Saiful berharap kes diliwat didengar segera - Berita Semasa | mStar

Saiful berharap kes diliwat didengar segera

Diterbitkan: Jumaat, 30 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas pembantu khas kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh majikannya, berharap kesnya akan didengar tanpa penangguhan bagi membolehkan keadilan dipertahankan.

"Minggu depan menandakan enam bulan sejak kes ini didengar," kata Mohd. Saiful dalam tulisan terbaru blognya.

"Sehingga kini tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar kes ini.

"Saya berharap dan berdoa agar kali ini tiada sebarang kelewatan untuk membolehkan keadilan dipertahankan," katanya lagi.

Mahkamah Tinggi akan mendengar selama dua hari bulan depan bagi permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah memutuskan pendengaran bagi permohonan pendakwaan itu pada 5 dan 6 Februari ini.

Anwar, 62, kini Ketua Pembangkang di Parlimen didakwa meliwat Mohd. Saiful , pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara menunggu perbicaraan, Anwar dibenarkan bebas dengan bon jaminan peribadi RM20,000.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan