Rafidah: Ambil tindakan terhadap Nizar, bekas Exco - Berita Semasa | mStar

Rafidah: Ambil tindakan terhadap Nizar, bekas Exco

Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafizah Aziz meminta pihak berkuasa di Perak mengambil tindakan sewajarnya ke atas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang berkeras untuk terus menderhaka terhadap Sultan Perak.

Katanya, perbuatan mereka enggan meletak jawatan walaupun dititahkan oleh Sultan Azlan Shah untuk berbuat demikian merupakan perbuatan yang sangat memalukan dan sangat biadap.

"Mereka jelas tidak langsung menerima dan menghormati keputusan Sultan, dalam Tuanku melaksanakan kuasa seperti yang termaktub dalam perlembagaan negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafidah yang juga anggota Parlimen Kuala Kangsar, mahu tindakan turut diambil ke atas mereka kerana mengadakan "mesyuarat Exco Kerajaan Negeri" dan membuat beberapa keputusan sedangkan pada hakikatnya mereka tidak lagi berkuasa dalam kerajaan.

Tindakan itu sangat perlu diambil kerana perbuatan mereka itu boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat, katanya.

Semalam, Mohammad Nizar telah mempengerusikan 'mesyuarat khas Exco' di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh dan telah membuat keputusan kononnya 'meluluskan' empat perkara berkaitan pentadbiran negeri.

Rafidah menegaskan bahawa pada masa ini hanya ada satu kerajaan negeri di Perak iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) dan semua pihak perlu menghormati proses yang jelas termaktub dalam perlembagaan.

Berdasarkan perbuatan Mohammad Nizar, rakyat seharusnya boleh menilai sikap kurang sopan, caracara tak beretika, dan politik jalanan yang membawa kekacauan yang diamalkan pembangkang.

Ia sekali gus menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat ialah gabungan parti politik yang tidak berkemampuan dan tidak berwibawa untuk mentadbir kerajaan negeri Perak dan rakyat seharusnya menolak mereka, katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan