ADUN Behrang keluar PKR, jadi wakil Bebas

Diterbitkan: Rabu, 4 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Kira-kira enam jam selepas keputusan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) tidak mengadakan pilihan raya kecil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi menyatakan pendirian keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun Jamaluddin yang menegaskan tidak menerima ganjaran daripada Barisan Nasional (BN) sebagaimana didakwa pemimpin Pakatan Rakyat berkata, beliau akan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

"Saya sudah menandatangani surat keluar parti dan ia akan dikemukakan oleh pembantu saya (kepada pejabat PKR)," kata beliau dihubungi sebentar tadi.

Ketika ditanya mengapa bertindak sedemikian sekarang, Jamaluddin memberitahu, "bila orang tidak mahu kita, kita malu nak tinggal di rumah orang.":

Tengah hari tadi Jamaluddin berkata, beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti buat masa sekarang meskipun PKR yang beliau wakili "sudah tidak mahu menerimanya."

Sambil menegaskan PKR yang tidak mahukannya, Jamaluddin berkata, beliau akan menentukan parti yang ingin wakili dan kedudukannya kemudian.

PELIK

"Bukan saya tidak mahu parti (PKR) tetapi parti yang tidak mahukan saya... saya akan fikir dulu... saya tidak akan masuk mana-mana parti sehingga buat keputusan," kata beliau ketika dihubungi.

"Saya pelik... kalau saudara dalam keadaan saya, fikirkan... patut atau tidak mana-mana parti menyerahkan surat letak jawatan (yang ditandatangani Mac lalu) kepada orang lain (Speaker)... surat ini ditandatangani Mac 2008.

"Ini menunjukkan bukan saya tidak mahu parti, tetapi parti yang tidak mahu saya," katanya.

TERIMA GANJARAN?

Mengenai dakwaan menerima ganjaran daripada BN, Jamaluddi memberitahu: "Jangan buat tuduhan... jika ada bukti sila kemukakan."

Semalam beliau memberitahu bahawa sedang mengikuti rawatan tradisional di sebuah kawasand di Pahang.

Beliau mengulas perkembangan terbaru ekoran keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Changkat Jering dan DUN Behrang dan kedua-duanya masih dipegang oleh penyandang kerusi berkenaan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, ini kerana SPR mendapati wujudnya keraguan terhadap keduadua surat peletakan jawatan Mohd. Osman Jailu sebagai ADUN Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi sebagai ADUN Behrang.

"SPR telah meneliti secara mendalam dan rapi daripada pelbagai sudut perundangan dan dengan ini memaklumkan bahawa SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat peletakan jawatan oleh penyandang keduadua kerusi berkenaan.

"Ia juga memandangkan kedua-dua ADUN itu secara sedar telah mengesahkan bahawa suratsurat berkenaan tidak berkuat kuasa," katanya di Putrajaya.

STATUS EXCO

Ketika ditanya sama gembira dengan keputusan itu, Jamaluddin yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak memberitahu:

"Na kata gembira pun tidak, tidak gembira pun tidak... tapi saya terima apa juga keputusan SPR sama ada mahu adakan pilihan raya ataupun tidak.

"Kita kena patuh undang-undang. Jika kita sendiri tak patuh undang-undang siapa lagi yang patuh undang-undang," katanya lagi.

Mengenai kedudukan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri, Jamaluddin berkata, beliau menyerahkan kepada parti dan kerajaan negeri.

"Apa yang penting saya boleh berkhidmat untuk rakyat (sebagai ADUN," katanya lagi.

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Februari ini.

Dengan kekosongan dua kerusi berkenaan, kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang dianggotai PAS, DAP dan PKR kini mempunyai 30 kerusi, 18 DAP, enam PKR dan enam PAS, manakala Barisan Nasional 27 kerusi.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, BN menang 28 kerusi tetapi ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR minggu lepas.

Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

Mohd Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi Dun Changkat Jering. Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Yang Dipertua DUN Perak sebelum itu Datuk Mat Isa Ismail yang mengumpul 8,309 undi.

PKR NAFI

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Salehuddin Hashim hari ini menepis spekulasi bahawa ADUN Changkat Jering dan Behrang telah keluar daripada parti itu.

"Setakat ini kita (PKR) tidak menerima sebarang surat mengenai peletakan jawatan mereka, tiada rekod bahawa mereka keluar parti dan tiada rekod yang mengatakan mereka masuk parti lain.

"Ini bermakna mereka masih lagi ahli parti kita dan tidak ada sebab nak buang mereka dari parti.

"Kita yakin mereka bersama kita," katanya kepada Bernama hari ini.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan