Kakitangan awam neutral - Ketua Pengarah

Diterbitkan: Jumaat, 13 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Awam Malaysia tidak melibatkan diri dalam politik dan cukup profesional, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, hari ini.

Beliau memberitahu Bernama bahawa kakitangan awam menjalankan tugas mereka mengikut perintah dan peraturan tetap dan setia kepada kerajaan yang ada hari ini.

Komen beliau dibuat berikutan dakwaan parti-parti politik tertentu yang kakitangan kerajaan bersikap memihak terutama di negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Ismail berkata kakitangan awam bersifat neutral dan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, cekap dan jujur.

Beliau berpendapat sesetengah wakil rakyat yang baru dipilih di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat mungkin tidak biasa dengan perintah dan peraturan kerajaan dan ini mungkin menyebabkan mereka meragui kesetiaan kakitangan awam.

Ismail berkata perkhidmatan awam Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah yang terbaik di dunia sebelah sini.

"Kami sentiasa mempertingkatkan tandaras, dan menghadapi cabaran-cabaran baru dan bergerak mengikut masa," kata beliau.

Beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana sering mengingatkan kakitangan awam agar menambah baik khidmat penyampaian.

Semalam, Abdullah sekali lagi mengeluarkan ingatan itu semasa merasmikan sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan JPA.

Ismail berkata kakitangan awam menghargai ingatan Perdana Menteri itu dan berusaha gigih memperbaiki sistem penyampaian.

Malahan, terdapat banyak kemajuan ke arah ini dalam dua tahun lepas di mana teknologi digunakan begitu meluas dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Kami berusaha menjadikan perkhidmatan yang mesra pengguna yang lebih mudah untuk orang awam bila mereka boleh berurusan dengan jabatan kerajaan hanya dengan sentuhan butang dengan keselesaan dari rumah mereka," kata beliau.

Beliau menambah, kemajuan ke arah pentadbiran tanpa kertas bergerak lancar.

Bagaimanapun, katanya aspek-aspek tertentu perkhidamtan kerajaan yang melibatkan dokumen undang-undang yang memerlukan tandatangan sebenar tidak boleh dilakukan dengan komputer. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan