BN nafi tawar Arumugam RM5 juta

Diterbitkan: Rabu, 11 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) nafi menawarkan habuan RM5 juta kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam jika menyertai parti itu.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyangkal dakwaan bahawa BN memberi tekanan dan ugutan kepada Arumugam sehingga beliau meletakkan jawatan Isnin lalu.

"Dakwaan BN tawarkan RM5 juta adalah tidak betul sama sekali, tak ada siapapun yang pergi untuk buat apa-apa pada YB (Yang Berhormat) Arumugam.

"Saya nak jelaskan bahawa BN tak buat sebarang tekanan terhadap YB Arumugam untuk menyertai BN.

"Tidak ada... tidak ada apa-apa yang kita (BN) buat, itu hak dia (letak jawatan)," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Isnin lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan peletakan jawatan Arumugam sebagai ADUN dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Masyarakat India Kedah.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa serta-merta, dimaklumkan melalui surat yang dihantar Arumugam kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah; Azizan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Isa Ismail, pukul 5 petang Isnin lalu.

Tambah Khalid, BN tidak harus dipersalahkan jika Arumugam sendiri menghadapi masalah peribadi ataupun masalah dalaman partinya.

"Hebatlah BN... pandailah BN sebab dengan tidak semena-mena kami (BN) adalah pembangkang dalam negeri Kedah boleh beri tekanan sehingga beliau berhenti, ini dah cukup baik.

"Tapi cara menyalahkan BN adalah tidak baik kerana sama ada YB Arumugam ada masalah peribadi atau masalah dalam parti itu sudah jelas adalah masalahnya sendiri," katanya.

Khalid berkata tuduhan tawaran RM5 juta nyata tidak masuk akal kerana dengan jumlah berkenaan ia boleh dibelanjakan untuk tujuan pembangunan.

"RM5 juta itu lebih baik bahagi-bahagi kepada semua parti komponen MIC, MCA, Gerakan dan juga Umno untuk buat projek pembangunan.

"Lagi banyak kita boleh aktiviti untuk rakyat," katanya.

Mengulas mengenai calon yang bakal diletakkan bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau, Khalid berkata perkara tersebut masih belum diputuskan.

"Nanti kita akan kemukakan senarai pendek kepada pucuk pimpinan parti.

"Namun kemputusan memilih siapakah calon yang layak kita akan serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya dan juga Presiden MIC. "Apa yang pasti kita akan letakankan calon yang popular bukan sahaja dalam parti malah di kalangan rakyat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan