Syed Hamid: Kenyataan Karpal pelik

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang mahu bertindak balas terhadap mereka yang membuat laporan polis terhadapnya berhubung isu politik di negeri Perak sebagai pelik.

Syed Hamid yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, sebagai seorang peguam, Karpal Singh tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan pelik seperti itu kerana adalah menjadi hak kepada rakyat di negara ini untuk membuat laporan polis terhadap perkara yang mereka anggap perlukan siasatan pihak berkuasa.

"Bila orang buat laporan polis, kita tak boleh beri amaran kepada orang. Itu adalah ancaman, itu salah, jika ada sesuatu yang tidak puas hati, boleh buat laporan polis.

"Apa pula dia (Karpal) beri ancaman kepada orang yang nak buat laporan polis.

"Jadi saya pelik juga bila dengar kenyataan (Karpal) sedangkan sebagai seorang peguam, dua perkara yang penting dia mesti tahu (ialah) undang-undang dan keduanya dia tak boleh emosi," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini.

Syed Hamid berkata, membuat laporan polis merupakan pilihan terbaik bagi sesiapa yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara bagi membolehkan siasatan dibuat dan untuk mengelakkan pertembungan atau berkonflik secara terbuka.

Katanya, pengerusi DAP itu sepatutnya lebih bersabar dan tenang dalam menghadapi perkara itu.

Beliau mengulas kenyataan Karpal Singh semalam yang mengingatkan mana-mana pihak yang membuat laporan polis terhadapnya berhubung tindakannya mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya bersedia dengan apa juga akibatnya.

Syed Hamid berkata, perkara yang melibatkan undang-undang dan ketenteraman awam adalah tanggungjawab utama polis dan orang ramai tidak perlu takut membuat apaapa laporan polis kerana rakyat negara ini dilindungi undang-undang.

Katanya, setiap aduan yang dibuat orang awam akan diteliti pihak polis sama ada ianya dalam bidang kuasa polis atau sebaliknya sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

"Jadi tidak ada apa salahnya (orang awam buat laporan polis). Patut dia (Karpal) kata dia (Karpal) berani berhadapan dengan risiko, tapi jangan bagi ancaman dan amaran. Tak bagus.

"Makin kita berumur (sepatutnya) makin bersabar. Dalam parti pembangkang ramai orang kena bertaubat. Itu saya setuju dengan dia (Karpal) tu," katanya.

Mengulas mengenai kritikan Karpal terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin kanan DAP iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan anggota jawatankuasa pusat parti Lim Kit Siang, Syed Hamid berkata itu hal dalamam parti berkenaan.

Bagaimanapun Syed Hamid berkata: "Sekarang baru dia (Pakatan Rakyat) fikir macam mana nak berpakat. Bukan senang untuk berpakat. Baru tiga parti, dia sudah menggelabah. Kita (Barisan Nasional) ada 14 parti. Sebab itu BN yang terbaik."

Katanya BN sudah lama membina kesepakatan antara parti-parti komponennya melalui perkongsian kuasa berbanding dengan Pakatan Rakyat yang baru hendak belajar. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan