Bekas MB Selangor mahu Elizabeth letak jawatan

Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Selangor mahu Exco Kerajaan Negeri itu, Elizabeth Wong meletakkan jawatan tersebut selain mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan ekoran pendedahan gambar-gambar berkeadaan separuh bogelnya.

Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo berkata, rakyat Malaysia tidak mahukan pemimpin-pemimpin yang berhadapan dengan skandal.

Oleh itu, beliau yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, Wong seharusnya meletakkan jawatan.

"Ini adalah isu moral dan rakyat Malaysia tidak boleh menerima pemimpin yang mempunyai isu moral dan oleh itu beliau mesti mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Bukit Lanjan).

"Biarkan rakyat yang memutuskannya dan jika mereka mahukan beliau (Wong) lagi, mereka boleh mengundi atau memilih sesiapa sahaja jika mereka tidak mahu beliau (Wong) lagi," kata Dr. Mohd. Khir.

Rakan sejawatan Wong, Nik Nazmi Nik Ahmad yang merupakan ADUN Seri Setia berkata, apa yang dialami Wong merupakan pencerobohan ke atas soal peribadinya.

Oleh itu, Nik Nazmi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor memberitahu, pihaknya menganggap ia sebagai masalah peribadi.

"Bagaimanapun kami akan mendapatkan maklumat lanjut daripada beliau untuk bertindak adil kepadanya," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan