Tumpuan siapa barisan Exco Perak

Diterbitkan: Sabtu, 7 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AHLI Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (kiri) bersalaman dengan Pengerusi MCA Perak, Datuk Kong Cho Ha sebelum majlis mengangkat sumpahnya sebagai Menteri Besar Perak yang baru di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan semalam. Pelantikan Zambry merupakan penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri setelah empat anggotanya keluar parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN). -fotoBERNAMA
AHLI Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (kiri) bersalaman dengan Pengerusi MCA Perak, Datuk Kong Cho Ha sebelum majlis mengangkat sumpahnya sebagai Menteri Besar Perak yang baru di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan semalam. Pelantikan Zambry merupakan penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri setelah empat anggotanya keluar parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN). -fotoBERNAMA

IPOH: Kerajaan baru negeri Perak di bawah Barisan Nasional (BN) telah menjadi kenyataan berikutan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru, Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pangkor.

BN Perak dijangka bermesyuarat hari ini untuk membincangkan formula bagi barisan Exco barunya yang akan mengangkat sumpah Selasa ini.

Bagaimanapun, tumpuan kini lebih kepada siapa yang akan mengisi jawatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco), dan bagaimana untuk menentukan kedudukan wakil-wakil parti komponen BN.

Di bawah kerajaan BN terdahulu iaitu sebelum Pilihan Raya Umum 8 Mac tahun lepas, sekurangkurangnya empat Exco akan diisi oleh ADUN MCA, Gerakan dan MIC iaitu dua daripada MCA dan masing-masing satu daripada Gerakan dan MIC.

Dalam keadaan sekarang dengan wakil BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), 27 daripada 28 ADUN adalah daripada Umno dan satu daripada MCA, orang ramai pasti melihat kepada ketidakseimbangan dalam barisan Exco berdasarkan wakil parti komponen.

ADUN MCA adalah Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang), yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda kebangsaan parti itu.

Secara teori, ia nampak mudah kerana jawatan itu hanya boleh diisi oleh 28 ADUN BN, bagaimanapun realiti politik menjadikannya sesuatu yang sukar.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn yang juga Pengerusi Gerakan Perak kecewa apabila parti itu tidak mempunyai wakil untuk dicadangkan bagi jawatan Exco setelah semua empat calon parti itu yang bertanding di kawasan Canning, Aulong, Sepetang dan Jalong kalah pada pilihan raya umum lalu.

MIC turut mengalami nasib yang sama apabila kalah di semua empat kawasan DUN yang mereka tandingi iaitu Sungkai, Hutan Melintang, Behrang dan Pasir Panjang.

Sumber dalaman parti memberitahu Bernama bahawa salah satu pilihan yang boleh dilakukan ialah dengan melantik wakil kepada kerajaan negeri yang setaraf dengan Exco kerana Perlembagaan negeri hanya membenarkan jawatan Exco diisi oleh ADUN.

Oleh itu, kemungkinan besar barisan Exco Perak yang baru akan menyerupai komposisi Exco negeri Terengganu sekarang di mana hanya seorang wakil bukan Melayu iaitu Toh Chin Yaw, ADUN Bandar yang dilantik sebagai Exco.

"Di Terengganu, majoriti penduduknya adalah Melayu. Ia boleh dikatakan negeri orang Melayu dan komposisinya sesuai.

"Bagaimanapun, di Perak keadaannya berbeza dengan komposisinya berlainan sama sekali," kata pemimpin akar umbi MIC itu.

Beliau berkata, jika formula Terengganu dilaksanakan di Perak, parti komponen BN perlu bersedia untuk menerima tuduhan oleh Pakatan Rakyat bahawa kerajaan negeri mereka sebelum ini mempunyai perwakilan yang lebih baik.

Bagi bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beliau berpendapat ada dua cara yang boleh dipertimbangkan oleh Menteri Besar yang baru untuk mengatasi masalah itu.

Salah satu caranya, beliau mencadangkan supaya melantik wakil daripada komponen parti BN selain Umno untuk mengisi jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang tidak memerlukan pemegang jawatan terdiri daripada ADUN.

Kerajaan negeri BN juga boleh melantik dua wakil daripada parti komponen BN selain daripada Umno untuk menjadi anggota Dewan Negara supaya dapat mewakili suara rakyat Perak daripada pelbagai kaum.

Semua negeri diperuntukkan untuk memilih dua wakil ke Dewan Negara, dan secara tradisinya Perak diwakili oleh calon Umno dan MCA.

"Tetapi dalam kes ini, peruntukan itu boleh diberi pertimbangan," katanya kepada Bernama di sini.

Kerajaan negeri BN Perak yang baru ditubuhkan hari ini mempunyai 27 ADUN Umno dan seorang MCA, dan disokong tiga calon bebas iaitu Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).

Tajol Rosli juga berkata, kerajaan negeri Perak juga perlu mengambil kira faktor calon Bebas yang menyokong BN dalam memperuntukkan jawatan tersebut.

"Jangan hanya fikirkan tentang anda (Zambry), fikirkan tentang rakyat dan parti. Apa saja keputusan dan pertimbangan (penentuan) barisan exco ini akan menentukan pandangan rakyat kepada Menteri Besar (Zambry)," kata Tajol Rosli.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan