MIC buat laporan polis blog kutuk kaum India

Diterbitkan: Sabtu, 31 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Putera MIC hari ini membuat laporan polis berhubung kewujudan blog 'Pendekar Tanahair' yang didakwanya mengandungi pelbagai unsur hasutan, tuduhan dan cacian yang menyinggung sensitiviti masyarakat India di negara ini.

Ketua Penerangan Putera MIC, A. Premnath berkata, tindakan penulis blog berkenaan yang menggunakan nama samaran 'Pendekar Ramlee' dan gambar seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah mengaibkan nama seniman tersohor itu.

"Kami menemui laman web http://pendekartanahair.blogspot.com ini semalam dan mendapati tulisan-tulisan blogger itu menghina kaum India selain dilemparkan dengan kata-kata kesat dan menyakitkan.

"Blogger berkenaan menyalahgunakan nama dan gambar P. Ramlee yang kita semua hormati. Tulisan seperti itu bukan sahaja membakar perasaan kaum India tetapi juga kepada mereka yang membacanya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya di sini.

Premnath mendakwa sekurang-kurangnya enam entri yang memperkatakan dan menghina kaum ketiga terbesar di negara ini disiarkan di dalam blog berkenaan.

Usaha Bernama untuk melayari laman blog itu gagal dan mendapati blog berkenaan telah ditutup untuk orang awam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan berkata pihaknya akan menyiasat. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan