ADUN ke-3 lompat?: MB Perak nafi Timbalan Speaker keluar Pakatan

Diterbitkan: Ahad, 1 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERTAI BN...? Ketika
SERTAI BN...? Ketika "kehilangan" tiga ADUN iaitu wakil rakyat Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi (kiri), wakil rakyat Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu dan terus menjadi tanda tanya sehingga ada yang beranggapan mereka akan menyertai Barisan Nasional (BN), Timbalan Speaker DUN Perak, Hee Yit Foong (ADUN Jelapang) juga dikatakan hilang sejak awal lagi ini.

[DIKEMAS KINI, 7 PETANG] PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yakin dua ahli Exco Kerajaan Negeri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang hilang sejak lima hari lalu akan keluar daripada Pakatan Rakyat.

Beliau bagaimanapun menafikan desas-desus yang turut mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong, yang juga Timbalan Speaker turut akan keluar parti.

Hee juga pernah disebut-sebut akan keluar DAP dan Pakatan Rakyat pada Mei lalu.

"Tak ada, tak ada... tak ada dari DAP yang akan keluar parti.

"Saya hanya yakin dua ADUN dari PKR yang hilang itu sahaja yang akan keluar dari parti mereka.

"Saya sangat yakin tambahan pula Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) turut mengeluarkan kenyatannya hari ini bahawa ada dua ADUN dari Perak akan menyertai BN (Barisan Nasional)," katanya kepada mStar Online kira-kira pukul 6.40 petang tadi.

Namun Menteri Besar itu tidak mengesahkan sama ada kedua-dua exconya itu akan menyertai BN ataupun menjadi wakil rakyat bebas.

PENDIRIAN DAP

Di George Town, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, "mana-mana wakil rakyat DAP di Perak yang tidak mengadakan hubungan bagi tempoh 24 jam tanpa sebarang sebab, parti akan mempertimbangkan dengan mendalam untuk memanggil pilihan raya kecil."

Media hari ini melaporkan anggota keluarga ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu gagal menjejaki kedudukan mereka sejak lima hari lalu.

Jamaluddin, 52, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kedua-dua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pad 25 Ogos lalu kerana dikatakan menerima rasuah bagi mendapatkan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di kawasan pusat bandar Seri Iskandar dekat sini secara usahasama dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT).

Nizar berkata hingga kini (petang ini) pihaknya masih belum dapat menghubungi kedua-dua ADUN berkenaan.

Ditanya sama ada pihaknya akan membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka, beliau berkata tindakan seperti itu tidak perlu.

"Saya rasa tiada keperluan untuk kita buat laporan polis kerana kita yakin mereka disimpan oleh pihak-pihak tertentu.

"Daripada kenyataan Perdana Menteri kita dah boleh tahu mereka ada di mana, jadi buat apa nak buat laporan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan