Lompat: ADUN Bota perlu temui pengundi, dapatkan "lampu hijau"

Diterbitkan: Jumaat, 30 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Bota, Datuk Nasarudin Hashim perlu kembali kepada pengundi-pengundi di kawasannya untuk menjelaskan pendirian beliau keluar Umno dan Barisan Nasional (BN), Ahad lalu.

Pengarah Eksekutif Institut Integriti Pilihan Raya Kebangsaan (NIEI), Amin Iskandar berkata, oleh kerana perundangan semasa tidak membolehkan seseorang wakil rakyat berhenti dan bertanding semula, Nasarudin wajar menemui semula pengundinya untuk menerangkan pendirian beliau.

"Kalau boleh sebelum melompat perlu berunding (dengan pengundi) dulu... jadi pengundi-pengundi boleh memutuskan sama ada adil ataupun tidak tindakan menyertai parti lain," kata beliau ketika dihubungi.

"Beliau boleh mengadakan dialog dan menjelaskan kepada mereka (pengundi kawasan Bota)," kata beliau kepada mStar Online.

CERAMAH MALAM INI

Nasarudin ketika dihubungi mStar Online pagi tadi berkata, beliau akan mengambil bahagian dalam Ceramah Khas Mesra Rakyat di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan malam ini.

Ia antara lain bagi menjelaskan kepada rakyat di kawasannya mengenai pendirian beliau keluar Umno dan menyerta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata Nasarudin, ia dianjurkan oleh PKR.

Turut hadir ialah Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin.

Ketika ditanya soal moral dengan tindakan beliau, Amin memberitahu, dari segi demokrasi Nasarudin ada hak untuk berbuat demikian.

"Tetapi apabila melompat beliau perlu kembali kepada pengundi untuk menjelaskan," katanya lagi.

Bagaimanapun jelas beliau, jika ramai tidak bersetuju, wakil rakyat terbabit perlu melepaskan jawatan dan bertanding lagi.

"Tetapi ada masalah (aspek perundangan)... itu adalah satu halangan," katanya.

ANTILOMPAT

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, sudah tiba masanya untuk difikirkan secara serius bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan antilompat parti.

"Kita banyak menyaksikan ketidakstabilan politik di masa lalu. Kini masanya untuk mempertimbangkan cadangan ini.

"Dengan adanya peruntukan undang-udang antilompat parti dalam perlembagaan, kita dapat melaksanakan satu lagi langkah ke arah kestabilan dalam landskap masyarakat dan politik kita," katanya.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah berkata, beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menyokong pindaan tersebut dibuat dalam perlembagaan persekutuan dan negeri.

Kelmarin, Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada BN Perak supaya mengadakan gerakan besarbesaran bagi mendesak Nasarudin supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu yang dimenanginya atas tiket BN.

Nasarudin telah melompat parti kepada PKR Ahad lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, undang-undang antilompat parti perlu dilakukan termasuk dengan membenarkan wakil rakyat yang mengosongkan kerusi mereka bertanding semula dalam tempoh terdekat dan bukannya lima tahun seperti peruntukan sedia ada.

KOMEN MAFREL

Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi Malaysian for Free & Fair Election (Mafrel), Syed Ibrahim Noh berkata, pihaknya menyambut baik jika tindakan seseorang wakil rakyat itu melompat parti demi kebaikan rakyat.

"Jika niat baik, jika mahu berkhidmat untuk rakyat dan pengundi, saya ingat sihat.

"Tetapi jika melompat kerana mahu jawatan dan ganjaran, tidak harus berbuat demikian," kata beliau sambil mengakui tentang halangan aspek perundangan yang wujud.

Malah, beliau juga berpendapat wakil rakyat berkenaan perlu kembali kepada pengundi untuk mendapatkan "penerimaan."

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa ia juga satu soal yang rumit untuk dibicarakan secara langsung.

Undang-undang pilihan raya tidak membenarkan seseorang wakil rakyat yang bertanding untuk kembali bertanding selama lima tahun jika memutuskan untuk melepaskan kerusi yang dimenanginya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan