Surat Speaker meragukan, status 2 ADUN PKR sah

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

STATUS SAH... Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengesahkan status kedua-dua ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi (kiri) dan ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu (kanan).
STATUS SAH... Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengesahkan status kedua-dua ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi (kiri) dan ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu (kanan).

[DIKEMAS KINI, 2.50 PETANGI] PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Mohd. Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi - dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) - yang dilaporkan telah meletak jawatan kelmarin, masih sah sebagai wakil rakyat.

Dengan itu, SPR mengisytiharkan tidak wujud kekosongan bagi kedua-dua kerusi berkenaan.

Ia diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi selepas mengadakan mesyuarat hampir dua jam di sini.

Dengan itu pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi berkenaan tidak akan diadakan.

KOMEN ADUN

Dalam reaksi segera, Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, menyambut baik perkembangan tersebut.

"Bagi saya, saya terima apa juga keputusan SPR... sama ada SPR adakan pilihan raya kecil ataupun tidak adakan pilihan raya kecil.

"Kalau kita tidak patuh undang-undang siapa lagi yang hendak mematuhi undang-undang," katanya.

Mohd. Osman masih tidak dapat dihubungi sehingga sekarang.

KENYATAAN SPR

Ketika mengulas lanjut keputusan SPR, Pengerusi SPR mengakui wujud keraguan dalam surat letak jawatan yang dikemukakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

Abdul Aziz berkata, Speaker boleh menerima surat peletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan di bawah Perlembagaan negeri.

"ADUN boleh letak jawatan dan menulis kepada Speaker dan memanglah peraturannya Speaker menulis kepada SPR memaklumkan keadaan itu, bukan mengisytiharkan kerusi itu kosong," kata beliau sambil menambah, "yang mengisytiharkan kerusi itu kosong atau tidak adalah SPR."

"SPR dalam mesyuarat khas itu telah meneliti secara mendalam dari semua aspek dan mendapati wujud keraguan dalam surat-surat letak jawatan itu.

"SPR dengan ini memaklumkan wujud keraguan terhadap surat-surat peletakan jawatan oleh penyandang kerusi berkenaan yang telah dikemukakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri," kata beliau pada sidang media.

"Satu surat mengatakan mereka meletak jawatan dan satu lagi surat daripada orang yang sama mengatakan mereka tidak meletak jawatan.

"Jadi, ini teleh menimbulkan keraguan kepada SPR untuk menerima surat peletakan jawatan tersebut," katanya.

Tambah Abdul Aziz, memandangkan kedua-dua penyandang kerusi berkenaan juga secara "sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuasa, oleh yang demikian SPR memutuskan bahawa berhubung dengan kedudukan kerusi-kerusi bagi Changkat Jering dan Behrang, SPR tidak dapat menggunakan kuasa di bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan wujud kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan."

CABAR DI MAHKAMAH

Mengulas sama ada SPR akan menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan memandangkan ia pertama kali berlaku, Abdul Aziz berkata, bukan tugas SPR untuk melakukan siasatan.

"SPR berpegang kepada dua surat yang diterima serta keputusan mesyuarat kali ini yang bermakna tidak perlu diadakan pilihan raya kecil bagi keduadua DUN berkenaan," katanya.

Abdul Aziz berkata, salinan surat yang dihantar oleh kedua-dua Adun itu juga tidak menyatakan sama ada mereka akan menyertai manamana parti lain, sebaliknya hanya menyatakan surat yang dihantar oleh Sivakumar adalah tidak berkuat kuasa.

"Jika ada sesiapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka berhak membawa perkara berkenaan ke mahkamah dan terpulang kepada mahkamah untuk menimbangkan daripada aspek perundangan untuk membuat keputusan," katanya.

KANDUNGAN SURAT 2 ADUN

Ketika ditanya sama ada dua ADUN berkenaan menyatakan dalam surat kedua mereka bahawa surat peletakan jawatan yang dihantar oleh Speaker telah ditandatangani sebaik sahaja selepas pilihan raya umum 8 Mac, Abdul Aziz berkata, surat tersebut hanya menyatakan mereka menafikan meletak jawatan.

"Mereka menafikan mereka meletak jawatan dan tidak bersetuju dengan tarikh kuatkuasa surat berkenaan," katanya.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar dalam kenyataan mengumumkan bahawa ADUN Behrang, Jamaluddin dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di rumah beliau pada 5.45 petang semalam.

Pagi semalam beliau memaklumkan kekosongan kedua-dua kerusi itu kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.

Bagaimanapun kedua-dua ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lepas, pada malam kelmarin menafikan kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bahawa mereka telah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan Sivakumar adalah surat yang ditandatangani mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihan raya umum lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan