Tindakan tegas termasuk ISA jika timbul kekacauan di Perak

Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Tindakan tegas termasuk penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menghasut dan menimbulkan kekacauan yang boleh menggugat keselamatan di Perak.

Demikian amaran yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berhubung tindakan anggota dan penyokong Pakatan Rakyat yang tidak berpuas hati selepas kehilangan majoriti bagi mengekalkan tampuk pentadbiran di negeri itu.

"Pakatan Rakyat boleh membawa perkara ini ke mahkamah jika mereka tidak berpuas hati tetapi jangan sekali membawanya ke jalanan sehingga menggugat keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pengisytiharan nama baru pasukan Polis Marin yang ditukarkan kepada Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia di Pusat Latihan Marin (Pulamar), Tampoi di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Syed Hamid berkata sembilan orang ditahan kerana menghasut dan terlibat dalam aktiviti berdemonstrasi bagi membantah majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini.

Demonstrasi diadakan di luar Masjid Ubudiah, 300 meter dari istana, di mana mereka membaling kayu, batu dan botol ke arah polis dan kenderaan yang melalui Jalan Istana.

Katanya polis akan mengambil apa sahaja tindakan termasuk membawa anggota polis dari luar Perak bagi memastikan tahap keselamatan di negeri itu terjamin.

Sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, beliau menyambut baik perkembangan politik di Perak itu yang memihak kepada Barisan Nasional (BN), namun katanya pada masa yang sama semua pihak dalam BN harus berhati-hati dan cuba untuk memenuhi kepentingan rakyat.

Mengenai tindakan empat ADUN Pakatan Rakyat yang keluar daripada parti masing-masing, beliau berkata pakatan yang terdiri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS itu memang mempunyai masalah dari awal lagi kerana mempunyai ideologi yang berbeza.

Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), kedua-duanya daripada PKR, dan Hee Yit Foong (Jelapang) daripada DAP mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas manakala Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) yang baru-baru ini menyertai PKR telah kembali semula kepada Umno.

Ditanya sama ada ada ADUN terbabit menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak berikutan tindakan mereka itu, Syed Hamid berkata polis akan memberi perlindungan kepada mereka dan keluarga mereka sekiranya ada menerima ugutan. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan