (calon) kemudian. Biar ia ditentukan oleh Dewan Tertinggi BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa hal ehwal orang India di bangunan Parlimen, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan daripada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu semalam bahawa parti itu akan meletakkan seorang calon tempatan yang diyakini boleh menjalankan tugasnya dengan baik sekiranya kepimpinan tertinggi BN)memberikan kerusi DUN Bukit Selambau kepada parti itu.

Katanya, antara kriteria yang sedang dipertimbangkan adalah calon itu mesti seorang yang boleh bekerja, kenal kawasan tersebut dan pandai bertutur dalam loghat Kedah supaya senang untuk mendekati masyarakat tempatan.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau akan diadakan pada 7 April ini serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Kekosongan kerusi bagi DUN Bukit Selambau adalah berikutan peletakan jawatan ADUN kawasan itu, V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat, sementara bagi Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian ahli Parlimennya, Roslan Shaharum pada 9 Februari lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan