Nik Aziz: PAS cabar Ibrahim letak jawatan MP

Diterbitkan: Ahad, 22 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TIKET PAS... IBRAHIM Ali menunjukkan simbol PAS ketika hari penamaan calon pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.
TIKET PAS... IBRAHIM Ali menunjukkan simbol PAS ketika hari penamaan calon pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

[DIKEMAS KINI] KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: "Keputusan PAS mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan)."

"PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas jika benar-benar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di sini semalam.

Pagi ini ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kursus kakitangan awam kerajaan negeri, Nik Aziz enggan memberikan sebarang ulasan mengenai desakan PAS Kelantan yang mahukan Ibrahim meletak jawatan.

"Tok se, tok se (tak nak, tak nak)," kata Menteri Besar Kelantan itu.

Semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik PAS.

Takiyuddin menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan anggota Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Dalam reaksi spontan semalam, Ibrahim berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.

Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.

Ibrahim turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

Ditanya mengapa PAS bertindak mencabar Anggota Parlimen itu meletakkan jawatan, Nik Aziz berkata, ini disebabkan Ibrahim mengkritik kepimpinan PAS dari belakang.

Nik Aziz berkata, walaupun Ibrahim calon Bebas, tetapi bukan bererti beliau boleh bebas tanpa sekatan.

"Kalau lembu pun kita kena ikat dengan tali, mana boleh manusia bebas tanpa sekatan.

"Sebagai pemimpin, Ibrahim tidak boleh mengkritik dan menyerang PAS dan pemimpinnya bukan-bukan.

"Ini bukan bererti PAS tidak boleh ditegur. Yang berhak mengkritik dan menegur (pemimpin dan parti) ialah rakyat," katanya.

Kepada soalan lain, jika Ibrahim enggan berundur dan meletakkan jawatan walaupun dicabar berbuat demikian oleh PAS, Nik Aziz berkata: "Memanglah, biasanya manusia tidak mudah mengaku kalah. Macamlah kita jadi menantu, kalau mentua bencipun kita tetap tinggal rumah itu kerana sayangkan anaknya..." BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan