Sultan arah Nizar letak jawatan, FRU kawal bangunan SUK

Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RASMI... Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kiri) dan Menteri Besar, Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pada perasmian Model Ladang Padi Sime Darby Plantations di Ladang Tali Ayer di Bagan Serai pagi ini. Mohamad Nizar, yang mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, hari ini telah dititahkan supaya meletakkan jawatannya itu oleh Sultan Perak. - fotoBERNAMA
RASMI... Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kiri) dan Menteri Besar, Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pada perasmian Model Ladang Padi Sime Darby Plantations di Ladang Tali Ayer di Bagan Serai pagi ini. Mohamad Nizar, yang mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, hari ini telah dititahkan supaya meletakkan jawatannya itu oleh Sultan Perak. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI, 4.50 PETANG] IPOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak - yang berusia 11 bulan - bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu.

Sebaliknya, baginda telah menitahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuat kuasa serta-merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap telah dikosongkan.

Ekoran arahan itu, anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah dikerah untuk mengambil alih bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sebaik sahaja Sultan Azlan Shah mengarahkan Menteri Besar dan kesemua Exco Kerajaan Negeri meletakkan jawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada mereka agar menyerahkan barang-barang milik kerajaan seperti kereta dan kunci pejabat.

Malah, beliau juga telah meminta Exco dan pembantu-pembantu peribadi mereka agar meninggalkan bangunan tersebut dengan segera.

Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi langkah yang membawa Barisan Nasional (BN) untuk membentuk semula kerajaan negeri di Perak.

Pakatan Rakyat memerintah negeri itu sejak Mac lalu.

Nizar kini mengadakan sidang media bersama Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman menteri besar.

Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.

"Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar dari kalangan ahliahli Dewan Negeri," kata kenyataan itu.

Ia juga menyebut bahawa Sultan Perak telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan Mohammad Nizar semalam mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.

"Baginda menggunakan budi bicara baginda di bawah Perkara XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak," kata kenyataan itu.

Nizar telah dititah menghadap baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan baginda tidak membubarkan Dewan, dan selaras dengan peruntukan XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) berkuat kuasa serta-merta.

"Sekiranya YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahliahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahliahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan," kata kenyataan itu.

KENYATAAN ISTANA

Kenyataan itu dikeluarkan kira-kira dua jam selepas Nizar menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pukul 12.45 tengah hari.

Terdahulu, kesemua 28 Ahli Undangan Negeri (ADUN) Perak serta tiga ADUN Bebas menghadap Sultan Perak untuk membuat pengakuan yang mereka menyokong Barisan Nasional (BN).

Kenyataan empat muka surat yang ditandatangani oleh Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor, Setiausaha Sulit kepada Sultan Azlan Shah, dikeluarkan pada 2.15 petang.

Ia menjelaskan bahawa Nizar telah menghadap Sultan semalam dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.

Najib, selaku Pengerusi Barisan Nasional Perak, juga telah memohon menghadap baginda dan telah diberi perkenan berbuat demikian pada hari ini.

SOKONGAN 31 ADUN

Pada majlis menghadap itu pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri telah memaklumkan kepada baginda bahawa BN dan penyokong-penyokongnya kini terdiri daripada 31 orang ADUN dan telah menguasai majoriti ahli Dewan Negeri.

Menurut kenyataan itu, untuk meyakinkan baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, Sultan Azlan shah menitahkan kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut menghadap baginda.

Terdahulu Najib berkata, kesemua mereka turut memberi pengakuan menyokong calon Menteri Besar Perak yang akan dikemukakan oleh BN.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan