Kepimpinan baru: Umno Perak perlu sedia terima perubahan

Diterbitkan: Jumaat, 30 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Umno Perak perlu bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan perubahan dalam struktur badan perhubungan negeri itu ekoran pelantikan sementara kepimpinan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, sebagai pemimpin yang sentiasa mendahulukan kepentingan parti berbanding peribadi, barisan kepimpinan negeri perlu akur dengan setiap keputusan dibuat.

"Oleh itu saya sedia menawar diri untuk untuk ditentukan kedudukan saya selepas ini.

"Mungkin Datuk Seri Najib fikirkan jawatan yang saya sandang sekarang perlu digantikan dengan pemimpin baru, saya akan terima dengan hati terbuka," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau, pemimpin Umno Perak perlu terbuka dalam menerima perubahan yang bakal dilakukan demi kepentingan parti.

"Mungkin saya, atau sesiapa juga yang akan terkeluar dari senarai nanti, jadi saya harap semua akan bersedia dan jangan pula merajuk atau akan mengambil tindakan yang bertentangan dengan perjuangan parti," katanya.

Bagaimanapun Ramly berkata, sehingga pagi ini pihaknya belum menerima apa-apa maklumat sama ada untuk mengadakan mesyuarat pertama bersama Najib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan negeri yang baru.

"Buat masa ini kita belum menerima apa-apa signal lagi... tapi saya yakin mungkin dalam tempoh masa terdekat," katanya.

Semalam, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi BN Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang meletak keduadua jawatan itu, berkuat kuasa serta merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.

Selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Najib dan Ahmad Zahid akan memegang jawatan itu sehingga perhimpunan agung Umno Mac depan dan pelantikan baru akan dibuat selepas persidangan itu.

Abdullah, yang juga Presiden Umno berkata, beliau menerima keputusan Tajol Rosli yang meletakkan jawatan atas alasan ingin mengundur diri dan memberi peluang kepada pemimpin baru menerajui Umno di negeri itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan