ADUN tidak muncul sidang akhbar, buat laporan polis

Diterbitkan: Isnin, 2 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI, 6 PETANG] SEPANG: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak hadir pada sidang media yang "sepatutnya dihadiri kedua-dua mereka" di sini petang tadi, sebaliknya menafikan mereka telah mengosongkan kerusi masing-masing.

ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu pula membuat laporan polis di Shah Alam pagi tadi.

Status Mohd. Osman dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi menjadi tanda tanya selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar mengumumkan petang semalam bahawa kedua-dua mereka telah menghantar surat bagi mengosongkan kerusi DUN di kawasan masing-masing.

Firdaus Saharudin, yang mendakwa beliau sebagai pembantu khas kepada Jamaluddin berkata, wakil rakyat itu tidak hadir pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini petang ini kerana kurang sihat.

"(Jamaluddin) tak dapat datang kerana tak sihat, bukan hilang, bukan dilarikan," kata beliau pada sidang media lima minit itu, yang diadakan pukul 3.40 petang berbanding jadual asal 4 petang.

Bagaimanapun kata Firdaus, Jamaluddin sedang dalam perjalanan dari Pahang ke Kuala Lumpur.

KENYATAAN JAMALUDDIN

Dalam kenyataan dua muka surat ditandatangani Jamaluddin, yang diedarkan kepada media, Jamaluddin menafikan beliau menghantar surat mengosongkan kerusi itu kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak seperti dilaporkan.

"Merujuk kepada laporan media semalam yang menyatakan saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ADUN kawasan Behrang, sukacita saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Ini kerana saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sehingga kini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melepaskan jawatan setelah dipilih oleh rakyat," katanya.

"Berhubung dakwaan bahawa saya telah menghilangkan diri kerana mahu melompat parti, suka saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah menghilangkan atau melarikan diri daripada mana-mana pihak.

"Sebaliknya, ingin saya jelaskan bahawa saya telah bercuti dari 28 Januari hingga 30 Januari 2009 kerana sakit.

"Pada 31 Januari hingga 1 Februari 2009 pula adalah cuti hujung minggu dan tempoh tersebut digunakan oeh saya untuk berehat," katanya.

"Bagaimanapun laporan berita semalam yang kononnya saya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat benar-benar mengejutkan saya.

"Dalam hubungan ini adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Speaker DUN adalah tidak berasas sama sekali.

"Lebih-lebih lagi saya sendiri semalam tidak berada di Perak, apatah lagi untuk menghantar surat peletakan jawatan saya ke rumah beliau," katanya.

"Kenyataan Speaker DUN Perak benar-benar mengejutkan saya dan telah menimbulkan kekeliruan dan kegemparan di seluruh negara sedangkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

"Buat masa ini saya akan meneruskan tugas dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti.

"Saya berharap penjelasan ini akan menghuraikan kekeliruan yang ada dan saya berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak benar demi kepentingan politik pihak tertentu," ujar Jamaluddin.

LAPORAN POLIS

Laporan Bernama menyebut, Ketua Polis Shah Alam, ACP Nor Azam Jamaluddin hari ini mengesahkan ada menerima laporan polis yang dibuat oleh Mohd Osman melalui wakilnya berhubung isu mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering.

Laporan itu dibuat oleh wakil Mohd. Osman, Mohd Farizal Umar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini pukul 1.30 pagi ini, katanya.

Ketika dihubungi di sini hari ini, Noor Azam memberitahu Bernama dalam laporan itu Mohd Osman menafikan beliau telah mengosongkan kerusi DUN Changkat Jering.

Semalam dua ADUN terbabit, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan mereka meletakkan jawatan dan menyifatkan pengumuman Speaker Dewan Undangan Negeri V. Sivakumar awal petang ini mengenainya sebagai satu "pembohongan".

Kedua-dua ADUN tersebut berkata mereka akan menghubungi peguam mereka untuk tindakan selanjutnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan