Tuanku Mizan: Jangan wujudkan undang-undang canggah Perlembagaan

Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan titah ucapannya pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini. - fotoBERNAMA
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan titah ucapannya pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI, 1. 30 TENGAH HARI] KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan. Baginda bertitah sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijelaskan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami asas pembentukan negara.

"Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara.

"Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat di sini.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum.

"Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan Beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan," titah baginda sambil menerima tepukan meja yang gemuruh daripada anggota dewan.

Baginda mengingatkan anggota Dewan supaya menunjukkan perilaku terpuji di Parlimen.

Justeru, baginda mengingatkan rasa sedih dengan perilaku yang tidak sepatutnya di kalangan wakil rakyat pada sesi lalu yang memberi imej negatif kepada ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Tuanku Mizan turut menitikberatkan mengenai pendidikan awal dan menyeru agar semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, badan bukan kerajaan dan badan korporat memainkan peranan membantu para pendidik untuk melahirkan modal insan yang cemerlang sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Usaha-usaha memperluaskan pendidikan prasekolah akan terus dilaksanakan bagi memastikan peluang pendidikan diperoleh lebih awal.

"Di samping itu, transformasi kurikulum prasekolah dan sekolah rendah akan dilaksanakan agar lebih relevan dengan keperluan semasa dan akan datang," titah baginda.

Baginda turut memuji tindakan tepat kerajaan yang mengadakan sidang khas Parlimen pada 12 Januari lepas bagi mengutuk tindakan Israel menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

"Kerajaan Beta sentiasa siap siaga berinteraksi supaya negaranegara kecil khususnya tidak ditindas atau ditekan atas alasan yang membelakangkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

"Beta berbangga di atas kejayaan Malaysia mengusulkan supaya diadakan sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu bagi membincangkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan bertitah penghantaran bantuan perubatan serta sumbangan kewangan daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama menyerlahkan lagi keprihatinan negara terhadap keamanan dan keselamatan sejagat amnya serta nasib rakyat Palestin khasnya.

Di akhir titah ucapan itu, Seri Paduka merakamkan penghargaan kepada anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat, anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, polis serta seluruh rakyat jelata yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran dan keselamatan negara yang dicintai.

"Semua pihak hendaklah terus meningkatkan usaha menyokong kerajaan bagi menangani cabaran terutamanya yang timbul akibat daripada kelembapan ekonomi global.

"Ini kerana tanpa sokongan padu semua pihak segala usaha tersebut tidak akan berjaya," titah baginda.

BERITA TERDAHULU

Sesi Parlimen masuk tahun kedua, dirasmi pagi ini

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Sidang Parlimen selepas pilihan raya umum ke-12 masuk tahun kedua hari ini dengan dijangkakan ia akan "lebih panas" berbanding penggal lalu.

Parlimen bersidang di sebalik perkembangan krisis politik di Perak dan ketika pilihan raya kecil diadakan membabitkan kerusi Bukit Gantang.

Mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-12 akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebentar lagi.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari bermula hari ini.

Sementara itu, mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan bermula selama 10 hari bermula 15 Jun dan Dewan Negara selama enam hari bermula 6 Julai.

Bagi mesyuarat ketiga, Dewan Rakyat akan bersidang selama 35 hari bermula 19 Oktober dan Dewan Negara selama lapan hari bermula 9 Disember.

Bajet 2010 pula dijadualkan dibentang pada 23 Oktober.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan bajet mini pada 10 Mac ini.

Dewan Rakyat akan menerima seorang ahli Parlimen baru bagi kerusi Kuala Terengganu apabila Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS dijadualkan mengangkat sumpah esok.

Beliau memenangi pilihan raya kecil bagi kawasan itu pada 17 Januari lalu, sekali gus merampas kerusi Parlimen tersebut yang sebelum ini diwakili Barisan Nasional (BN).

Kerusi Parlimen tersebut sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia pada 28 November lalu akibat serangan jantung.

Di sebalik kemasukan anggota baru itu. kerusi Parlimen Bukit Gantang kini kosong berikutan kematian ahli Parlimennya, Roslan Shaharum daripada PAS pada 9 Februari lalu akibat serangan jantung.

Pilihan raya kecil kawasan tersebut akan diadakan pada 7 April depan.

Dengan perkembangan itu, Dewan Rakyat kini mempunyai 221 ahli Parlimen yang terdiri daripada 139 ahli daripada BN, 82 daripada pembangkang termasuk tiga daripada Bebas.

Sementara itu, Dewan Negara kini kekurangan seorang ahli berikutan peletakan jawatan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Senator disebabkan beliau bertanding mewakili BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Januari lalu.

Beliau yang tewas dalam pilihan raya kecil itu telah hilang kelayakan untuk dilantik kembali menjadi Senator.

Pembukaan sesi penggal kedua ini juga bakal mencatatkan sejarah. Ia merupakan yang terakhir bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan melepaskan jawatan Perdana Menteri, dijangka awal April ini.

Beberapa akta baru juga dijadual dibentangkan pada sesi kali ini termasuk yang berkaitan dengan perkhidmatan polis.

Pembangkang dijangka membawa beberapa isu semasa antara kematian suspek dalam tahanan baru-baru ini.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan