Tokoh seni lukis, Ibrahim Hussein selamat dikebumikan

Diterbitkan: Khamis, 19 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Tokoh seni lukis dan seni reka negara, Datuk Ibrahim Hussein (gambar) yang lebih dikenali sebagai Ib meninggal dunia pada pukul 4 pagi tadi di Hospital Pantai, Bangsar kerana mengalami masalah jantung.

Allahyarham yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu sejak 4 petang semalam meninggalkan seorang balu, Datin Sim Hussein dan seorang anak, Alia Ibrahim Hussein.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kiara pukul 3.20 petang ini.

Antara yang memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Aziz.

Allahyarham merupakan adik kepada Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein dan Tan Sri Ismail Hussein yang merupakan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Allahyarham yang lahir pada 13 Mac 1936 di Yan, Kedah merupakan pelukis sepenuh masa.

"Allahyarham seorang yang amat dedikasi, walaupun tidak pandai dalam bidang akademik, tapi minat dan kesungguhan dalam bidang lukisan, ternyata telah menjadikannya seorang yang amat disegani hingga kini," kata abangnya Abdullah.

Menurut Abdullah, allahyarham sejak dari sekolah rendah telah menunjukkan bakatnya dalam bidang lukisan apabila salah satu karyanya pernah disiarkan di dalam sebuah majalah.

"Saya menjaga dia (allahyarham) sejak kecil. Saya kata pada dia, jika betulbetul minat dalam bidang ini (lukisan), harus tunjukkan komitmen. Dan dia benarbenar buktikan apabila menyambung pelajarannya (dalam bidang lukisan) di Akademi Seni Nanyang di Singapura," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Bukit Pantai di sini, hari ini.

Abang keempat allahyarham, Ismail, 77, pula menyifatkan pemergian adiknya sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga dan negara.

"Saya amat terkejut dengan pemergiannya. Saya sendiri tak tahu allahyarham mempunyai sebarang penyakit. Tapi menurut isterinya, allahyarham seorang yang kuat bekerja siang dan malam," katanya yang hanya dimaklumkan bahawa allahyarham mengalami masalah jantung.

Katanya, beliau hanya dimaklumkan allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi ini selepas dimasukkan ke ICU Hospital Pantai sejak pukul 4 petang semalam.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ibrahim Hussein yang telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.

Hadi menyifatkan Allahyarham, yang berasal dari Sg. Limau, Yan, Kedah telah banyak menyumbang jasa dan khidmat kepada negara dalam bidang yang diceburi dan minatinya.

"Allahyarham telah menerima pengiktirafan bukan hanya diperingkat tempatan tetapi juga diperingkat antarabangsa,”kata Hadi dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Jelas beliau, PAS akur bahawa sumbangan dan jasa beliau telah banyak mengharumkan nama negara.

“Pemergian Allahyarham sudah tentulah merupakan satu kehilangan besar khasnya buat bidang seni lukis dan seni reka negara.

”PAS mendokan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah swt dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman,”ujarnya.

Sepanjang pembabitan Ibrahim Hussein dalam seni, Allahyarham pernah mempamerkan hasil karyanya secara solo di Galeri John Wibley. London pada 1962, Gallerie Internationale New York, Amerika Syarikat (1965), Newsweek Gallery, New York, Amerika Syarikat (1968), Dhait Abdullah Al Salam Galley, Kuwait (1977), Daruma Art Centre Copenhagen dan Galerie Bortier, Brussels (1983).

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan