Samy mahu terima balik ramai lagi pemimpin MIC

Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, selepas menerima balik salah seorang pengkritiknya semalam, hari ini memaklumkan lebih ramai bekas ahli dan pemimpin parti itu, dijangka antara 15 hingga 30 orang, akan diterima semula dalam waktu terdekat.

Presiden MIC paling lama memegang jawatan itu menyatakan perkara tersebut pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pagi tadi.

"Saya memaklumkan tentang hasrat untuk menerima ahli dan pemimpin MIC yang pernah dipecat dan pernah keluar MIC sebelum ini," kata beliau selepas mesyuarat CWC di Ibu Pejabat MIC hari ini.

Mesyuarat CWC peringkat awal dipengerusikan oleh beliau iaitu kira-kira dua jam bermula pukul 10 pagi dan kemudian diambil alih oleh Timbalannya, Datuk G. Palanivel khusus bagi membincangkan rayuan bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthuppaliappan yang dipecat minggu lalu.

Bagaimanapun Samy Vellu tidak menyatakan bilangan pemimpin yang akan diterima semula.

mStar Online difahamkan jumlahnya adalah antara 15 hingga 30 orang.

Pemecatan pemimpin dalam MIC berlaku pada kadar drastik selepas pertandingan sengit bagi jawatan Naib Presiden tahun 1987 dan dua tahun kemudian selepas pemilihan Presiden yang Samy Vellu ditentang oleh Datuk S. Subramaniam ketika itu timbalannya.

Samy Vellu sebagai Presiden mempunyai kuasa untuk menerima balik seseorang ahli dan diluluskan oleh CWC.

K. P. Samy, salah seorang pengkritik bersuara lantang terhadap Samy Vellu, yang dipecat dari parti tahun lepas, diterima semula ke dalam parti itu semalam.

Samy Vellu meluluskan permohonan K.P. Samy yang dikemukakan semalam.

Beliau yang merupakan bekas anggota CWC MIC pernah dikaitkan dengan pertubuhan haram, Hindraf.

"Saya menyertai semula MIC bagi meningkatkan imej Barisan Nasional (BN) dan MIC. Saya akan terus menyuarakan isuisu tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata K.P. Samy semalam.

Beliau juga merupakan bekas pengerusi MIC cawangan Shahbandar, Shah Alam, dipecat dari MIC selepas menyokong secara terbuka demonstrasi Hindraf di ibu negara pada November 2007.

Hari ini CWC juga memutuskan untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin yang memecat bekas Naib Presiden, Datuk M. Muthuppalaniappan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan