SMK Victoria dikenali semula Victoria Institution

Diterbitkan: Sabtu, 14 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

WARISAN KEBANGSAAN... Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua, kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique (kanan) menunjukkan Watikah Warisan Kebangsaan selepas mengisytiharkannya pada majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (Victoria Institution) hari ini. Turut hadir Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Datuk Prof Emeritus Zuraina Majid (kiri).
WARISAN KEBANGSAAN... Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua, kiri) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique (kanan) menunjukkan Watikah Warisan Kebangsaan selepas mengisytiharkannya pada majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (Victoria Institution) hari ini. Turut hadir Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Datuk Prof Emeritus Zuraina Majid (kiri).

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, yang kini tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan, akan dikenali semula sebagai Victoria Institution (VI) mulai hari ini memandangkan ia dikenali dunia dengan nama itu.

"Dunia telah pun mengenali nama sekolah ini sebagai Victoria Institution, maka dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa nama sekolah ini, mulai hari ini, akan dikekalkan sebagai Victoria Institution," kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Berucap pada majlis pengisytiharan sekolah itu sebagai Warisan Kebangsaan di sini hari ini, Shafie berkata, sekolah itu diangkat sebagai Warisan Kebangsaan kerana ia memenuhi kriteria berdasarkan Akta Warisan 2005.

Shafie, yang merupakan bekas penuntut sekolah itu berkata, Victoria Institution memainkan peranan dalam sejarah tanah air apabila digunakan oleh askar Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Sekolah itu juga, katanya, merupakan sekolah menengah Inggeris yang pertama di Tanah Melayu, berprestij dan telah melahirkan karyawan serta tokoh penting tanah air daripada Sultan, pembesar, menteri, ahli korporat, tokoh politik hinggalah kepada tokoh sukan dan ahli profesional.

Sekolah itu juga adalah yang pertama di Asia Tenggara menubuhkan pasukan kadet dan pancaragam, katanya.

Shafie meminta agar warisan sekolah itu dipelihara kerana setiap ciri sama ada dinding, jendela, balkoni, bumbung, menara atau padangnya mempunyai cerita tersendiri.

Diasaskan oleh Sultan Abdul Samad, William Hood Treacher, Loke Yew, Thamboosamy Pillai dan Yap Kwan Seng pada 14 Ogos 1893, VI berjaya mengekalkan kecemerlangannya dalam melahirkan ramai tokoh termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta menteri-menteri Kabinet terdahulu dan sekarang seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan bekas hakim Datuk Mahadev Shankar.

Yang lain termasuk tokoh-tokoh korporat Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, Tan Sri T. Ananda Krishnan dan Tan Sri Francis Yeoh serta tokoh sukan termasuk Datuk Dr. M. Jegathesan, Allahyarham Mokthar Dahari, Datuk Misbun Sidek, Foo Kok Keong, Datuk P.S. Nathan dan Ishtiaq Mubarak.

Shafie berkata, setakat hari ini, sebanyak 172 butiran warisan telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan.

Shafie juga berkata, setakat ini ada empat tapak di negara ini telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia dan beberapa manuskrip pula telah diiktiraf dalam daftar 'Memory Of The World'.

"Pengiktirafan ini sudah pasti menjadi nilai tambah kepada warisan yang kita miliki dan rakyat Malaysia pastinya berasa megah kerana warisan kita dikongsi bersama oleh masyarakat dunia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) VI, Raja Amir Shah Raja Abdul Aziz berkata, dengan sekolah itu kini menerima pengiktirafan warisan kebangsaan dan namanya yang cukup terkenal digunakan semula, satu perancangan strategik perlu diwujudkan untuk merangka hala tuju masa depan sekolah itu.

"Selepas pengiktirafan tapak warisan dan mendapat semula nama VI, kami semua PIBG, bekas pelajar dan masyarakat, sepatutnya menjadikan VI yang terbaik dalam segala-galanya.

"Kita boleh menjadikan Raffles Institution di Singapura sebagai penanda aras," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan