Kes Raja Petra kekal di Mahkamah Sesyen

Diterbitkan: Jumaat, 13 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Raja Petra (kiri) berbual-bual dengan peguam Gobind Singh Deo di luar Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.-- fotoSINCHEW
Raja Petra (kiri) berbual-bual dengan peguam Gobind Singh Deo di luar Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.-- fotoSINCHEW

KUALA LUMPUR: Raja Petra Raja Kamaruddin yang didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain hari ini gagal dalam usahanya supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret.

Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan agar kes tersebut kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz memutuskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret membenarkan permohonan pendakwa supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan adalah sah dan teratur.

Beliau berkata keputusan pemindahan kes tersebut yang dibuat Majistret Nazran Mohd Sham, pada 15 Ogos 2008 itu tidak bercanggah dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Zainal Azman kemudiannya menolak notis usul untuk semakan yang difailkan Raja Petra pada 25 Nov, 2008, atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai merit dan berasas. Raja Petra, 59, memohon perintah Mahkamah Tinggi supaya merujuk isu pemindahan kes ke Mahkamah Persekutuan atas persoalan perlembagaan atau mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.

Salah seorang daripada peguam Raja Petra, J.Chandra memberitahu media bahawa pihaknya akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini.

Mahkamah Rayuan adalah tempat terakhir bagi Raja Petra merayu kerana kes di mahkamah rendah akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Raja Petra, editor portal MalaysiaToday, minta dibicarakan terhadap tiga pertuduhan memfitnah Rosmah, Lt. Kol Abdul Aziz Buyong dan isteri Lt. Kol Norhayati Hassan dalam akuan berkanun di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pukul 10.25 pagi, pada 18 Jun, 2008.

Dia yang hadir ke mahkamah, boleh dipenjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Semasa kes itu disebut di Mahkamah Sesyen, Raja Petra menerusi peguamnya, Manjeet Singh Dhillon membuat bantahan awal dan memohon perintah Mahkamah Sesyen agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret atas alasan perintah Mahkamah Majistret memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen adalah melanggar Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah (CPC).

Bagaimanapun, pada 28 Nov 2008, Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Sekeri Mamat memutuskan bahawa beliau menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret atau kekal di Mahkamah Sesyen. Hari ini Mahkamah Tinggi memutuskan kes itu kekal di Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan. Zainal Azman dalam keputusannya juga berkata hujahan pihak pembelaan bahawa Raja Petra mungkin terdedah kepada potensi hukuman lebih berat jika dibicarakan di Mahkamah Sesyen adalah tidak terpakai kerana peruntukan pada Seksyen 500 ialah hukuman maksimum adalah sama iaitu dua tahun sama ada di Mahkamah Majistret ataupun Mahkamah Sesyen.

Zainal Azman berkata, apa yang mungkin Raja Petra terdedah ialah mengenai hukuman denda kerana hukuman denda di bawah seksyen itu di Mahkamah Sesyen ialah melebihi RM10,000.

"Bagaimanapun adalah tidak wajar untuk kita mengandaikan Hakim Mahkamah Sesyen akan membuat keputusan yang keras jika pemohon (Raja Petra) disabitkan kesalahannya kerana hakim Mahkamah Sesyen lebih matang daripada Majistret," katanya.

Beliau berkata, merujuk kepada autoriti dalam keskes terdahulu yang diputuskan MahkamahMahkamah tertinggi mengikut Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah telah menggariskan beberapa keadaan dan prasyarat yang membolehkan Majistret memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen.

"Walaupun garis atau prasyarat itu tidak dinyatakan dengan jelas, tetapi struktur ayat-ayat itu jelas menunjukkan Majistret boleh memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan," katanya.

Zainal Azman juga berkata di bawah Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa memilih manamana mahkamah untuk mengambil prosiding terhadap seseorang. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan