Karpal mahu saman Sultan, Nizar kata tidak tahu

Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGERUSI DAP, Karpal Singh menunjukkan kenyataan berhubung saman yang akan difailkan terhadap Sultan Perak, Selasa ini --fotoTHESTAR oleh LOW LAY PHON
PENGERUSI DAP, Karpal Singh menunjukkan kenyataan berhubung saman yang akan difailkan terhadap Sultan Perak, Selasa ini --fotoTHESTAR oleh LOW LAY PHON

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah jika Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa dengan Menteri Besar baru mengangkat sumpah hari ini.

Beliau berkata Sultan Perak telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Nizar.

Bagaimanapun Nizar ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut.

"Saya tak tahu mengenai perkara (saman) itu, saya akan hubungi Karpal sendiri untuk tahu apa yang sebenarnya beliau lakukan.

"Saya memang tak tahu mengenai saman-saman ini, nanti saya dapatkan kedudukan sebenar," katanya kepada mStar Online.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak berkenan untuk membubarkan DUN seperti yang dipohon Pakatan Rakyat dan menitahkan Nizar meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan pada 2.15 petang semalam yang menyatakan bahawa Sultan Azlan Shah telah menitahkan Nizar meletak jawatan setelah baginda berpuas hati Menteri Besar itu tidak lagi mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ekoran tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat keluar daripada parti masing-masing untuk menyokong BN.

Menurut Karpal dalam satu sidang media di sini, hari ini, Nizar akan memfailkan saman terhadap Sultan dan kerajaan negeri yang baru di Mahkamah Tinggi Ipoh, Selasa ini jika BN mengambil alih kuasa.

Karpal berkata, Pakatan tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Nizar oleh Sultan Azlan Shah, yang dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri, adalah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan artikel itu.

"Dalam undang-undang, keputusan Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang. Saya meminta Sultan menghentikan dan berhenti daripada melantik seorang MB BN baru dan ahli majlis mesyuarat selepas tengah hari ini," katanya.

Karpal berkata, tindakan ini tidak boleh, dalam apa jua cara, dilihat sebagai ancaman kepada sultan tetapi merupakan peringatan tegas bahawa pemerintah diperlukan untuk bertindak di dalam lingkungan had dan batas perlembagaan Undangundang Tubuh Negeri Perak yang merupakan undangundang tertinggi di negeri itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan