MP Bukit Gantang meninggal dunia, pilihan raya kecil

Diterbitkan: Selasa, 10 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Perak yang masih berada dalam krisis politik, dikejutkan pula dengan kematian Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum dari PAS - dipercayai meninggal dunia ketika sedang mengayuh basikal pagi semalam.

Ia membuka laluan kepada pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa ketika dihubungi mStar Online mengesahkan Roslan meninggal dunia pagi semalam.

"Saya dimaklumkan oleh Pesuruhjaya PAS Perak yang Ahli Parlimen PAS kawasan Bukit Gantang telah meninggal dunia pagi ini (semalam), saya difahamkan sakit jantung," kata beliau.

"Kami terkejut dan tindakan susulan akan diputuskan pada mesyuarat selepas upacara pengebumian," kata beliau.

REBAH

Berdasarkan maklumat awal yang diterima, wakil rakyat berusia 50 tahun itu dikatakan telah menghantar keretanya ke sebuah pusat cucian kereta berhampiran rumahnya di Changkat Lallang dekat Batu Gajah.

Kemudian, selepas mengadu sakit dada beliau meminjam basikal milik pekerja pusat tersebut untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

Ketua Polis Batu Gajah, ACP Najib Mohamad berkata, Roslan ditemui terjatuh di bahu jalan oleh ramai kira-kira pukul 11.15 pagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu mStar Online kira-kira pukul 1.20 tengah hari bahawa jenazah berada di Hospital Batu Gajah.

Abang Roslan, Ahmad Najmi dipetik Bernamaberkata, sebaik mengayuh basikal beberapa meter, beliau dikatakan terjatuh lalu dibawa ke Hospital Batu Gajah sebelum disahkan meninggal dunia.

Roslan, Pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, adalah lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh ijazah Sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia.

Sementara itu, Sofiah, 50, yang ditemui di Hospital Batu Gajah berkata, jenazah suaminya akan dikebumikan di kampung Allahyarham di Changkat Larang, Lahat dekat Batu Gajah.

Pensyarah Institut Perguruan Ipoh itu berkatam sebulan lepas, suaminya pernah pengsan semasa berada di Taiwan dan setelah menjalani pemeriksaan, doktor mendapati jantung Allahyarham besar dan kurang oksigen.

"Dia patut pergi pemeriksaan tetapi arwah pergi ke Gaza, Palestin dan hingga hari ini tak buat apaapa pemeriksaan kesihatan," katanya kepada pemberita.

Anak perempuan Roslan, Norfatimah Zahra, 21, berkata bapanya keluar rumah untuk mencuci kereta pada 10 pagi ini.

Ketika ditemui pemberita di rumah mayat hospital berkenaan, Norfatimah Zahra berkata beliau mendapat maklumat bapanya jatuh pengsan setelah menunggang basikal untuk ke farmasi dan dibawa ke Hospital Batu Gajah sejam kemudian.

Norfatimah Zahra berkata, pada hujung minggu baru-baru ini, mereka sekeluarga bercuti ke Cameron Highlands selama dua hari dan pulang petang semalam.

"Ayah sihat dan mungkin kerana kurang rehat selepas bercuti dan sekembalinya dari Cameron Highlands petang semalam, dia dipanggil untuk menghadiri majlis di kediaman rasmi Menteri Besar Perak," katanya.

Beliau berkata, bapanya hanya tiba di rumah pada 1.30 pagi semalam.

LATAR BELAKANG

Maklumat yang diperoleh daripada blog Allahyarham Roslan (http://parlimen059.blogspot.com) menunjukkan beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Malah beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM, dulu ITM) di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak yang berusia antara sembilan dan 23 tahun.

Dalam pada itu, seorang rakannya menulis dalam blognya bahawa Allahyarham dikatakan meninggal dunia di stesen minyak Petronas di pekan Batu Gajah semasa berseorangan sedang menunggu keretanya dibasuh.

"Malam tadi, semasa perhimpunan rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Allahyarham kelihatan seperti biasa, bergurau berjenaka bersama rakan-rakan yang lain.

"Saya juga duduk bersebelahan beliau sepanjang majlis malam tadi," kata Azizul Nizam dalam blognya.

"Beliau yang juga pengamal pengubatan Syifaq amat disenangi oleh kawan dan lawan," katanya lagi.

PILIHAN RAYA KECIL

Perkembangan ini membuka laluan kepada pilihan raya kecil yang ketiga selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Allahyarham Roslan merupakan Ahli Parlimen kedua yang meninggal dunia selepas bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail dari Barisan Nasional (BN) pada November lalu.

Kedua-dua Roslan dan Razali meninggal dunia kerana sakit jantung.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.

Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan