Ibrahim: Tak perlu Nik Aziz cakap besar - Berita Semasa | mStar

Ibrahim: Tak perlu Nik Aziz cakap besar

Diterbitkan: Ahad, 22 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata beliau bukan "bodoh" untuk meletakkan jawatan semata-mata untuk menguji kekuatan pengaruh politiknya dengan bertanding semula dalam pilihan raya kecil.

"Tok Guru Nik Aziz patut sudah tahu, ikut undang-undang kalau saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, saya tidak boleh bertanding untuk tempoh lima tahun hingga pilihan raya umum ke-13.

"Jadi macam mana saya nak uji kekuatan pengaruh politik saya?

"Dia (Nik Aziz) pun pernah hampir hilang pengaruh masa pilihan raya umum ke-11 ketika PAS hampir jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

"Masa itu saya pun ada bantu PAS dengan meraih undi orang-orang Umno untuk memilih mereka. Jadi tak perlu dia (Nik Aziz) cakap besar," katanya kepada mStar Online hari ini.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas itu meletakkan jawatan, malah beliau mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau akan hanya meletakkan jawatan jika mendapat desakan daripada pengundi-pengundi bahagian Pasir Mas.

Tambah beliau, pendirian PAS sejak kebelakangan ini sering berubah-ubah dan demi kepentingan politik, parti itu sanggup menyokong Hindraf untuk mendapat sokongan daripada kumpulan minoriti.

Ditanya adakah beliau akan menyertai Umno selepas mendapat desakan daripada Nik Aziz dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan mahu beliau meletakkan jawatannya, Ibrahim berkata:

"Saya akan ambil tindakan langkah demi langkah untuk atasi masalah ini.

"Selama ini pun saya tidak pernah fikir untuk masuk mana-mana parti. Buat masa ini saya lebih senang menjadi calon Bebas," katanya.

Tegas Ibrahim, beliau bukan hanya mengkritik PAS malah turut mengkritik BN.

Namun katanya, berita mengenai beliau mengkritik parti itu jarang dipaparkan di media sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran, dan ada yang mengatakannya menyokong BN.

"Biarlah mereka (PAS) bercakap apa pun. Saya hanya dengar sahaja dulu. Mereka ada isu nak bercakap tapi jangan sampai lupa tanggungjawab di kawasan sendiri sudah," ujarnya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11.

Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.

Beliau turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan