Khir Toyo tegas minta Elizabeth letak jawatan

Diterbitkan: Khamis, 19 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tetap bertegas meminta Elizabeth Wong meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan dan Exco Kerajaan Negeri berikutan gambar dan video separuh bogelnya yang tersebar.

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakayt perlu mempertimbang semula keputusan mereka untuk tidak menerima peletakan jawatan Wong pada masa ini bagi mengelakkan gangguan berterusan yang akan diterima Wong berikutan insiden itu.

"Kita simpati kepada beliau dan untuk mengelakkan gangguan yang berterusan, kerajaan negeri perlu mempertimbang semula perkara ini (peletakan jawatan) kerana maruah seseorang itu amat penting.

"Kita merasa kesal, ada pihak tertentu yang melakukan perkara ini tetapi sebagai pemimpin, Elizabeth perlu menerima hakikat yang rakyat Malaysia tidak dapat menerima apa yang berlaku ke atas diri beliau.

"Justeru, beliau harus meletak jawatan bagi mengelakkan gangguan ini dan laporan dalam sebuah akhbar mengatakan, mungkin ada banyak lagi gambar dan video yang akan dikeluarkan," katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri harus menerima keputusan Wong itu kerana Wong pastinya lebih tahu mengapa beliau bertindak meletak jawatan berikutan insiden itu.

Selasa lalu, Wong daripada PKR menawarkan peletakan jawatannya sebagai ADUN dan Exco berikutan tersebarnya gambar dan video separuh bogel beliau.

Berhubung cadangan Khalid supaya Wong hanya meletakkan jawatan sebagai Exco dan bukan sebagai ADUN, Dr Khir berkata, beliau percaya, peletakan jawatan itu sengaja ditangguh dan ia merupakan perancangan rapi yang dibuat oleh Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengekalkan momentumnya dalam usaha mengambil alih pentadiran Kerajaan Persekutuan.

Katanya, beliau yakin kerajaan negeri akan menerima peletakan jawatan Wong selepas pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Lanjan pada 7 April depan.

"Selepas ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia dan peletakan jawatan V. Arumugam sebagai ADUN Bukit Selambau, kita lihat BN berpeluang untuk menang di Bukit Gantang kerana isu di kawasan itu hanyalah isu calon luar.

"Jika BN menang di Bukit Gantang, momentum Anwar akan tenggelam, sebab itu beliau minta Arumugam meletak jawatan di Bukit Selambau.

"Jadi pilihan raya akan diadakan serentak, satu kerusi akan dimenangi oleh BN dan satu lagi oleh PKR dan ini akan menyebabkan beliau masih mempunyai momentum yang baik.

"Saya yakin peletakan jawatan itu akan diterima selepas itu dan kemudian pilihan raya kecil akan diadakan di Bukit Lanjan dan kemungkinan besar ia akan dimenangi oleh PKR," katanya.

Dr Khir berkata, beliau yakin kemungkinan akan ada lagi pilihan raya kecil diadakan di negara ini kerana Anwar mahu mengekalkan momentumnya untuk memenangi pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.

"Kalau Sarawak jatuh ke tangan PKR, di sana ada 29 ahli Parlimen dan kemungkinan mereka akan melompat, dengan harapan akan menumbangkan Kerajaan Persekutuan.

Dr Khir turut meminta Anwar supaya menarik balik tuduhan bahawa BN dan Umno terlibat dalam isu gambar bogel itu memandangkan laporan media menunjukkan teman lelaki yang dipercayai mengambil gambar Wong adalah daripada PKR.

Katanya, insiden itu mungkin berlaku disebabkan perebutan kuasa yang berlaku dalam PKR untuk menumbangkan Khalid sebagai Menteri Besar.

"Mereka ingin menumbangkan kerajaan Tan Sri Khalid dan menggantikan Menteri Besar lain dengan orang PKR.

"Ini tidak ada kena mengena dengan Umno dan BN," katanya.

Anwar sebelum ini mendakwa Umno dan BN menjadi dalang dalam penyebaran gambar dan video separuh bogel Wong.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan