Najib terajui Perak, ADUN Bota 'berfikir' kembali Umno?

Diterbitkan: Jumaat, 30 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota yang meninggalkan Umno enam hari lalu mahu mengambil sikap "tunggu dan lihat" untuk menilai situasi dalam parti ekoran kepimpinan sementara Badan Perhubungan Negeri di bawah Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

"Tengok dulu, tengok dulu... apa yang akan berlaku... tengok keadaan," kata Datuk Nasarudin Hashim yang ditanya sama ada bersedia untuk mengkaji semula pendiriannya ekoran pelantikan kepimpinan Umno negeri yang baru, ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Sambil menegaskan bahawa sehingga pagi ini pendiriannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) - salah satu komponen Pakatan Rakyat, masih kekal, bekas Ahli Parlimen Parit itu memberitahu, "adalah terlalu awal (untuk mengatakan sama ada sedia kembali ke Umno)."

Bagaimanapun beliau menyifatkan tindakan Najib menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai ketua Umno dan BN adalah langkah baik untuk membawa perubahan.

"Keadaan mungkin berubah tapi kena tunggu dan lihat," kata beliau yang telah pun mengemukakan surat keluar Umno Isnin lalu.

Malah beliau juga telah menyerahkan borang permohonan menyertai PKR Ahad lalu.

Semalam, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan agar Najib dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi BN Perak bagi menggantikan Tajol Rosli yang meletak kedua-dua jawatan itu, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.

Dengan Nasarudin menyertai PKR, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Ahad lalu, Nasarudin berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasarudin menewaskan calon PKR, Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Desas-desus mengenai kemungkinan Nasaruddin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lepas. Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan.

Nasarudin juga memaklumkan mStar Online bahawa beliau akan mengambil bahagian dalam Ceramah Khas Mesra Rakyat di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan malam ini.

Ia antara lain bagi menjelaskan kepada rakyat di kawasannya mengenai pendirian beliau keluar Umno dan menyertai PKR.

Kata Nasarudin, ia dianjurkan oleh PKR.

Turut hadir ialah Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan